PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Showing posts with label Bila malam tiba. Show all posts
Showing posts with label Bila malam tiba. Show all posts

Sunday, August 7, 2011

JIKA KU TOLEH LAGI

JIKA KU TOLEH LAGI
oleh Yusrika Bahar

Berat ku langkahkan kaki mengharung siur depan mata
Lidah sudah ku kunci untuk berbicara buat sekian kalinya
Perlu apa lagi kutitiskan airmata buat yang melupai
Bagai hati tertusuk duri
Bagai diri sudah terkubur mati

Kusesakkan benakku menyesalimu
Kulapangkan hatimu merelakanmu
Aku kematian
Aku kehilangan
Puing-puing udara dihadapan bagai mengejek kudratku
Ini rupanya harga diriku
Ibarat daun kering berguguran..kontang berterbangan

BERHENTI

BERNAFAS

BERJALAN

...........................

Untuk siapa kudepangi sesalan

Untuk apa kuladeni amarah
Mengapa masih kucuba dustakan hiba

Ah!

Mudah kuajar resminya padi,
namun lalang juga jadi kendiri
Sudahnya aku diperbodohkan lagi
Hanya dengan alasan berdikari
Berpijak dibumi sendiri

PERGI

Jangan kau hadir dalam mimpiku lagi...
Bukan aku membenci
Tapi mungkin aku yang kelewatan melepaskan kau pergi
Jalan didepan itu masih punya ku lagi
Jika ku toleh lagi...

Wednesday, April 13, 2011

LUAHAN RASA & JIWA

LUAHAN RASA & JIWA
oleh Yusrika Bahar


ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA.

Apa khabar? Lama tak menulis panjang kan? Sekarang ini juga aku masih berkira-kira samada jari-jemariku ini mampu dan mahu menaip panjang-panjang. Cerita segala luar dan dalam aku. Buka pekong didada dan biar semua orang baca betapa bodohnya aku menjual maruah sacara maya disini.

Haaaa..(aku ketawa sebenarnya). Semakin hari sekitaranku makin sibuk. Beban tugas yang tak kunjung padam disulam dengan tanggungjawab yang terus memberat. Boleh aku membelakanginya? Sudah tentu boleh! Namun apa nikmatnya jika aku berpaling menjauh? Rasa? Jiwa? Asa aku? Luahan yang selalu ku lagukan? Kenyataan yang selalu disalahertikan. Ada orang kata sudah-sudahlah tu kejar apa yang kau usahakan. Nanti bila parah, kau akan tidak terkata-kata lagi.

Senyum dengan ungkapan sebegitu. Tidak kurang yang memandang sinis bila kasihku tidak hanya kutumpahkan pada keluarga sahaja. Malah pada sesiapa yang mahu merasa jiwaku. Aku sayang tanpa ada had sempadan walau bukan sedarah daging seurat nadi seleluhur waris. Ah persetan pada yang mengjengkelkan. Sampai bila harus hidup dengan tulah onar orang. Ramai yang bilang ini adalah ruang untuk kongsi segala. Namun jika semua mahu dikongsi maka apa yang tinggal bagiku? Kerahsiaan apa yang belum dibuka lagi jika semua pintu kuncinya disini?

Sebenarnya jika bicara tentang kemahuan, permintaan dan kepenatan, tiada satu pun bahasa yang pasti untuk menerangkan semuanya bahawa aku punya macam-macam kemahuan, permintaan dan kepenatan. Aku butuh bantuan, aku sempit kesenangan dek kegilaan pada kecintaan yang segelintir sahaja yang menjayakannya. Subjektif? Atau terlalu Absurd?

Jawapan pada aku : Entah! Aku sendiri tidak tahu teori apa yang digunakan dan teknik apa yang dilestarikan. Pokoknya tidak tepat pada 1 ungkapan saja. Setiap orang punya dimensi berbeza dalam penafsirannya. Sebab itu adakala aku tidak berpegang pada 1 jawapan pasti bila ditanya sebab perspektif manusia berbeza mengikut peringkat umur, ekonomi, sosialisasi dan keberadaannya.

