PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Monday, August 31, 2009

JANGAN BERSUARA

JANGAN BERSUARA
oleh Yusrika Bahar

Nak kata pasal MERDEKA
Semua orang mengatakannya
Aku cuma duduk tepi jalan laman rumah
Memerhati kanak-kanak bermain
Ada yang lari-lari sambil bawa bekas nak ke Masjid
Ambil bubur lambuk
Mereka tahu ke hari ini hari apa?
Masa depan mereka macamana?
Mereka tentukan atau ibu bapa yang tentukan?
Sebab tak mahu anak-anak mereka susah di kemudian hari
Aku nak berdiri tegak mendongak ke atas...
Melihat Jalur Gemilang yang masih melambai rakyat jelata...
Taat kepada Raja dan Negara
Sanggup menumpahkan darah dan keringat
Demi sebuah kebebasan tanpa penjajahan...
Tanpa kenal apa itu perkauman
Jalan lurus dan juga punya simpang
Tanda arah perlu untuk sebuah perjalanan singkat
Dunia pancaroba
Jangan bersuara jika tak mengerti
Penghayatan dan pemahaman memerlukan masa
Bertindak jika ada yang terasa
Salam MERDEKA ke-52

Benut,Pontian
6.35 petang
31 Ogos 2009

Sunday, August 23, 2009

TAPAK PELITA

DARI PENGASAS PRODUKSI TAPAK PELITA

oleh Azwan Effenddy Azmi

Pada 20/8/2009, Produksi “Tapak Pelita” telah memulakan sesi latihan dengan sesi pembacaan skrip yang mana melibatkan 11 orang ahli produksi iaitu Yusrika, Airene, Azhana, Ayie, Mira, Ameer, Suhaila, Haidi, Zeey, Sue dan Aku. Perjalanan sesi latihan yang berlangsung di Flora Damansara kali ini membuahkan hasil di mana pihak produksi telah berjaya dan bersedia untuk membuat persembahan pada bulan 10 tahun ini.

Maklum balas bagi penggemar-penggemar teater di serata Kuala Lumpur pula menyatakan hasrat yang positif di mana mereka akan turut serta memberikan semangat dan dorongan. Insyaallah… Mudah-mudahan kerja yang berlangsung ini akan memberikan kepuasan kepada tetamu yang hadir.

Jadi, nantikan saja persembahan dari Produksi “Tapak Pelita” yang bertemakan :

“Aku, Kau, Kita, Kami…Bebas”

Yang akan dipentaskan selama tiga hari berturut-turut, memuatkan kompilasi tiga teater pendek nukilan Yusrika bin Bahar iaitu :

“Cendol & Rojak”

“Sang Gajah & Sang Semut”

“Babak Akhir”

Jadi, kepada sesiapa yang berminat untuk menyaksikan pementasan ini bolehlah hadir pada tarikh-tarikh yang berkenaan :

23 – 25 Oktober 2009 (Cadangan)

Jam 8.30 hingga 10.30 malam

Bertempat di Stor Dewan Bahasa & Pustaka (DBP)

Hadirlah dan sama-samalah kita memeriahkan lagi majlis pada malam itu. Sebarang komen atau cadangan juga akan diterima. Insyaallah, sejurus selepas habis pementasan teater pada hari-hari yang berkenaan, Produksi “Tapak Pelita” akan membuka sesi soal jawab bersama para penonton. Semoga pementasan kali ini berjayalah hendaknya… Insyaallah…


P/s : Saudara Fendi, what can i do without you....

Kepada sesiapa yang ingin turut serta sila hubungi saya / Fendi / Ungubiru75.blogspot.com

Kepada ahli > yang sedia ada, jangan....

HANGAT-HANGAT TAHI AYAM!

BERCAKAP TAPI TIDAK TAHU APA YANG DIBICARAKAN!

Sunday, August 16, 2009

TEATER TAPAK PELITA

PRODUKSI TAPAK PELITA
oleh Yusrika Bahar

Salam Sejahtera,

Aku berada di kampung Benut, menunggu khabar dari Kota Lumpur, pementasan kami di bawah kelolaan Teater Anugerah Merdeka 2009 tidak dapat diadakan kerana kesuntukan masa dan juga pemilihan karya yang dilihat datangnya dari nama-nama besar dalam industri teater. Apa nak buat, pasrah sahaja.

