PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Thursday, September 1, 2011

TERLALU BERKIRA

TERLALU BERKIRA
oleh Yusrika Bahar


1,2,3,4,5
Mana cukup ni untuk 10
Mana lagi 5,4,3,2,1
O perlu dinilai untuk kiraan?

Ah aku berkira-kira mahu sempurna
Dia berkira-kira mahu semua ada
Itu manusia hodoh, botak, gerutu, perengus mula mengira dan mencongak!
Apalagi yang bisa kurampas agar bahagianya diukur dengan GILA!

Mengapa terlalu berkira?
Apa yang ada jika semua dihitung penuh tanpa sisa
Sedikit pun tiada tinggalan...kering-kontang.
Yang beringat mula berpaling tadah
Yang berpaling mula selesa dengan kelaziman yang wajar untuk mata hati sendiri
Nilai kita dahulukala kolot
Harta kita dahulukala pergi mampus
Kini segalanya harus dikira dan berkira
Kerana apa ada pada jiwa jika semua ada nilai yang boleh dikira
Tenaga untuk siapa?
Apa ada jika serendah belanja nafsu tapi bukan untuk DIA?

Ah, aku yang salah mengira agaknya dalam perkiraan itu.
Aku bodoh mengira kerana membenarkan pengiraan yang sia-sia itu.
Biarlah
Manusia ada bijak bodohnya juga
Aku juga bodoh bijak mengatur perkiraan
Nantilah, tuhan tak pernah salah mengira
Pasti siapa angkanya betul
Congaknya benar
Maka jumlah sahih itu akan terpampang dilayar nyata.
Aku salah sebab aku tidak tahu mengira
Jangan kau salah kerana terlebih bijak mengira

12345, mana cukup ke 10
Ambil mana, mula mana?
Sekali mula sekali kira

Aaaah, Biarlah
Aku pun tidak mahu terlalu berkira!

Nilai kemanusiaan, kesetiaan dan kesatuan hati, mula hilang.
Jiwa dan rasa mula kosong sebab ada manusia algojo Bobrok terlalu berkira tentang duniawi.
Berkali-kali bersungguh-sungguh
Biar jahanam biar hancur!
Kau memang tak senang mengira, kalau aku tak biarkan kau berkira.
Kiralah agar puas hati kau!
Namun jika dendam itu hancur dan kau tewas, tuhan tak pernah salah mengira!


p/s : Berkira-kira mahu belajar mengira kira-kira agar pengiraan selama ini benar kiraannya!


Sunday, August 7, 2011

JIKA KU TOLEH LAGI

JIKA KU TOLEH LAGI
oleh Yusrika Bahar

Berat ku langkahkan kaki mengharung siur depan mata
Lidah sudah ku kunci untuk berbicara buat sekian kalinya
Perlu apa lagi kutitiskan airmata buat yang melupai
Bagai hati tertusuk duri
Bagai diri sudah terkubur mati

Kusesakkan benakku menyesalimu
Kulapangkan hatimu merelakanmu
Aku kematian
Aku kehilangan
Puing-puing udara dihadapan bagai mengejek kudratku
Ini rupanya harga diriku
Ibarat daun kering berguguran..kontang berterbangan

BERHENTI

BERNAFAS

BERJALAN

...........................

Untuk siapa kudepangi sesalan

Untuk apa kuladeni amarah
Mengapa masih kucuba dustakan hiba

Ah!

Mudah kuajar resminya padi,
namun lalang juga jadi kendiri
Sudahnya aku diperbodohkan lagi
Hanya dengan alasan berdikari
Berpijak dibumi sendiri

PERGI

Jangan kau hadir dalam mimpiku lagi...
Bukan aku membenci
Tapi mungkin aku yang kelewatan melepaskan kau pergi
Jalan didepan itu masih punya ku lagi
Jika ku toleh lagi...