Ah! Senang bangat menentukan halatuju hidup jika ia semudah bicara. Rancang, jalan dan lihat impak. Pasti semuanya bagus-bagus sahaja kan. Namun apalah daya aku jika kudrat tidak setanding mimpi. Jika ada yang disukai juga hanya sekadar dimata tapi tidak dihati. Bibir kata ya tapi jiwa belum pasti.

Bungkam..

Mungkin entri ini lebih pada syok sendiri untuk dimengerti. Apa yang aku perlu peduli, bila ramai mengatakan blog ini lebih kepada personal berbanding bisnes. Setiap orang kan aku bilang tadi bahawa punya cara melihat yang tersendiri. Maka aku pulangkan juga pada kalian untuk membacanya hati aku tika ini (jika anda pandai menekanya melalui entri ini). Tiada maksud apa-apa baik yang zahir mahupun tersirat. Taipan kali ini hanya cacamarba untuk aku menulis apa sahaja yang terlintas di benakku.

Pusing? Pening?

Tenang. Sebab aku sendiri sedang cuba mengkhayalkan diri dengan bait-bait kata pemuisi yang puitis campur lagu yang enak menjengah halwa telinga.

Jumpa lagi dan maaf kali ini ya.



p/s : Masih rindu 'dia'
Pagi tadi ke SBP Sek Men Sultan Alam Shah (SAS) bertanding Teater Mini Sketsa Kerjaya.
Mana silapnya, 2 naskah skrip aku hasilkan dan dua-dua tidak dipentaskan.
Salah aku tidak menjiwai temanya hingga ditolak dan dirombak. Seperti ternoda bukan?
Kemudian sekali lagi aku terpaksa menerima kekalahan.
Bila yang tidak wajar dinobat pemenang.
Bila yang layak dinafikan haknya.
Aku sedih-geram-marah-kecewa-rindu 'dia'-pasrah!

Tuesday, April 12, 2011

AKU & HATI AKU

AKU DAN HATI AKU
oleh Yusrika Bahar

Jarang berhubung
Masa tiada bertaut
Aku merungut
Kata-kata hilang
Sempadan tak larut

Aku diam bila mahu bercakap
Aku senyap bila mahu ketawa
Aku bungkam bila mahu ceria

Biar awan mendung
Biar ribut berdentum
Biar ombak menggulung
Biar...
Tidak mengharap cuma menjangka
Mimpi pada yang sudi

Sendu itu tiada siapa yang tahu
Peduli untuk jalan mati.
Nafas luhur tandus
Kontang..

Namun
Aku ada hati
Walau bukan milik aku penuh

.....

p/s : Malam ini aku rindu pada 'Dia'

Sunday, February 20, 2011

AKU GILA!

KISAH AKU MINGGU INI
oleh Yusrika Bahar

Salam

Aku mahu diam tapi aku lapar.
Aku mahu melalak tapi aku lapar
Aku mahu....

Pernahkah kau rasa
Hidup tak seindah yang disangka
Khabar tak seindah rupa
Mimpi tak seindah nyata
Pernahkah kau rasa...

Dan, aku gila minggu ini.
Dan, aku miskin hari ini.
Dan, aku lapar..

Semalam aku gila berteater di PKRM bersama tikus-tikus makmalku. Kemudian aku gila bermain badminton. Kemudian aku gila melayan lagu-lagu bakat baru di Gravvy Baby. Aku gila lagi 'open mic' berpuisi akustik disitu bersama teman-teman dan tikus-tikusku. Fynn Jamal demam aku melalak juga. Suaraku rabak, penatku longlai, poketku kontang, hatiku walang.

Aku gila campur lapar!

Harini masih gila! Esok...?

????



p/s : Jangan tiru hidup aku yang tak menentu!


Friday, January 28, 2011

SENYAP

SENYAP
oleh Yusrika Bahar


.......
Lidah kelu
Akal buntu
......
Tuli
Bisu
......
Siapa aku?



p/s : Asal dari tanah jua.