Namun khabar lain, Produksi Tapak Pelita akan mengadakan pementasan sendiri di Stor DBP lewat bulan Oktober ini (InsyaAllah) dengan menggunakan konsep 'black box' dan 'poor teater'. Semuanya atas dasar bajet dan kewangan yang menggunakan poket sendiri sahaja. Kepada ahli kelab dan mereka yang berminat untuk turut serta di alu-alukan. Sila hubungi Setiausaha iaitu Kak Azhana di ungubiru75@yahoo.com.

Pementasan berdasarkan karya dan keperluan berikut :

Karya 1 : Yusrika Bahar
Tajuk : Sang Gajah & Sang Semut
Genre : Absurd & Eksperimental
Watak : Sang Gajah, Sang Semut dan Tukang Kata
Keperluan : 3 orang
Durasi : 15 Minit

Karya 2 : Yusrika Bahar
Tajuk : Rojak & Cendol
Genre : Realism
Watak : Limah, Raju dan Boon
Keperluan : 3 orang
Durasi : 15 Minit

Karya 3 : Yusrika Bahar
Tajuk : Babak Akhir
Genre : Realism
Watak : Tan Sri Mukhlis, Puan Sri Maya, Adam, Hawa dan Awan
Keperluan : 5 orang
Durasi : 30 Minit

Setiap karya yang akan dipentaskan diatas adalah berdasarkan isu semasa dan diolah mengikut situasi dan keperluan masakini. Disebabkan ruang dan bajet yang terhad, pementasan ini akan banyak menampilkan emosi dan pengucapan dialog yang memerlukan penghayatan yang amat berat.

Sama-samalah kita menantikan yang terbaik dan kami juga mengharapkan yang terbaik walaupun serba kekurangan. Sokongan, doa dan pandangan daripada pihak kalian amat kami harapkan dan sanjungi. Moga kita bertemu nanti.

Sekian, Terima-Kasih




Saturday, August 15, 2009

IKLAN MERDEKA KE-52

CENDOL
oleh Yusrika Bahar

I
Ini ayah saya
Ibu saya
Abang dan saya
Ayah bawa kami kesini untuk bergambar bila ada sambutan yang besar
Baju baru yang kami pakai itu hanya untuk bergambar
Kami terpaksa mengikat perut dan berjimat
Supaya Ayah boleh membeli baju baru untuk kami semua
Walaupun hanya setahun sekali

II
Ayah berniaga cendol di waktu petang
Pagi pergi menoreh
Ibu surirumah dan membantu menyiapkan jualan
Cendol ini resipi turun temurun
Cendol Ayah sedap
Ayah berkayuh setiap hari untuk berniaga di pekan
Ayah sangat rajin dan tidak kisah berpenat
Kata Ayah Rezeki jangan ditolak musuh jangan dicari
Namun aku hairan, ada ketika aku ikut
Ayah memberi wang kepada seseorang yang bengis
Ayah hanya kata wang perlindungan
Kita sudah bebas tapi ada lagi kawasan jajahan
Aku tak suka tapi Ayah kata sabar

III
Satu hari Ayah buka mulut dan berjanji
Resipi sedap cendol ini akan Ayah ajar padaku
Saya gembira
Tapi gembira itu juga buat aku leka bermain dengan abang
Berkejar hingga ke dapur
Saya terpijak cendol jualan ayah
Habis semua tumpah
Saya takut dan hanya diam
Abang tampil mengaku
Ayah memukul Abang dan menghukum kami
Pulang kerumah hanya bila masuk tidur
Ilmu cendol itu pasti tidak diajar

IV
Saya ikut Abang keluar dan kami sama-sama termenung
Kassin, Leman dan Boon mengajak kami bermain sama
Kami makan tengahari di rumah Leman
Ibunya melayan kami dengan baik
Masakan Ibu Leman sedap
Malam ke rumah Kassim
Juga sedap dan menyelerakan
Akhirnya kami pulang dengan takut yang masih ada
Ayah hanya senyap,
Ibu menyuruh kami mandi dan tidur

V
Setiap kali lalu didapur, saya akan berhati-hati
Ibu akan membebel kerana tidak mahu perkara sama berulang
Saya akan memerhatikan ibu membuat cendol
Senyap-senyap saya catit didalam buku sekolah
Saya simpan dan sorok elok-elok
Tidak mahu sesiapa tahu

