PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Sunday, September 27, 2009

KELIRU

KELIRU NAFSU
oleh Yusrika Bahar

Nak kata aku bodoh ya juga
Terlebih pandai mungkin ada benarnya
Bijak...agaknya
Entah
Peluang depan mata aku tak hiraukan
Lenggoknya...
Senyumannya...
Manisnya...
Tutur katanya...
Langkahnya...
Godanya...
Manjanya...
Tawanya...
Aku suka
Aku bahagia menatapnya
Aku merindui hadirnya
Namun,
Aku tak mulakan langkah mendekatinya
Aku biarkan dia pergi
Aku biarkan dia melangkah
Aku biarkan dia berlari
Aku biarkan dia menongkah
Aku biarkan dia mencongak
Aku tinggalkan dia dalam keadaan aku keliru
Mana satu perlu kudahulukan
Keperluan atau keinginan
Masa menelan usia
Walau ia sekadar angka....


Raya ke-5
Syawal 1430
Benut, Pontian, Johor

Monday, September 21, 2009

LEBARAN INI

LEBARAN INI
oleh Yusrika Bahar

Salam Lebaran Aidilfitri. Min Al-Aidil Wa Al-Faizin.

Raya datang lagi. Alhamdulillah berjumpa lagi aku dengan bulan Ramadhan dan kemudian disambut dengan Syawal sebagai tanda kemenangan. Kemenangan melawan dugaan dan hawa nafsu. Bagi yang tidak merasai apa-apa, terpulang. Tepuk dada tanya selera.

Bila tiba Syawal yang mulia ini akan kedengaranlah pelbagai ayat-ayat klise tentang itu ini begitu begini. Segala-galanya tentang RAYA. Sebagai umat Islam dan lebih-lebih lagi Melayu, tradisi samada bermula dengan juadah hidangan, berkunjungan, waima duit raya sekalipun sambutlah dan meriahkanlah.

Pada yang punya kampung halaman bersyukurlah kerana masih dapat melihat sambutannya. Aku masih kagum dengan suasana kampungku yang masih mengekalkan tradisi dan adat lebaran. Namun aku agak sedih dengan sesetengah manusia yang suka merungut dan bersungut tentang raya. Ada yang kata tidak seronok, bosan, tak tahu nak buat apa, penat dan sebagainya.
Bagi aku, alah bisa tegal biasa. Ini adalah musim perayaan. Seeloknya kita sambut dengan bangga walaupun bersederhana.

Kenapa bosan? Tak kenal saudara-mara, masing-masing punya kerenah yang tak masuk kepala. Rindu kawan-kawan dan aktiviti yang selalu dibuat bila dirumah. Dikota!

Kenapa penat? Melayan tetamu yang berkunjung, tapi mak bapak je yang layan sebab kita tak kenal.

Kenapa tak tahu nak buat apa? Sebab tak tahu nak menyediakan hidangan dan juadah. Semuanya tersedia.

Kenapa pening? Adat dan ideologi berbeza. Tak sebulu dan tak sekepala denga sepupu-sepapat. Lagi best di kota.

Aduhai!!!

Pelik sungguh dengan kenyataan yang diatas. Aku bukan apa, ada yang masih tidak faham dengan namanya adat dan budaya. Bila makin lapuk tahu pula risau. Maka dengan musim perayaan seperti ini, masanya untuk kita hidupkan kembali. Bukan selalu pun.

Bosan, sebab anda tidak mahu mulakan langkah mengenali saudara-mara. Carilah topik yang boleh dikongsi bersama. Bertukar-tukar fikiran. Manalah tahu. Rupa-rupanya pakcik yang tak ditegur itu orang bergelar, punya pangkat. Manalah tahu, sepupu yang manis itu seringkali terserempak dikota tapi tak dikenali. Manalah tahu, susah payah kemudian hari ada juga yang boleh diharap.

Penat, adatlah kita berhari-raya. Ringankan senyuman, hulurkan tangan. Bergotong-royong. Takkan ibu bapa kita sahaja yang berpenat lelah menyediakan keperluan. Sekurang-kurangnya pelbagai idea dan informasi dapat diketahui. Bertukar pandangan dan gaya kehidupan. Barulah tahu apa itu toleransi.

Tak tahu nak buat apa. Aduhai, cubalah rajin kedapur. Ambil tahu dengan keadaan. Nak memerap sahaja duduk dibilik. Duduk senyap-senyap dipenjuru rumah buat apa. Nak menonton tv sahaja pun buat apa. Bukan selalu begini.