Saturday, December 4, 2010

KISAH PATAH HATI

KISAH PATAH HATI
oleh Yusrika Bahar

Kau tanyakan pada warasmu
Mengapa akal setuju
Detik cemburu itu ada..angkuh
Akhirnya ludah itu milikmu semula
Menodai kerongkongmu semula
Cerita yang masih hangat
Sakit terlupakan
Tiada nafas yang hangat
Tiada mata yang cerlang
Semangat itu pudar warnanya

Kisah bertimpa kisah
Mengharung segala macam khabaran
Tersebar kata-kata ancaman
Ada payah siksa yang terasa
Persoalan yang manisnya itu bila akan hadirnya
Jika pahit melekat rasa
Kau bodoh, dungu atau tolol?
Mana ada aman dalam tekanan
Bagai tahanan menjeruk rasa
Terperangkap dan lemas dalam keselesaan
Kepayahan yang tiada titik noktah
Kosong....

Ganjaran kau hamburkan menutup cacat-cela
Janji tertunai dalam masih ada rawan
Terus tanam peransang
Agar semut terus menghurung gula
Harapan bertingkah rengekan bertingkah laku jelek

Tanyakan lagi warasmu
Dalam wajaran mengejar usia
Dalam kilau sesempit cahaya
Terus kau masih belum sedar
Masih kejap percaya dalam perbahasan
Lena dengan anganan yang entah jadi nyata atau sekadar maya
Peduli dengan bahu membahu ringan pikul berat setara
Dan kau akhiri persoalannya itu "bagaimana?"
Aku sudah mati
Namun tangisan itu bersulam ketawa yang jengkel
Mengejek pada tubuh yang tiada nilai


p/s : Persoal diri sendiri sebenarnya

Thursday, October 28, 2010

CUKUP SUDAH!

CUKUP SUDAH!
oleh Yusrika Bahar

Hati yang sudah terluka pasti akan penat untuk berfikir
Bicara yang jadi sia-sia undang tangis dalam rapuh
Aku tidak kuat
Aku tidak seteguh kota Paris
Juga tidak setanding putihnya Taj Mahal
Sayang tidak berpanjangan
Kasih hanya sebentar cuma

Aku bercumbu dengan bayang-bayang
Harapan palsu serta cita-cita yang disampahkan
Lemas menghitung hari
Karam dengan hasrat yang tak kesampaian
Lalu
Aku menerima kata-kata ejekan diri sendiri
Bodoh menilai manusia!

Kenapa aku yang sering menerima bahananya
Mengapa aku terus berlari mengejar mimpi
Aku ketawa dengan kebodohan
Aku menangis dengan jinak manja
Rindu itu tidak membunuhku
Tapi menebak merobek meluluh kesihatanku

Bangun hanya terus hidup
Berjalan hanya terus hidup
Berkata hanya terus hidup
Kerana ada udara
Kerana ada tanah
Kerana jasadku masih bernyawa

Pandangan kosong ini mengalir bagai Sungai St Louise
Kecamuknya bagai di Amazon
Tersembunyi jauh di sudut Kota Mayan
Namun jelasnya kedengaran hampa
Bagai Istana Musim Panas Beijing

Cukup seksa aku!
Beri aku ruang untuk bahagia
Beri aku pelangi untuk gembira

Cukup sudah!



p/s : Hajat tidak setanding mimpi

Tuesday, August 31, 2010

CACAMARBA HIDUP

CACAMARBA HIDUP
oleh Yusrika Bahar

Salam MERDEKA ke-53.
Ramadhan makin tiba di penghujungnya. Secebis pahala masih susah untuk aku himpunkan. Nilai keimanan yang makin menipis bagai kulit bawang entah bila akan mekar dan menebal kembali. Ya atau tidak. Aku masih terbelenggu dengan keinginan, kemahuan dan nafsu yang pelbagai.

Ah, lupakan. Tiada apa yang mahu dikatakan lagi. Aku sebenarnya terlalu banyak yang difikirkan. Terlalu banyak perancangan. Terlalu banyak impian yang perlu dihidupkan. Terlalu banyak harapan. Terlalu banyak janji yang mahu ditunaikan. Terlalu banyak kata-kata yang ingin diluahkan.

Entah...
Bungkam..
Sepi..