Tuesday, April 12, 2011

AKU & HATI AKU

AKU DAN HATI AKU
oleh Yusrika Bahar

Jarang berhubung
Masa tiada bertaut
Aku merungut
Kata-kata hilang
Sempadan tak larut

Aku diam bila mahu bercakap
Aku senyap bila mahu ketawa
Aku bungkam bila mahu ceria

Biar awan mendung
Biar ribut berdentum
Biar ombak menggulung
Biar...
Tidak mengharap cuma menjangka
Mimpi pada yang sudi

Sendu itu tiada siapa yang tahu
Peduli untuk jalan mati.
Nafas luhur tandus
Kontang..

Namun
Aku ada hati
Walau bukan milik aku penuh

.....

p/s : Malam ini aku rindu pada 'Dia'

Friday, February 25, 2011

LANGKAH SEHARI LAGI

LANGKAH SEHARI LAGI
oleh Yusrika Bahar

Bulan mengambang

Matahari membahang

Angin mendayu

Pohon melambai

Menawan

Ditawan

Tertawan

Tawanan

Aku

Langkahkan kaki ini sehari lagi

Menjejak kasih merasian sayang

Bertimpa selang-seli bertali arus

Ke mana haluan membangkit rindu

Menanti menunggu

Aku bukan durja yang beramarah

Putaran atas bawah

Jalanan itu ada tujuan

Akhiran..putus..tamat

Tidak ada sehari lagi akan langkah ini

Jika bertepuk kosong

Jika berderap longlai

Jika bergetap lesu

Salamku pada detik

Kiriman ke waktu

Agar ada undangan untuk sebuah kenangan

Nafas berbaur udara

Sisa untuk ke noktah

Jadi

Apa gunanya untuk melangkah sehari lagi kedepan.

Aku jiwa aku

Aku rasa aku

Aku citra aku

Aku fitrah aku

Mati!

p/s...Hidup untuk siapa?

Friday, January 28, 2011

SENYAP

SENYAP
oleh Yusrika Bahar


.......
Lidah kelu
Akal buntu
......
Tuli
Bisu
......
Siapa aku?



p/s : Asal dari tanah jua.

Saturday, January 22, 2011

JIKA IA KISAHKU

JIKA IA KISAHKU
oleh Yusrika Bahar

Mulutku gumam
Siangku suram
Malamku kelam
Sirahku karam

Aku melihat, mataku buta
Aku membaca, mulutku bisu
Aku mendengar, telingaku tuli
Aku merasa, jiwaku mati

Gersang...
Nafsu merobek waras akal
Agar aku menodai asaku
Maka aku tidak punya kisah yang asyik
Kerana nikmat dunia itu mengaburi Syurgawi
Agar aku mengiakan
Itu yang terbaik buatku selamanya...

Kaki dikepala kaki
Bahu ditapak bahu
Ludah mengangkat darjat
Maka cahaya kau musuhi
Jijik itu kau rindui
Mana benarnya lagi jika tiada harga diri

Pergi MAMPUS!!!!


p/s : Makan daging saudara sendiri!

Tuesday, January 4, 2011

LANGKAH

LANGKAH
oleh Yusrika Bahar


Jika kucari ayat baru untuk beri gambaran

Tidak bisa kugali lagi

Yang tertulis itu termaktub

Bukan ketentuan aku

Namun ini rezekiku

Maka terus jadi habuanku


Bersila aku merenung langit malam

Moga harapan pada bintang jatuh disampaikan

Aku kira perlu selain doa

Kerana aku pasti DIA maha mengetahui segala-galanya

Bukankah usaha juga penentu segala

Walau dia yang memutuskan juga apa hendaknya


Masih lagi kurang dan cacat

Aku perlu cari dan susuri

Bukan menadah simpati mohon dihormati

Biar ada suara-suara bengkeng yang menganjing

Pertanyaan pada siapa yang memberiku makan

Kau bukan tuhan untuk menidakkan

Maka kau aku layan seperti manusia

Tapi jangan sampai kau kusampahkan

Bagai binatang kulemparkan hinaan


Sekarang.

