PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Showing posts with label TapakPelita. Show all posts
Showing posts with label TapakPelita. Show all posts

Saturday, January 23, 2010

Thursday, January 14, 2010

TEATER AKU, KAU,KITA, KAMI...BEBAS

TEATER AKU, KAU, KITA, KAMI...BEBAS
oleh Yusrika Bahar

Teater Aku, Kau, Kita, Kami..BEBAS dari Produksi Tapak Pelita yang dipentaskan pada 23-25 Oktober 2009 tercalon untuk Pilihan Penonton Kakiseni atau Kakiseni Aundience Choice Award dalam BOH Cameronian Award 2010. Pada yang sudah menonton dan ingin mengundi kami layari laman web www.kakiseni.com dan undilah kami. Sokongan dan undian anda amatlah kami hargai.

Sekian, Terima-kasih.

Friday, September 4, 2009

AKU KAU KITA KAMI....BEBAS

AKAN DATANG



p/s : datang beramai-ramai. Meriahkan industri teater tanah air kita.


Sunday, August 23, 2009

TAPAK PELITA

DARI PENGASAS PRODUKSI TAPAK PELITA

oleh Azwan Effenddy Azmi

Pada 20/8/2009, Produksi “Tapak Pelita” telah memulakan sesi latihan dengan sesi pembacaan skrip yang mana melibatkan 11 orang ahli produksi iaitu Yusrika, Airene, Azhana, Ayie, Mira, Ameer, Suhaila, Haidi, Zeey, Sue dan Aku. Perjalanan sesi latihan yang berlangsung di Flora Damansara kali ini membuahkan hasil di mana pihak produksi telah berjaya dan bersedia untuk membuat persembahan pada bulan 10 tahun ini.

Maklum balas bagi penggemar-penggemar teater di serata Kuala Lumpur pula menyatakan hasrat yang positif di mana mereka akan turut serta memberikan semangat dan dorongan. Insyaallah… Mudah-mudahan kerja yang berlangsung ini akan memberikan kepuasan kepada tetamu yang hadir.

Jadi, nantikan saja persembahan dari Produksi “Tapak Pelita” yang bertemakan :

“Aku, Kau, Kita, Kami…Bebas”

Yang akan dipentaskan selama tiga hari berturut-turut, memuatkan kompilasi tiga teater pendek nukilan Yusrika bin Bahar iaitu :

“Cendol & Rojak”

“Sang Gajah & Sang Semut”

“Babak Akhir”

Jadi, kepada sesiapa yang berminat untuk menyaksikan pementasan ini bolehlah hadir pada tarikh-tarikh yang berkenaan :

23 – 25 Oktober 2009 (Cadangan)

Jam 8.30 hingga 10.30 malam

Bertempat di Stor Dewan Bahasa & Pustaka (DBP)

Hadirlah dan sama-samalah kita memeriahkan lagi majlis pada malam itu. Sebarang komen atau cadangan juga akan diterima. Insyaallah, sejurus selepas habis pementasan teater pada hari-hari yang berkenaan, Produksi “Tapak Pelita” akan membuka sesi soal jawab bersama para penonton. Semoga pementasan kali ini berjayalah hendaknya… Insyaallah…


P/s : Saudara Fendi, what can i do without you....

Kepada sesiapa yang ingin turut serta sila hubungi saya / Fendi / Ungubiru75.blogspot.com

Kepada ahli > yang sedia ada, jangan....

HANGAT-HANGAT TAHI AYAM!

BERCAKAP TAPI TIDAK TAHU APA YANG DIBICARAKAN!

Sunday, August 16, 2009

TEATER TAPAK PELITA

PRODUKSI TAPAK PELITA
oleh Yusrika Bahar

Salam Sejahtera,

Aku berada di kampung Benut, menunggu khabar dari Kota Lumpur, pementasan kami di bawah kelolaan Teater Anugerah Merdeka 2009 tidak dapat diadakan kerana kesuntukan masa dan juga pemilihan karya yang dilihat datangnya dari nama-nama besar dalam industri teater. Apa nak buat, pasrah sahaja.