Bila fikir tanggungjawab sesama manusia. Apa yang telah aku buat? Apa yang orang-orang sekeliling aku telah buat? Akan buat dan sedang buat? Tanggungjawab sosial! Siapa pemikir? Siapa perancang? Siapa pelaksana? Satu-satu buat aku gerun. Satu-satu buat aku kehilangan akal. Satu-satu buat aku sesat dengan punca dan jalan yang aku teroka sendiri. Pengikut?
Ketawa...

Kesedaran adalah yang sukar ditafsirkan dengan pengolahan fizikal campur akal dan emosi. Dimana mereka mahu berdiri dan kemana haluan selepas ini? Seringkali aku nyatakan, katakan dan luahkan "mahu orang pandang tapi tak mahu tandang"

HIDUP DIDUNIA INI BUKAN SENDIRI-SENDIRI
HIDUP BUKAN UNTUK DIRI SENDIRI

Sudahnya? Kemana kita mahu pergi? Mahu jadi?

Jangan suka ambil mudah dengan apa yang kita miliki. Manusia seringkali tersasar dengan apa yang mereka mahukan. Kejap jadi orang, kejap jadi binatang. Hahahahaa.... Itu adatnya bila sudah terbiasa dengan apa yang berada depan mata. Kepayahan, kesusahan tidak dihirau dan diambil peduli. Orang sekeliling? Tak mahu pikir. Bila puas diri sendiri cukup!

Hidup mahu senang, hidup suka gebang, borak tanpa ada sedar orang lain lebih gemilang.

Kawan-kawan. Ini bukan untuk aku seorang tapi untuk semua yang mahu sama-sama pikir guna otak yang tuhan bagi. Ingat! Badan kita bukan kita punya semua. Ada bahagiannya dan hidup didunia ini tiada yang percuma tapi semua TERPAKSA. Fikir ya.

Akhir kalam. Renungkan dengan mata hati..bukan dengan otak yang terletak di bontot kerusi!

Salam

p/s : Tikus-tikus makmal baca ni...

Tuesday, August 10, 2010

CERITA PENDEK

CERITA PENDEK
oleh Yusrika Bahar

Keadaan didalam sebuah kelas dengan pelbagai ragam pelajar yang datang dari pelbagai latar sosialisasi. Secebis kisah dari keseluruhan cerita. Seorang guru yang berusaha mendirikan dan menjayakan institusi yang kian lemah dibaham generasi Z kononnya.

GURU
Zaki, kalau kamu diberi pilihan untuk melakukan sesuatu yang kamu terlepas dalam hidup tanpa menikmatinya sungguh-sungguh apa yang kamu mahukan?

ZAKI
Mengapa saya perlu pilihan jika tiada apa yang hendak dipilih?

GURU
Tolong jangan rumitkan keadaan! Jawab sahaja soalan saya.

ZAKI
Keadaan tak rumit, Cikgu yang cuba..

CIKGU
Cukup!

ZAKI
Baiklah, teruskan.

CIKGU
Saya yang mahu kamu jawab soalan yang keluar dari mulut saya sebentar tadi. Bukan membenarkan kenyataan kamu yang menyuruh saya teruskan.

ZAKI
Sekarang, jika diberi pilihan untuk memberikan jawapan adakah saya akan memuaskan hati Cikgu yang inginkan jawapan yang Cikgu hendak dengar sebenarnya?

CIKGU
Sekali lagi, Zaki. Kamu sesat.

ZAKI
Tugas Cikgu untuk membuatkan saya kembali ke pangkal jalan.

CIKGU
Untuk apa?

ZAKI
Agar saya boleh berikan jawapan yang Cikgu mahukan.

CIKGU
Apa yang saya mahukan?

ZAKI
Jawapan kepada soalan tadi?

CIKGU
Apa soalannya?

ZAKI
Pilihan.

CIKGU
Jadi? Apa pilihan kamu?

ZAKI
Benar Cikgu mahu mendengar pilihan saya?

CIKGU
Seperti yang kamu mahu Cikgu dengar..

ZAKI
Jika saya diberi pilihan saya mahu BERAK dengan AMAN.