Aku melangkah kehadapan

Tolehan ke belakang rujukan cuma

Agar pengalaman tidak ketinggalan

Jadi panduan untuk kesekian kalinya


Kanan mulanya.



p/s Selamat Tahun Baru 2011

Saturday, December 4, 2010

KISAH PATAH HATI

KISAH PATAH HATI
oleh Yusrika Bahar

Kau tanyakan pada warasmu
Mengapa akal setuju
Detik cemburu itu ada..angkuh
Akhirnya ludah itu milikmu semula
Menodai kerongkongmu semula
Cerita yang masih hangat
Sakit terlupakan
Tiada nafas yang hangat
Tiada mata yang cerlang
Semangat itu pudar warnanya

Kisah bertimpa kisah
Mengharung segala macam khabaran
Tersebar kata-kata ancaman
Ada payah siksa yang terasa
Persoalan yang manisnya itu bila akan hadirnya
Jika pahit melekat rasa
Kau bodoh, dungu atau tolol?
Mana ada aman dalam tekanan
Bagai tahanan menjeruk rasa
Terperangkap dan lemas dalam keselesaan
Kepayahan yang tiada titik noktah
Kosong....

Ganjaran kau hamburkan menutup cacat-cela
Janji tertunai dalam masih ada rawan
Terus tanam peransang
Agar semut terus menghurung gula
Harapan bertingkah rengekan bertingkah laku jelek

Tanyakan lagi warasmu
Dalam wajaran mengejar usia
Dalam kilau sesempit cahaya
Terus kau masih belum sedar
Masih kejap percaya dalam perbahasan
Lena dengan anganan yang entah jadi nyata atau sekadar maya
Peduli dengan bahu membahu ringan pikul berat setara
Dan kau akhiri persoalannya itu "bagaimana?"
Aku sudah mati
Namun tangisan itu bersulam ketawa yang jengkel
Mengejek pada tubuh yang tiada nilai


p/s : Persoal diri sendiri sebenarnya

Thursday, October 28, 2010

CUKUP SUDAH!

CUKUP SUDAH!
oleh Yusrika Bahar

Hati yang sudah terluka pasti akan penat untuk berfikir
Bicara yang jadi sia-sia undang tangis dalam rapuh
Aku tidak kuat
Aku tidak seteguh kota Paris
Juga tidak setanding putihnya Taj Mahal
Sayang tidak berpanjangan
Kasih hanya sebentar cuma

Aku bercumbu dengan bayang-bayang
Harapan palsu serta cita-cita yang disampahkan
Lemas menghitung hari
Karam dengan hasrat yang tak kesampaian
Lalu
Aku menerima kata-kata ejekan diri sendiri
Bodoh menilai manusia!

Kenapa aku yang sering menerima bahananya
Mengapa aku terus berlari mengejar mimpi
Aku ketawa dengan kebodohan
Aku menangis dengan jinak manja
Rindu itu tidak membunuhku
Tapi menebak merobek meluluh kesihatanku

Bangun hanya terus hidup
Berjalan hanya terus hidup
Berkata hanya terus hidup
Kerana ada udara
Kerana ada tanah
Kerana jasadku masih bernyawa

Pandangan kosong ini mengalir bagai Sungai St Louise
Kecamuknya bagai di Amazon
Tersembunyi jauh di sudut Kota Mayan
Namun jelasnya kedengaran hampa
Bagai Istana Musim Panas Beijing

Cukup seksa aku!
Beri aku ruang untuk bahagia
Beri aku pelangi untuk gembira

Cukup sudah!



p/s : Hajat tidak setanding mimpi

Sunday, September 26, 2010

LORONG SENI


LORONG SENI KEMBALI!

JADUAL TERKINI

2-3 Oktober 2010.
Sabtu & Ahad
Menara KBS, Presint 4,
Persiaran Perdana, Putrajaya.