Namun khabar lain, Produksi Tapak Pelita akan mengadakan pementasan sendiri di Stor DBP lewat bulan Oktober ini (InsyaAllah) dengan menggunakan konsep 'black box' dan 'poor teater'. Semuanya atas dasar bajet dan kewangan yang menggunakan poket sendiri sahaja. Kepada ahli kelab dan mereka yang berminat untuk turut serta di alu-alukan. Sila hubungi Setiausaha iaitu Kak Azhana di ungubiru75@yahoo.com.

Pementasan berdasarkan karya dan keperluan berikut :

Karya 1 : Yusrika Bahar
Tajuk : Sang Gajah & Sang Semut
Genre : Absurd & Eksperimental
Watak : Sang Gajah, Sang Semut dan Tukang Kata
Keperluan : 3 orang
Durasi : 15 Minit

Karya 2 : Yusrika Bahar
Tajuk : Rojak & Cendol
Genre : Realism
Watak : Limah, Raju dan Boon
Keperluan : 3 orang
Durasi : 15 Minit

Karya 3 : Yusrika Bahar
Tajuk : Babak Akhir
Genre : Realism
Watak : Tan Sri Mukhlis, Puan Sri Maya, Adam, Hawa dan Awan
Keperluan : 5 orang
Durasi : 30 Minit

Setiap karya yang akan dipentaskan diatas adalah berdasarkan isu semasa dan diolah mengikut situasi dan keperluan masakini. Disebabkan ruang dan bajet yang terhad, pementasan ini akan banyak menampilkan emosi dan pengucapan dialog yang memerlukan penghayatan yang amat berat.

Sama-samalah kita menantikan yang terbaik dan kami juga mengharapkan yang terbaik walaupun serba kekurangan. Sokongan, doa dan pandangan daripada pihak kalian amat kami harapkan dan sanjungi. Moga kita bertemu nanti.

Sekian, Terima-Kasih




Sunday, August 9, 2009

TEATER ANUGERAH MERDEKA DBP 2009

TEATER ANUGERAH MERDEKA
DBP 2009

oleh Yusrika Bahar

Sekali lagi pihak DBP menganjurkan pementasan teater 10-15 minit. Pada awal tahun lepas aku tidak berkesempatan menghantar karya dan penyertaan kerana kesuntukan masa dan tahap kewangan yang amat membimbangkan. Sekali lagi pihak DBP menganjurkan program yang sama sempena Sambutan Kemerdekaan pula. Masih lagi dibelenggu masalah yang sama kerana aku masih belum mendapat pekerjaan dan secara ilmiahnya graduan yang menganggur. Bukan tidak mahu mencari kerja atau tapi entahlah, walaupun aku mohon kerja kilang sebagai operator dan penjaga tandas pun mereka tidak mahu mengambil aku bekerja. Aku tidak kisah bersama pekerja asing tapi di pihak majikan tetap mempunyai alasan tersendiri untuk menggajiku. Susah sangat nampaknya rezeki nak lekat. Namun begitu aku masih tidak berputus asa. Segala macam doa ku panjatkan kepada yang Maha ESA agar mengerti keperitan aku ni.

Namun, dalam masa yang sama, Kelab Produksi Tapak Pelita Kuala Lumpur & Selangor akhirnya terlaksana hasil inisiatif aku dan Fendi. Malahan ramai juga yang turut serta menjadi ahli dan sama-sama mahu mengusahakannya. Ralatnya, mereka yang menjadi ahli terdiri dari individu yang sudah bekerja dan berjawatan. Aku? Sebagai pengerusi kelab tercatat di dalam borang pendaftaran sebagai "Belum Bekerja". Kelakar bukan?