CIKGU
Itu bukan persoalannya dan kamu tidak menjawab soalan! Jawapan ini salah!

ZAKI
Lihat. Sudah saya katakan Cikgu hanya mahu mendengar jawapan yang Cikgu mahu dengar. Adakah itu pilihan saya atau pilihan Cikgu.

CIKGU
Sepatutnya lebih meyakinkan dan relevan

ZAKI
Saya yakin dan ia relevan

CIKGU
Berak? Kenapa tidak berjalan bersama seseorang dikaki bukit dibawah sepohon pokok besar yang rendang dan lebat daunnya disertai angin sepoi-sepoi bahasa dan awan yang redup. Kenapa mesti BERAK?

ZAKI
Pilihan saya.

CIKGU
Kenapa mesti BERAK?

ZAKI
Jawapan saya dan terpulang pada saya.

CIKGU
Kamu kelirukan kelas. Kamu pelik!

ZAKI
Cikgu yang pelik kerana Cikgu berdiri bagai seorang Arkitek yang membina bangunannya dan Cikgu gagal memahaminya. Cikgu yang merumitkan keadaan. Lihat dari sudut dimensi berbeza.

CIKGU
Terangkan

ZAKI
Setiap persoalan akan memberatkan kepada penemuan persoalan dan jawapan yang seterusnya dan setiap jalan kepada persoalan akan menghala kepada persoalan dan jawapan yang lain.

CIKGU
Itu sains!

ZAKI
Tidak, itu PILIHAN!

CIKGU
Pilihan kamu?

ZAKI
Saya andaikan contoh Cikgu tadi, andaian akan timbul dan setiap andaian akan merungkai satu jawapan baru. Satu jawapan baru akan memberikan satu lagi persoalan baru. Persoalan akan kembali semula untuk mencipta persoalan. Seterusnya dan seterusnya.

CIKGU
Berak?

ZAKI
Itu hanya perlambangan penolakan yang saya tidak mahu menjawab persoalan tadi dan juga sebagai tanda yang saya punya pilihan untuk menentukan apa yang saya mahu pilih dalam hidup saya. Bukan ditentukan dan dikuasai oleh Cikgu sendiri. Berak! Sekurang-kurangnya saya tahu matlamat akhir pilihan itu adalah untuk Berak dan memuaskan perut dan diri saya sendiri. Bukan untuk orang lain. Saya menikmatinya dan saya tahu keputusan akhirnya. Saya tidak perlu memikirkan apa-apa semasanya kerana saya hanya mahu berak dan keputusan itu tidak perlu dipengaruhi oleh sesiapa kerana datangnya dari saya sendiri dan bukan orang lain.

CIKGU
Bukan itu jawapan yang saya mahukan tapi saya membenarkan kenyataan dan jawapan itu. Jadi ada apa-apa lagi yang mahu kamu katakan.

ZAKI
Owh ya, izinkan saya keluar kelas kerana saya mahu BERAK!

CIKGU
Hahaha..nampaknya kamu berhadapan dengan PILIHAN!

Pelajar itu kehilangan kata-kata dan terus keluar dari kelas menuju ke tandas sambil mukanya merah padam menahan sakit-perutnya dicampur dengan kata-kata gurunya. Guru itu terus ketawa sambil melihat suasana kelasnya yang juga kehilangan kata-kata mengenai permainan kata dan debat yang sebenarnya tidak membawa apa-apa perubahan yang bermakna.


p/s : Inception= The Matrix Trilogy

Friday, June 11, 2010

TITIPAN DUSTA

PUNGGUK
oleh Yusrika Bahar

Kenapa pungguk rindukan bulan?
Adakah kerana cahayanya?
Kerana ayunya?
Pesona?
Tak tahukah si pungguk bulan penuh bukan selalu?
Terus-terusan rindukan bulan atau limpahan cahayanya?
Kerana cantik kau pilih atau kerana jelita atau kerana bulan itu sendiri?
Menjadi perindu yang tak keruan untuk apa?