Sabtu :
10.00pg - 2.00ptg Persiapan Pameran & Art Market
Slot Bebas (by Pixel Playground)
10.00pg - 12.00tgh Slot Kelas Fotoshop 1a
2.00ptg - 3.00ptg Slot Gamelan
2.00ptg - 4.00ptg Slot Kelas Fotoshop 1b
3.00ptg - 4.30ptg Slot Puisi / Lagu Akustik
3.00ptg - 5.00ptg Slot Filem Pendek / Animasi
4.30ptg - 7.00mlm Slot Akademi Tatih Seni / Gendang Perkusi
8.00mlm - 7.00mlm Mini Showcase Noraniza Idris & Rakan2.

Ahad :
10.00pg - 2.00ptg Persiapan Pameran & Art Market
Slot Bebas by Pixel Playground
10.00pg - 12.00tgh Slot Kelas Fotoshop 1a
2.00ptg - 3.00ptg Slot Gamelan
2.00ptg - 4.00ptg Slot Kelas Fotoshop 1b
3.00ptg - 4.30ptg Slot Akademi Tatih Seni / Gendang Perkusi
4.30ptg - 7.00mlm Slot Puisi / Lagu Akustik
8.00mlm - 10.30mlm Slot Filem Pendek di dewan
Slot Chiptune di Bilik VIP

Puisi & Akustik by :
Khairul S 'Keynote Astro'
Shahriza Mahmud
Eddy Aizad
Acid Hadi
Beeha
Azreel Azhar
Maleena Hisham
Yusrika Bahar
Dahlia By The Stairs
Irdanorazura
The Momentum
Dior
Shajiry
Zhori Hamdan
Faulty Dress
Dayangku Nurafizah
many more....

Lorong Seni adalah himpunan karya-karya kreatif para anak muda dan juga dikalangan pencinta seni ilmiah. Lorong ini mengumpulkan segala jenis bentuk seni untuk dipertontonkan kepada umum. Lorong ini juga memberikan pendedahan kepada khalayak bahawa seni itu berjalan bukan sahaja didalam dewan tapi juga diluar dewan. Pelbagai aktiviti disajikan antaranya Deklamasi Puisi secara akustik dan jalanan, Pementasan Teater Jalanan, Jualan Barangan Kreatif buatan tangan, Jualan buku-buku ilmiah, skrip dan antologi puisi dan luahan jiwa. Selain itu, anda juga boleh menonton Filem-Filem pendek yang dihasilkan oleh para pelajar dan juga penggiat muda seni tempatan disamping pameran Fotografi dan Seni Halus (fine arts). Persembahan kesenian lain juga akan turut diserikan di Lorong Seni ini seperti Joget Lambak, Dikir Barat dan lain-lain lagi. Kaki Teater Muda Putrajaya dan YOUTH juga akan bekerjasama dengan para penggiat seni dan produksi luar dan ramai lagi bagi menghidupkan dan memberi nuansa baru di Lorong Seni.

Mahu juga turut serta? Hubungi :

Yusrika Bahar : 012-7052504
Yousef Al-Farouk :017-3060543
Nadia : 017-3017549


P.S :
Kepada sesiapa yang menaiki kenderaan awam dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Ini caranya :

1. Naik bas E1 di Stesen Bas Klang (Pasar Seni), tambang RM3.80. Sampai di Putrajaya Sentral sila naik bas NADI PUTRA 301, 501, 401, 200 yang menghala ke Presint 2, 3, 4. Konduktor bas akan memberhentikan anda di hadapan Menara KBS, yang bersebelahan dengan Wisma Tani, DCA dan MOA. Tambang bas Nadi Putra hanya 50sen.