VI
Satu hari ayah pulang dengan muram
Ayah kata tidak mahu lagi menjual cendol
Tidak sanggup dan tidak untung
Ayah dapat kerja sebagai pembantu am rendah
Namun begitu hidup kami begitu juga

VII
Sejak itu ayah sangat pentingkan pelajaran dan bahasa kami
Siang berbahasa Melayu
Malam berbahasa Inggeris
Ayah kata bahasa ibunda sudah ada dalam diri
Begitu juga dengan adat, kepercayaan dan budaya kami
Bahasa Melayu itu Bahasa Kebangsaan
Bahasa Inggeris untuk maju kedepan
Dalam masa yang sama hak dan keharmonian sama-sama dijaga
Saya hanya diam kerana tidak faham dan keliru
Kenapa pula kami bersekolah dengan Boon?

VIII
Akhirnya saya mula faham satu persatu bila menginjak dewasa
Gambaran yang kabur makin jelas
Kini buku yang dulu saya simpan elok tidak lagi jadi rahsia
Ayah tidak marah tapi bangga kerana warisan itu tidak hilang
Saya juga bebas dan tiada takut dengan penjajah
Saya bangga punya ramai kawan
Kami
Berdiri pada jejak tanah yang sama
Menghirup pada nafas udara yang sama
Mencari rezeki nikmat tuhan bersama
Walau ada perbezaan kami selesa bersama
Kerana kami
1 Bangsa 1 Malaysia



p/s : Tiada apa yang perlu kita risaukan kalau semua Kaum, baik Melayu, Cina, India, Orang Asli dan Kaum Pribumi lain faham akan Rukun Negara, Wasiat Raja-Raja Melayu, Perlembagaan, makna Perpaduan dan Sejarah Tanah Melayu > Malaya > MALAYSIA.

Thursday, August 13, 2009

KERJA

KERJA
oleh Yusrika Bahar

Fakta : Setiap 6 bulan samada di IPTA / IPTS seramai 50,000 lebih kurang akan menjalani Majlis Konvokesyen dan ini bermakna seramai itu jugalah graduan akan dilahirkan dan memasuki pasaran kerja di negara ini : Malaysia.

Aku sudah pun berada didalam kelompok graduan yang mencari pekerjaan. Mahu sambung belajar lagi ke peringkat tertinggi tapi tahap kewangan pula yang menjadi masalah disamping hutang PTPTN yang perlu dilangsaikan.

Aku bukan graduan yang tidak punya kemahiran atau tidak boleh berbahasa inggeris, namun rezeki itu belum lagi berpihak kepadaku. Aku masih mencari dan menanti. Bukan tidak menghantar resuma dan memohon ke mana-mana pihak samada majikan swasta atau kerajaan, semua itu sudah pun dilaksanakan dan masih lagi dilaksanakan. Wang simpanan juga habis semata-mata menaip surat, mengemaskini resume, mencetak segala dokumen yang diperlukan, membeli setem, membeli sampul surat, membayar bil internet dan juga pra-bayar telefon bimbit. Mesti ada juga yang senasib denganku. Malah tak kurang juga membelanjakan wang semata-mata menghadiri temuduga di dalam negeri mahpun ke ibu kota. Keputusannya, aku masih lagi menunggu.

Pengalaman di temuduga juga mencabar keimanan dan kesabaran. Manakan tidak pihak temuduga bertanyakan soalan yang adakalanya memang menduga kesabaran dan tidak masuk akal. Ku titipkan disini beberapa pengalaman ku ditemuduga. Ada yang didalam Bahasa Inggeris tetapi telah kuubahsuai dan kutukar ke Bahasa Melayu kita.

Bacalah dan nilailah aku, samada aku ini memilih kerja atau sebaliknya....