Pening. Kerenah macam-macam. Ingat, masa kita kecil-kecil dahulu, sama sahaja. Jangan manjakan sangat diri tu. Nanti sampai bila kita akan jadi kera sumbang. Cari titik tengah yang boleh timbulkan keserasian. Persefahaman. Bukan nak cari musuh tapi kan elok bila persaudaraan itu terjalin erat. Pasti ada hikmah disebaliknya.

Oleh itu, usah bersungut. Kalau bukan generasi kita ini yang menyambung tradisi siapa lagi? Takut satu hari nanti bila adat ini hilang, mulalah kita merindui. Sibuk mencari disana-sini. Lemang dan ketupat pun tak dikenali lagi. Nak mengayam apatah lagi. Rendang tok pula sibuk dicari resepi dan belajar melalui chef berbayar. Sedangkan dulu boleh belajar percuma dengan saudara-mara. Panjut dan pelita pun tak tahu rupa macamana. Barulah sibuk ke arkib negara buat kajian.

Jangan jadikan kemajuan dan teknologi menghalang perkembangan pemikiran kita melupakan tradisi yang umurnya berzaman. Warisan ini, kalau hilang kita juga yang akan malu dikemudian hari. Bangga bergelar Melayu dan Warganegara Malaysia tapi malu bila adat dan budaya sendiri pun tidak dapat difahami dan dihayati.

Aku bukan mengata, tapi sekali lagi ayatnya tetap sama : Tepuk Dada Tanya Selera!




Maaf Zahir Batin.

Yusrika Bahar
Anak Jati Bugis
Kampung Benut

Wednesday, September 16, 2009

LIDI SEBERKAS

LIDI SEBERKAS
oleh Yusrika Bahar

Ruang laman mana-mana
Hilangkan sampah laku
Buang yang jelek
Kasi bersih, kasi cantik, kasi terang.
Lidi seberkas mencakar tanah coklat
Dedaun gugur terbawa angin
Kiri kanan depan belakang
Bila ada bau mula hidung sakit
Mata kerling segenap ruang
Otak pusing pikir keliling
Siapa bangkit bingit
Baling batu sembunyi tangan
Mana berkat
Siapa muafakat
Batas padi berbunga lalang
Tiada runduk hidung tinggi
Rupanya beruk berak didada tangga
Ada rengekan minta ditetek
Namun kerja belum habis
Mana kemudian mana dulu
Jejak tetinggal dilorong
Angin menderu terik menyengat
Mendung berhujan batu
Nafas tak cukup tangan tak sempat
Mungkin pedoman bukan igauan
Sambung sapu walau geram...



Benut, Pontian

Friday, September 11, 2009

BEBAS

BEBAS
oleh Yusrika Bahar

1 Bangsa 1 Malaysia. Gagasan Perdana Menteri yang acapkali kedengaran sekarang. Ada yang terharu dan tak kurang juga yang mencebik. Kalau kau bukan orang Malaysia baik kau berambus kalau nak mencebik saja.

Bagi aku perkataan PERPADUAN memang wujud, tapi perlaksanaannya masih perlahan. Melayu jumpa Cina jumpa India dan jumpa lain-lain pun terasa sangat pelik. Sesama rakyat Malaysia tapi cakap Bahasa Inggeris. Tak salah bagi aku, memang tak salah. Namun alangkah indahnya jikalau sama-sama berbahasa Melayu. Barulah nampak yang Bahasa Melayu itu Bahasa Kebangsaan. Perkara 152 tidak diremehkan. Orang luar pun akan terbit rasa bangga. Bukan mencebik bukan mengata.

Walaupun aku bukan berada di zaman itu, tapi perkara yang begitu mengesankan bagi aku adalah sewaktu Tunku Abdul Rahman mahu ke Kota London menuntut kemerdekaan. Tunku mengadakan perjumpaan dan menyatakan kesusahannya, sudahnya kain terbentang dan pelbagai kaum menderma dengan harta apa yang ada sahaja. Baik Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum. Duit, barang kemas, emas permata dan lain-lain. terhulur dan dihulur tanpa ragu-ragu dan sangsi demi sebuah KEMERDEKAAN. Sungguh terharu dan mengharukan setiap kali membacanya, melihat gambaran lukisan itu, mendengar ceritanya dan yang terbaru menonton filemnya. Itu Perpaduan bagi aku.