2. Anda boleh juga menaiki ERL samada dari KL Sentral atau Stesen ERL di Bandar Tasik Selatan, Cheras. Harga tiket RM5.30. Kemudian tiba di Putrajaya Sentral juga sila menaiki bas. Jika menaiki teksi tambangnya di Putrajaya adalah RM10.00

Tuesday, September 21, 2010

SOGOK TUHAN

PELUPA
oleh Yusrika Bahar

Kita seringkali alpa
Pada namanya pencipta
Musibah melanda baru mahu cari jalan pulang
Leka dengan permainan dunia
Tak sedar diuji, hanya mahu gebang
...
Kita bukan siapa-siapa
Tidak punya apa-apa untuk sogok tuhan untuk bagi syurga
Masih ada rasa percaya punya kuasa
Segala-galanya dirasa, dilihat
Zahir batin terucap terungkap
Zat yang MAHA KUASA
...
Bila akarnya itu pelupa
Peringatan jadi tanda
Alamat bahawa lemah tak kebal
Senang lunyai mudah retak
Segera pulang


p/s: Mahu sogok Tuhan bagi Syurga dengan apa?

Saturday, September 11, 2010

MANA RAYA?

MANA "RAYA"?
oleh Yusrika Bahar

Cari Sampai Ketemu
Ini tidak...
Caci Sampai Jemu
Otak Tepu SEBAB Tak Tuju
Lidah Kelu KERANA Tidak Seteru
Hati Tawar Pudar DEK Santun Tak Malar Segar
Fikir mahu senang, sebab sudah terbiasa.
Yang sepatutnya dipandang biasa
Yang biasanya dipandang tersisa
Bila kena bisa...baru rasa
Mana RAYA?
Jangan kata saja tapi cuba jaya.
Kau MELAYU..bukan me..layu.




p/s: Geram bila BECA 'transform' ke Pedati Santa Claus.

Tuesday, August 24, 2010

AKU ANAK MUDA MERDEKA

AKU ANAK MUDA MERDEKA
oleh Yusrika Bahar

MERDEKA?


Merdeka letaknya pada maruah

Merdeka letaknya pada jiwa

Merdeka letaknya pada akal

Merdeka letaknya pada santun budi

Merdeka letaknya pada kepercayaan

Merdeka letaknya pada agama

Merdeka letaknya pada bahasa

Merdeka letaknya pada kesetiaan

Merdeka letaknya pada keluhuran

Merdeka letaknya pada kemuliaan

Merdeka letaknya pada kemanusiaan

Merdeka letaknya pada ketimuran

Aku Anak Muda Merdeka

Kita harus satu untuk kekalkannya

Kita harus setuju untuk memakmurkannya

Kita harus terbuka untuk keamanannya

Kita harus terima untuk kebahagiaannya

Jangan merusuh jangan bermusuh

Jangan berdusta jangan sengketa

Mahu diulang lagi buat apa?

Mahu hilang nyawa lagi untuk apa?

Perpaduan itu yang utama sekarang

Kita yang muda pelihara bukan makin merosakkan

Cipta haluan, cipta pembaharuan

Agar orang luar tak bisa sombong

Malah tabik hormat sanjung

Zaman dulu segala keringat dikerah

Hempas pulas tulang empat kerat

Bergolok-bergadai sungguh-sungguh

Perit melawan sengsara

Bangkit menghapus jejak musuh durjana

Tak harap habuan tak harap pujian

Pentingnya aman

Pentingnya selesa

Pengorbanan itu harus bersambung semangatnya!

Aku Anak Muda Merdeka

Aku tidak mahu dijajah lagi

Aku tidak mahu berperang lagi

Aku tidak mahu berdarah kembali

Aku tidak mahu berpayah lagi

Kemajuan itu milik kita..kita teruskan

Keselesaan itu milik kita..kita teruskan

Kebahagiaan itu milik kita..kita teruskan

MERDEKA itu milik kita..Kita Pertahankan!