Penemuduga : P
Aku : A

Pengalaman 1
Syarikat Swasta / Kuala Lumpur
Jawatan : Admin Exec


P : Oh anda graduan UiTM dalam bidang BBA, komunikasi anda bagus dan interaksi anda bagus.
A : Terima-kasih
P : Nampaknya berdasarkan kemahiran ini, anda tidak layak untuk memegang jawatan ini, seharusnya anda memohon jawatan di bahagian Pemasaran dan Jualan.
A : Adakah jawatan itu ditawarkan?
P : Kami belum buka jawatan itu lagi dan kami akan maklumkan kepada anda sekiranya ada dan anda berminat.
A : Ya, saya berminat.
P : Jawatan ini akan berdasarkan basic yang rendah + komisyen yang tinggi + faedah yang tertentu.
A : Baiklah dan bagaimana jawatan yang ditemuduga sekarang?
P : Saya akan hantar ke Director / CEO dan kami akan berbincang samada anda layak ataupun tidak. Terima-kasih. Sekiranya anda tidak menerima sebarang jawapan dalam masa seminggu, ini bermakna anda gagal.
A : Sama-sama dan terima-kasih kerana menemuduga saya.

Keputusan : Aku gagal dan tidak dapat pekerjaan.


Pengalaman 2
Syarikat Swasta / Kuala Lumpur
Jawatan : Kontrak / Marketing Admin


P : Kenapa kami perlu mengambil anda bekerja?
A : Kerana saya mempunyai kriteria yang anda perlukan dan saya sanggup menerima apa sahaja bebanan tugasan yang diberikan.
P : Adakah anda mencari pekerjaan lain?
A : Buat masa sekarang ya kerana saya tidak pasti jawatan manakah yang akan saya perolehi.
P : Sekiranya anda mendapat jawatan secara tetap dan gaji yang diberikan juga memuaskan hati anda adakah anda akan bekerja disitu.
A : Ya saya akan bekerja disitu.
P : Jadi mengapa kami perlu mengambil anda bekerja sekiranya anda mencari pekerjaan tetap?
A : ( aku sudah menyumpah seranah dengan hebat didalam hati )
P : Gaji maksimum yang akan kami beri ialah RM1500 dan anda letakkan disini ialah RM1800. Sanggup dengan gaji yang sebegini?
A : Ya, asalkan saya perolehi pekerjaan.
P : Bagaimana sekiranya ada jawatan lain yang lebih tinggi selepas ini dan lebih bagus?
A : Secara jujur setiap orang akan mencari pekerjaan yang lebih selamat dan bagus, oleh itu saya tidak terkecuali.
P : Jadi, mengapa kami perlu mengambil anda bekerja?
A : ( Sekali lagi aku menyumpah seranah dengan hebatnya didalam hati )
P : Anda punya pengalaman kerja sebelum ini?
A : Ya, selama 3 tahun di sektor....
P : Kerja yang akan ditawarkan ini membuatkan anda akan berhubung dengan syarikat luar negara dan menjaga akaun mereka. Oleh itu kami menawarkan gaji ini kerana anda tidak mempunyai pengalaman bekerja dengan mana-mana syarikat luar negara dan menggunakan bahasa inggeris sepenuhnya.
A : ( Whatever..dalam hati )
P : Sekiranya anda terpilih, kami akan hubungi anda secepat mungkin kerana kami amat memerlukan pekerja.

Keputusan : Aku tidak diterima bekerja. Gagal

Pengalaman 3
Syarikat Swasta / Kuala Lumpur / Johor
Jawatan : Saja-saja & Main-main

P : Anda pernah bekerja dimana-mana sebelum ini?
A : Tidak
P : Nampaknya SPM anda bagus, hmm SPM tahun 199.. dan sekarang 2009. Apa anda buat sebelum ini?
A : Saya buat kerja macam-macam dan ada juga berkebun dan membantu keluarga di kebun.
P : Hmm bagus, jadi anda sanggup buat apa sahaja kerja dan menerima arahan.
A : Ya Saya.
P : Saya akan hubungi anda nanti.

Keputusan : Gagal kerana kantoi aku ada KWSP dan pernah bekerja di Sektor Kerajaan dan mempunyai Diploma dan Degree. Entah mana dia tahu aku pun tak pasti...
**************************

Hmm banyak lagi pengalaman aku ditemuduga dan sebenarnya ada juga yang bagus cuma mungkin ada calon yang lebih layak. Bukan aku bersifat perkauman, namun setakat ini jika di pihak swasta aku belum pernah ditemuduga oleh orang melayu. Rata-rata Kaum Cina dan India yang menemuduga. Mereka Berbahasa Inggeris. Ada juga yang tanya samada aku boleh berbahasa Mandarin atau tidak. Tidak lupa yang bertanya bolehkah aku bekerja sekiranya aku seorang sahaja Melayu dan sebagainya. Ada juga yang tawarkan aku bekerja yang sama taraf dengan budak tak sekolah pun boleh buat kerja tu. Aku ok tapi gaji lak yang tak ok. Tak lepas pun nak bayar sewa rumah, hutang an sebagainya. Ada juga kerja dah ok, gaji dah ok tapi waktu bekerja pukul 3 pagi hingga 1 tengahari. Aduh, nak pergi kerja naik apa?