Ah..
Sekurang-kurangnya pungguk tahu tentang bulan
Pungguk tahu tentang kesiangan
Melanguk adatnya sama sahaja
Pungguk tahu berkira-kira
Pungguk tahu madah pujangga
Walau mergastua ada yang mengata
Tidak mengapa sebab itu jalan yang dia pilih
Merindui bulan yang tak pernah mungkir janjinya

Pungguk tahu hala matanya ke mana...



Dataran Merdeka
S.A vs Mexico

Friday, June 4, 2010

SEDAR RUANG

SEDAR RUANG
oleh Yusrika Bahar

Duduk lama-lama
Sedut rokok dalam-dalam
Fikir jauh-jauh
Tenung malam luas-luas
Peluk lutut erat-erat
Punggung kejap-kejap
Duduk kalih-kalih
Mata kebil-kebil
....
Senyap
....
Hembus..sedut..hembus
....
Aku lepas keluhan ala-ala manja tapi nada gusar
....
Senyap lagi
....
Benar kata si punya otak
Bukan semua hatinya sama
Bukan semua akalnya sama

Tak semua orang kaya
Tak semua orang miskin
Tak semua orang senang
Tak semua orang susah

Semua boleh SELESA bila terBIASA

Cuma

Tak semua sedar ruang

Ukur baju dibadan sendiri
Kira luas kehidupan
Hitung kotak akal pemikiran
Bila selesa dan terbiasa
Lumrahlah didengar
Orang itu sakit hati
Orang ini dendam
Orang begitu merajuk
Orang begini tak sebulu

Susah kan jadi manusia?
Semua ruang nak jaga
Semua sudut nak kira
Semua 'kain' orang kena telek
Semua 'barang' kena belek

Sudahnya apa yang dikelek?
Jujurnya hati?
Santunnya lidah?
Perangai macam gampang
Mulut macam longkang
Hidup macam lalang
Tak sedar, ruang sekangkang
....
Senyap
....
Hembus...sedut...hembus
....

Kotak segiempat
Tingkat 12, Fasa 5 & 6
Presint 9B

Monday, May 31, 2010

ANGAN ARJUNA

ANGAN ARJUNA
oleh Yusrika Bahar

Seringkali aku terkujat
Lemas mengejar udara
Aku lupa bernafas
Tiap kali kau muncul dan aku berdepan denganmu
Betapa mataku tak mampu mengalih hala
Senyumku tak lekang dek tempias sembangmu
Manjamu jadi igauan lena
Memujamu bak juadah dari syurga
Bagai Taj Mahal ciptaan Shah Jehan
Ibarat Babylon buat hilang rawan si isteri
Aku hanyut kebanjiran
Cintamu bersulam pancaran pelangi indah
Mengajarku khayal dalam sedar
Betapa kau mahluk tuhan yang memukau dimataku
Mengapa kau hadir
Dalam saat aku keseorangan tanpa cinta
Kesepian dan kegersangan
Terbuai dengan kecantikan
Terpana dengan keluhuran dan keikhlasan
Janjiku buatmu
Jangan kecewa dan putus asa denganku
Sebab aku Arjuna yang pasrah dan tidak punya kuasa
Untuk berdepan dengan cintamu
Aku kalah dan tewas dengan gemalai kasihmu
Sedarkan aku
Yakinkan aku
Bahawa aku manusia biasa
Dan kau bukan bidadari syurga
Menawan aku sebagai tahanan perang
Tapi kau rahmat tuhan
Buat kemudi hidupku yang umbang.