SALAMMERDEKA ke-53



Saturday, August 14, 2010

SEPI

SEPI
oleh Yusrika Bahar

Bungkam
Langit sayu
Awan mendung
...
Sesat
Walang
Girang hilang
...
Malam kelam
Pungguk muram
Suram
...
Bulan khabarkan mentari
Jangan muncul esok
Aku mahu dia tahu
Bahawa penyesalan itu tiada siapa mengerti.


p/s....PKRM Putrajaya

Friday, August 6, 2010

BAYAKU BAYAMU

BAYAKU BAYAMU
oleh Yusrika Bahar

Bayaku bayamu
Betis ini tegang dek berjalan merentas belantara
Buka jalan buka tanah
Bina daerah bikin negeri
Tempat berteduh anak bini
Mencari dagang walau berkais
Rezeki tuhan digali mencanai syukur

Bayaku bayamu
Kuharung segala asa
Agar anak cucu hidup selesa
Mendatang tidak merempat
Berpijak dengan rasa tuan
Punya gelar tanpa bayangan
Bisa jamin bahagia tanpa kekangan

Aku
Mata kuyu..layu
Mulut ketap mengunyah gusi
Gumam...
Kulit jatuh..kedut...gelebeh
Kurus kering...keding
Nafas laju..perlahan bagai siput..
Tangan bertongkat...
Songkok kain pelikat..

Langkahku kau sebelah mata
Lagakku kau juih bibir
Suaraku kau tulikan telinga
Mataku kau kalih hala
Nafasku kau hela pulang
Ceritaku kau kalis gebang

Bayaku bayamu
Bukan begini akhirnya
Berdarah berparang menghalau penjajah
Kau berpesta melangit agung dunia
Bergolok bergadai cipta merdeka
Dengan kata kau dustakan negara
Konon kedepan ungkap maju
Tidak malu junjung maruah
Ternoda semula dengan tipu daya

Bayaku bayamu
....
Aku dirikan pertiwi
....
Bayaku bayamu
....

SALAM MERDEKA 2010

Dataran Merdeka
3.45am

Tuesday, July 13, 2010

ESOK SIAPA KITA?

ESOK SIAPA KITA?
oleh Yusrika Bahar

Damaikah senja merah itu ditanah yang kupijak
Dilatari lenggangan itik pulang petang
Sang kambing terus-terusan bermalasan meragut
Pak Tua longlai berjalan menyedut dalam-dalam rokok daunnya
Burung-burung sudah mula riuh kecoh kicaunya
Sang gadis bertudung litup bersejadah menghala ke surau
Makcik-makcik sibuk menjerit anak kecilnya segera pulang
Aku masih di tali-air duduk bermenung
Mengagah pancing yang belum mengena
Sambil melepas keluhan panjang
Renungan yang maha jauh pada awan

Sebegini jugakah orang diseberang bukit?
Adakah damai dibalik gunung raya itu?
Bagaimana pula nasibnya dihulu sungai itu?
Hmm..

Akan sampai sinikah perang itu?
Akan tiba sinikah pertumpahan darah itu?

Apa harus ku buat?

Mengagah itik-itik itu masuk ke reban..
Menambat kambing agar tak lepas...
Melaung pada Pak Tua agar lekas jalan...
Mustahil untuk kusuruh burung-burung itu diam
Tak sampai hatiku pada gadis-gadis agar tidak beribadah disurau
Atau kujerit pada makcik-makcik itu jangan dilaung anak pulang
Tapi terus lari sembunyi dibalik hutan..jauh-jauh

Dan aku?
Berlari sana-sini bagai pahlawan perang
Menjerit melaung menyelamatkan mangsa luka parah
Menghantar isyarat agar terus lawan
Merobek badan musuh dengan parang
Menembusi dengan peluru-peluru bertaluan
Atau aku..tumpas tanpa ada sesalan atau simpati..
Hanyir..reput..busuk..
Tanpa talkin...tanpa kapan
Tanpa kalungan jasa perwira

....aaah...
Khayalan..

Adakah khabar esok?
Siapa aku esok?