Oleh itu, adakah aku memilih kerja atau sebaliknya? Aku sanggup jadi kerani tiket ke pencuci lantai LRT ke atau pembuat teh atau budak pejabat. Namun yang dikhuatiri, sanggup kah mereka meletakkan aku di tempat sebegitu walaupun aku tidak kisah. Apakah makna aku belajar dan berhutang dengan keluarga dan PTPTN semata-mata aku mahu menggenggam segulung Ijazah dan menyarung jubah Konvokesyen yang boleh digantung diruang tamu rumah serta menjadi tontonan tetamu yang datang?

Sudahnya dan memang tak pernah putus, setiap kali aku lepas solat setiap kali tu juga aku tadah tangan minta pintu rezeki tu buka luas-luas untuk aku.

Aku tidak memilih pekerjaan!!!



Benut, Pontian
Johor Darul Takzim





Wednesday, August 12, 2009

APA MASALAH KAU?

APA MASALAH KAU?
oleh Yusrika Bahar

Entah mengapa aku lihat orang itu duduk menung
Pasal apa ya?
Keseorangan dengan wajah gelisah dan cengkung
Menongkat dagu sambil mendongak ke langit
Hujan nak turun?
Terik mentari panas?
Kenapa dia menangkap mataku?
Apa istimewanya?
Lalu kutanya pada dia..
Apa masalah kau?
Dia toleh dan senyum
Aku tambah hairan sebab dia tidak cakap apa-apa
Aku tanya sekali lagi...kuat sedikit
Apa masalah kau?
Dia kerut muka...dia jawab
"Aku tak suka jadi manusia
Manusia pun macam binatang
Manusia boleh makan manusia
Perangai lagi buruk rupanya
Binatang lepas beranak pandai jaga anak
Malah ayam pun berketuk kuat kalau kacau sarang dia
Tapi manusia, pandai buat anak
Lagi hebat daripada binatang...boleh buang sepah-sepah"
Aku terkedu...
Habis kau nak jadi apa kalau bukan manusia?
Entah yang penting bukan binatang dan bukan manusia
Aku tinggalkan dia
Benar juga apa yang dia kata
Aku bersyukur sebab aku bukan binatang...



Stor DBP
Kuala Lumpur

Sunday, August 9, 2009

TEATER ANUGERAH MERDEKA DBP 2009

TEATER ANUGERAH MERDEKA
DBP 2009

oleh Yusrika Bahar

Sekali lagi pihak DBP menganjurkan pementasan teater 10-15 minit. Pada awal tahun lepas aku tidak berkesempatan menghantar karya dan penyertaan kerana kesuntukan masa dan tahap kewangan yang amat membimbangkan. Sekali lagi pihak DBP menganjurkan program yang sama sempena Sambutan Kemerdekaan pula. Masih lagi dibelenggu masalah yang sama kerana aku masih belum mendapat pekerjaan dan secara ilmiahnya graduan yang menganggur. Bukan tidak mahu mencari kerja atau tapi entahlah, walaupun aku mohon kerja kilang sebagai operator dan penjaga tandas pun mereka tidak mahu mengambil aku bekerja. Aku tidak kisah bersama pekerja asing tapi di pihak majikan tetap mempunyai alasan tersendiri untuk menggajiku. Susah sangat nampaknya rezeki nak lekat. Namun begitu aku masih tidak berputus asa. Segala macam doa ku panjatkan kepada yang Maha ESA agar mengerti keperitan aku ni.

Namun, dalam masa yang sama, Kelab Produksi Tapak Pelita Kuala Lumpur & Selangor akhirnya terlaksana hasil inisiatif aku dan Fendi. Malahan ramai juga yang turut serta menjadi ahli dan sama-sama mahu mengusahakannya. Ralatnya, mereka yang menjadi ahli terdiri dari individu yang sudah bekerja dan berjawatan. Aku? Sebagai pengerusi kelab tercatat di dalam borang pendaftaran sebagai "Belum Bekerja". Kelakar bukan?