Oh ya, pada 5hb Ogos lepas aku telah menghantar 7 Karya Teater Pendek ke pihak urusetia Teater Anugerah Merdeka dan Alhamdulillah, dua daripadanya terpilih sebagai simpanan (reserves) untuk dipentaskan. Karya Sang Gajah & Sang Semut, dan juga Karya Cendol. Pementasan akan berlangsung pada 17-19hb Ogos 2009, 8.00 Malam di Stor DBP. Tarikh mana Produksi Tapak Pelita akan mementaskan karya tersebut belum aku ketahui kerana ia akan diuruskan oleh Setiusaha Kelab yang sangat cantik, baik hati dan berdedikasi iaitu Puan Azhana Ismail atau lebih dikenali Kak Ana. Tidak lupa ahli dokumentasi yang punya mesin fotokopi sendiri (hakikatnya majikannya punya) iaitu Airine yang juga begitu bersemangat menyokongku. Terima-kasih. Doakan semoga pihak DBP memilih karya ini untuk dipentaskan. Mudah-mudahan....Amin.

Disini aku sertakan sinopsis Karya yang dipilih untuk dipentaskan (jika terpilih) . Aku tidak berhak menilai karyaku sendiri, tapi berdasarkan proses penciptaan aku berkarya berdasarkan pemahamanku pada isu semasa yang berlaku disekeliling kita. Aku bukan Graduan dalam bidang Teater mahupun Seni tapi aku mahu turut serta merancakkan industri ini agar terus hidup dan berwarna-warni.


KARYA 1


Sang Gajah & Sang Semut

Arahan & Skrip oleh Yusrika Bahar

Sinopsis
Sang Gajah & Sang Semut adalah kisah kepimpinan politik yang disampaikan secara sinis dan bersahaja. Stigma pemikiran kepimpinan, yang besar memang layak jadi pemimpin dan yang kecil harus jadi pengikut sahaja. Sang Semut yang merasa kepincangan ini, berusaha menjejaki Sang Gajah kerana pemikiran lapuk Besar itu Bapak, Kecil itu Anak harus dimerdekakan. Sang Gajah dan Sang Semut bertengkar kerana Sang Semut mahukan keadilan dan kebebasan yang sewajarnya dan Sang Gajah tetap angkuh dan sombong dengan jawatannya hingga lupa yang kuasa memilih juga berada di tangan warga hutan yang lain. Akhirnya siapa yang tertewas dan ditewaskan? Mampukah Sang Semut menjadi Sang Gajah? Adakah Sang Gajah tahu apa itu demokrasi dan diplomasi?


KARYA 2

Rojak & Cendol

Arahan & Skrip oleh Yusrika Bahar

Sinopsis
3 Sahabat bertemu. Raju dan Limah mengusahakan restoran dengan menggunakan Rojak dan Cendol sebagai menu utama. Boon adalah rakan dan juga kenalan sejak kecil membantu mengkomersilkan produk cendol. Tiga sahabat ini terkenang zaman kanak-kanak mereka, cendol yang diusahakan bapa Raju menjadi titik-tolak persahabatan mereka terjalin. Perbezaan budaya, agama dan bangsa tidak menjadi masalah bagi mereka kerana keharmonian dan perpaduan menjadi keutamaan mereka.



Jadi para pembaca blog ini, bagaimana? Silalah hadir (jika karya ini diputuskan untuk dipentaskan) ke Stor DBP pada 17-19hb Ogos ini kerana bukan karya ini sahaja, tetapi anda akan dihidangkan dengan pelbagai lagi genre dan karya teater dari penggiat teater tanahair. Datanglah dan sokonglah kami. Karya aku ini akan diarahkan oleh aku sendiri dan dilakonkan oleh ahli Kelab Produksi Tapak Pelita.

Aku tidak mengharapkan kesempurnaan tapi mengharapkan mesej dan maksud yang tersurat dan tersirat jelas dan dapat disampaikan. Segala komentar dan pandangan juga amat kuharapkan dalam memantapkan lagi perjalanan kelab dan penulisanku. Bagi mereka yang ingin menyertai Kelab Produksi Tapak Pelita, anda amat dialu-alukan.

Semoga berjumpa lagi.
Sekian, Terima Kasih.