Sekarang. Susah dah nak jumpa. Kalau ya pun ada keramaian contohnya Sambutan Merdeka dan perarakan, persembahan setiap kaum dipersembahkan namun adakah mereka bertegur sapa? Saling menyokong dan berbual mesra? Aku yang banyak kali turut serta jarang menonton perlakuan begitu. Kalau bukan teman rapat, kalau bukan rakan sekuliah, kalau bukan teman sekerja, jangan harap.

Sampai bila masing-masing nak prejudis? Sampai bila nak berprasangka? Sampai bila nak paling muka? Sampai bila nak Kau Aku? Sampai bila nak dilaung perkataan 1 Malaysia dan Perpaduan? Sampai bila?

Tepuk dada, tanya selera.



p/s : Saksikan Teater Aku,Kau,Kita, Kami...BEBAS Oktober ini di Stor Teater DBP

Wednesday, September 9, 2009

Lebih Sudu Dari Kuah

LEBIH SUDU DARI KUAH
oleh Yusrika Bahar

Benar kata pepatah...Gajah depan mata kita tak nampak. Semut seberang lautan boleh pula kita teriakan ya. Itu belum, Kera di hutan disusukan anak sendiri mati tak makan. Tapi itu nilai orang kita...orang Melayu dan juga ya sekarang Bangsa Malaysia.

Lepas tu sejak dahulu lagi kalau sebut 1 Serumpun pula, maksudnya negara yang berkongsi bahasa dengan kita, Malaysia, Indonesia dan Brunei. Lebih kuranglah. Persoalannya sekarang kenapa ada yang terus-terusan kata kita salah kan?

Cuba anda lihat, hutan kat Seberang terbakar, kita yang kena jerebu. Lepas tu kita yang hantar orang pergi padamkan. Seberang laut kena gempa, kita bergegar. Lepas tu kita yang hantar orang tenangkan. Seberang laut menganggur, kita yang bagi kerja. Lepas tu kita yang dikata tak pandai jaga pekerja dia sampai bagi RM400 je sebulan.

Pelik kan? Itu belum isu seni lagi. Sikit-sikit, mereka sangat bagus. Seni mereka asli sangat. Kita yang disini tiada ketulenan, hanya tahu menciplak. Salah orang luar pun kata kita salah. Mereka menari separuh bogel nak dibanggakan. Kita tak cakap pun itu kita punya, siap mengaku salah depan-depan silap penerbitan orang luar, tapi kat seberang laut, tercanang hebat siap-siap nak berperang.

Kenapa ya sampai macam tu sekali? Kita sikit tak melenting kat sini kena ngata macam-macam. Seberang laut mengalahkan perang dunia ke-4 kecohnya. Itulah, Lembu punya Susu, Sapi dapat nama...ya ke? Marahkan Nyamuk, Kelambu dibakar? Bukan juga agaknya.. Oh ya mungkin tepat, diberi Betis nak Peha pula.

Kita buat baik jarang nak dilihat, mungkin sebab kita malas nak melawan..bukan dapat apa pun. Daripada sakit, baik duduk senyap-senyap buat hal sendiri. Bila dah penat melenting tahulah senyap nanti. Dah terhantuk baru nak terngadah nanti tahulah kita pulang paku buah keras. Betul tak?



p/s : Hek Eleh...buat-buat faham sudah.

Friday, September 4, 2009

AKU KAU KITA KAMI....BEBAS

AKAN DATANG



p/s : datang beramai-ramai. Meriahkan industri teater tanah air kita.


CINTA TERAKHIR

CINTA TERAKHIR
Komposer : Hafiz Hamidon
Penyanyi : Aiman Sidek

Kau cinta pertamaku
Kau cinta terkahirku
Tiada apa yang bisa menafikan kasih kita
Kau ayu dimataku
Satu antara seribu
Tiada tara didunia

Mungkinkan terputus ditengah jalan
Mungkinkan terlerai tanpa ikatan
Usah ragu dengan takdir

Kau ayu dimataku
Satu antara seribu
Tiada tara didunia

Mungkinkan terputus ditengah jalan
Mungkinkan terlerai tanpa ikatan
Usah ragu dengan takdir
Mungkin kita kan berbeza haluan
Berakhirnya cerita percintaan
Segalanya ketentuan Tuhan




p/s : Hayatilah liriknya..