Oh ya, pada 5hb Ogos lepas aku telah menghantar 7 Karya Teater Pendek ke pihak urusetia Teater Anugerah Merdeka dan Alhamdulillah, dua daripadanya terpilih sebagai simpanan (reserves) untuk dipentaskan. Karya Sang Gajah & Sang Semut, dan juga Karya Cendol. Pementasan akan berlangsung pada 17-19hb Ogos 2009, 8.00 Malam di Stor DBP. Tarikh mana Produksi Tapak Pelita akan mementaskan karya tersebut belum aku ketahui kerana ia akan diuruskan oleh Setiusaha Kelab yang sangat cantik, baik hati dan berdedikasi iaitu Puan Azhana Ismail atau lebih dikenali Kak Ana. Tidak lupa ahli dokumentasi yang punya mesin fotokopi sendiri (hakikatnya majikannya punya) iaitu Airine yang juga begitu bersemangat menyokongku. Terima-kasih. Doakan semoga pihak DBP memilih karya ini untuk dipentaskan. Mudah-mudahan....Amin.

Disini aku sertakan sinopsis Karya yang dipilih untuk dipentaskan (jika terpilih) . Aku tidak berhak menilai karyaku sendiri, tapi berdasarkan proses penciptaan aku berkarya berdasarkan pemahamanku pada isu semasa yang berlaku disekeliling kita. Aku bukan Graduan dalam bidang Teater mahupun Seni tapi aku mahu turut serta merancakkan industri ini agar terus hidup dan berwarna-warni.


KARYA 1


Sang Gajah & Sang Semut

Arahan & Skrip oleh Yusrika Bahar

Sinopsis
Sang Gajah & Sang Semut adalah kisah kepimpinan politik yang disampaikan secara sinis dan bersahaja. Stigma pemikiran kepimpinan, yang besar memang layak jadi pemimpin dan yang kecil harus jadi pengikut sahaja. Sang Semut yang merasa kepincangan ini, berusaha menjejaki Sang Gajah kerana pemikiran lapuk Besar itu Bapak, Kecil itu Anak harus dimerdekakan. Sang Gajah dan Sang Semut bertengkar kerana Sang Semut mahukan keadilan dan kebebasan yang sewajarnya dan Sang Gajah tetap angkuh dan sombong dengan jawatannya hingga lupa yang kuasa memilih juga berada di tangan warga hutan yang lain. Akhirnya siapa yang tertewas dan ditewaskan? Mampukah Sang Semut menjadi Sang Gajah? Adakah Sang Gajah tahu apa itu demokrasi dan diplomasi?


KARYA 2

Rojak & Cendol

Arahan & Skrip oleh Yusrika Bahar

Sinopsis
3 Sahabat bertemu. Raju dan Limah mengusahakan restoran dengan menggunakan Rojak dan Cendol sebagai menu utama. Boon adalah rakan dan juga kenalan sejak kecil membantu mengkomersilkan produk cendol. Tiga sahabat ini terkenang zaman kanak-kanak mereka, cendol yang diusahakan bapa Raju menjadi titik-tolak persahabatan mereka terjalin. Perbezaan budaya, agama dan bangsa tidak menjadi masalah bagi mereka kerana keharmonian dan perpaduan menjadi keutamaan mereka.



Jadi para pembaca blog ini, bagaimana? Silalah hadir (jika karya ini diputuskan untuk dipentaskan) ke Stor DBP pada 17-19hb Ogos ini kerana bukan karya ini sahaja, tetapi anda akan dihidangkan dengan pelbagai lagi genre dan karya teater dari penggiat teater tanahair. Datanglah dan sokonglah kami. Karya aku ini akan diarahkan oleh aku sendiri dan dilakonkan oleh ahli Kelab Produksi Tapak Pelita.

Aku tidak mengharapkan kesempurnaan tapi mengharapkan mesej dan maksud yang tersurat dan tersirat jelas dan dapat disampaikan. Segala komentar dan pandangan juga amat kuharapkan dalam memantapkan lagi perjalanan kelab dan penulisanku. Bagi mereka yang ingin menyertai Kelab Produksi Tapak Pelita, anda amat dialu-alukan.

Semoga berjumpa lagi.
Sekian, Terima Kasih.