Azan berkumandang akhirnya
Aku mengangkat batang pancingku
Ke surau...moga ada tenang lagi..aman lagi..kulihat lagi senja sebegini..


Tali air, Benut
Pontian Johor..

HARI PUISI & LAGU : ESOK SIAPA KITA? & NOTA UNTUK ISRAEL
18hb Julai 2010 / Ahad / 2.30 Petang
Lorong Seni, Menara KBS, Presint 4, Putrajaya
Yusry : 012-7052504
FB : Yusrika Bahar

Percuma

Terbuka untuk semua yang mahu hadir. Mahu berpameran, berjualan, berteater, berlagu, berakustik, berpuisi dan apa sahaja atas dasar seni..datanglah, hadirlah, sokonglah, bantulah.

Wednesday, July 7, 2010

O AKU LELAKI

OO AKU LELAKI
oleh Yusrika Bahar

Ku berjalan seiringan dengan awan
Menikmati ruang alam ciptaan tuhan
Sungguh indahnya
Aduh cantiknya
Sang perawan tersenyum manja bibirnya

Aku tertawan
Aku tak keruan
Sungguh rupawan
Dimataku bagai bidadari kayangan

Oo
Syukurku pada tuhan
Kurniakan seorang teman
Suka duka jalan sama
Banggaku jadi arjuna...


p/s: Lagu yang masih separuh siap. Siapalah mahu bantu cari 'chord'nya..

Tuesday, July 6, 2010

ALAM & MANUSIA

ALAM & MANUSIA
oleh Yusrika Bahar

Manusia adakalanya sangat mudah lupa
Bila terbiasa dengan mulutnya, matanya, hidungnya, telinganya dan badannya
Adakah perubahan itu bermakna
Bila keselesaan itu tidak mengajar apa-apa
Apa yang kau nak sebenarnya dalam hidup?
Ditegur berkali-kali kerana kesenangan yang kau nikmati
Atau tegarnya otak kau untuk bekerja bersama-sama
Sampai bila harus leka dengan kebiasaan
Hanyut dengan kehidupan tanpa mengenal alam
Tidak mengenal pencipta
....
BERUBAH!
....
Bergunakah lagi bila hilang tempat bergantung
Bermaknakah lagi bila hilang tempat bermanja
Berertikah lagi bila hilang tawa riang gelak suka duka herdikan makian
Didepan kau girang dengan celuparmu
Dibelakang hilai kau tiada ukuran dek mengata
Baling batu sembunyi tangan
Tenggelam dalam khayal
....
Maaf boleh mengubah keadaan?
Tangisan kau bernoktah atau terus jalan?
Tiada guna sesalan jika nasi sudah menjadi bubur
....
Terbanglah
Hilanglah
Pergilah
Kemudi cinta kau
Kemudi hidup kau
Kemudi jalan kau
Kemudi cita-cita kau
......
BERUBAHLAH!!!!


Komponen Penjelajahan Lasak
Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda
Tahap Gangsa Putrajaya
Laman Nur Bestari, Ulu Yam, Selangor

Wednesday, June 30, 2010

KUTUKAN UNTUK ISRAEL

KUTUKAN UNTUK ISRAEL
oleh Yusrika Bahar

"Cut and Edited Version"


Sunday, June 27, 2010

HIDUP KAU AKU

HIDUP KAU AKU
oleh Yusrika Bahar

Hidup bukan sendiri-sendiri
Hidup bukan untuk diri sendiri
Hidup bukan menyendiri
Hidup berdiri bersendi
Berkhabar bertangga berita
Menguntum senyum berlapang dada
Bukan meludah mendongak langit
Kain lain diselak
Sendiri terselak tak sedar
Semut seberang jelas dimata
Gajah sejengkal tak hirau pandang
Adatnya santun tak lepas laku
Baling batu sembunyi tangan
Kaki disalah mulut dikunci
Ditulah kehulu, patut merafak jalan usul
Bukan senandung menyimpang arus


Putrajaya International Convention Centre