Tuesday, May 18, 2010

LORONG SENI



NUANSA BARU LORONG SENI
oleh Yusrika Bahar

Kini apa yang telah terjadi menjadi memori dan kenangan indah.
Tidak mungkin dapat dilupakan.
Menjadi lembaran baru buat kerjayaku serta ingatan tersendiri.
Terima-kasih kepada Tikus-Tikus Makmal dan Rakan-Rakan Seni yang lain.
Jasamu tidak mungkin dapat ku balas sepenuhnya.
Diharap ruang ini mampu memperkenalkan kalian.
Peroleh jalan yang lebih terang serta rezeki yang lebih murah.
Tiada apa lagi yang mampu aku berikan kerana aku bukan sesiapa.
Tidak punya nama, tidak punya pangkat dan tidak punya harta.
Hanya semangat dan kecintaan terhadap apa yang aku usahakan.
Aku juga sedih kerana kehilangan seorang tikus makmal yang banyak juga keletahnya.
Maaf wahai tikus andai terasa, tapi ianya akan menjadi memoir indah untuk dikenang.
Semua itu dugaan dan cabaran untuk mematangkan lagi fikiran.
Sekali lagi tahniah semua.
Moga ada kelapangan di masa akan datang
Kita bersua lagi, kita berpesta lagi, kita berjuang lagi
Jika maaf itu bermakna dan boleh mengubah keadaan, aku mohon maaf.
Jika tidak sama-sama kita cari jalan penyelesaian yang terbaik
Di LORONG SENI 2011.


Putrajaya, 16 Mei 2010 - Timbalan Menteri II Kementerian Penerangan Komunikasi Kebudayaan Malaysia YB Senator Puan Heng Seai Kie berucap menyempurnakan upacara penutupan Lorong Seni & Teater 'Sketsa Kampung Aman' di Dewan Serbaguna Kementerian Belia dan Sukan Malaysia di Presint 4, Putrajaya. Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia Dato Razali Ibrahim dan Puan Wasitah Bte Hj Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda dan diserikan oleh Mentor Kaki Teater Muda Putrajaya, Puan Erma Fatima dan Puan Noraniza Idris.






Terima-kasih kepada :

Puan Wasitah Bte Hj Mohd Yusof
Encik Azhari
Bos-Bos Rakan Muda
Pegawai Kanan & Kiri Rakan Muda
Unit Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda
Kaki Teater Muda Putrajaya
Tikus-tikus Makmal
Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia
Akademi tatih Seni
Puan Erma Fatima
Puan Noraniza Idris
Pixel Playground
Pakatan Paradoks
Sisi Seni Production
Zarah Creatives
Frinjan
YOUTH
Suria.fm
ASWARA
TeKA UiTM
Fynn Jamal
Irsyad
Beeha
Aloy
Cech Adrea
Lim
Faizal Aziz
Yusli
Puan Anfatny
Cik Fiza
Drum Simfoni
Gendang Seni
Dr. Zubin
Suhaila
Zulhabri
Farhan
Ayie Beskal
SAGAS- otai Sempana Riau
Kosmo
RTM
Zamzarina
Puteri Amelia
Puan Rabiah
Abang Zahid
Pengakap Lembah Pantai
Zarina Harun
Sofi Mariam
Sofi Murni
Dilla
Aliff Zaqwan
Ahmad Ikhwan
Kru Teknikal
Sukarelawan Rakan Muda

Ramai lagi yang aku nak berterima-kasih dan ucapkan Penghargaan tapi tak teringat, tak terlarat, tak terucap, tak terkata. Semua yang hadir menyokong juga tidak mampu aku ingat satu persatu. Maaf andai ada salah dan silap, kekurangan yang dihadapi harap dapat mematangkan lagi kita di masa hadapan.

LORONG SENI
Menara KBS, Presint 4,
Putrajaya

p/s : Maaf sekiranya Lorong Seni ini tidak seperti jangkaan di Pasar Seni, Frinjan Dataran Shah Alam dan mana-mana tempat yang sewajarnya dan seadanya. Kami di pihak Kaki Teater Muda Putrajaya dan Bahagian Pembangunan Rakan Muda sedaya upaya untuk tidak meminggirkan para penggiat seni bebas dan pencinta seni tempatan untuk turut sama memeriahkan Sambutan Hari Belia Negara 2010. Diharap ruang dan platform ini sebagai batu loncatan untuk kemudahan yang lebih terurus dan tersusun dimasa akan datang.

Kepada yang masih sendiri-sendiri, mendaftarlah sebagai ahli atau tubuhkan Persatuan anda secara sah. Barulah kita di Rakan Muda dan KBS mudah untuk menyalurkan bantuan untuk kita semua beraktiviti dan menyemarakkan aktiviti teater, seni dan lain-lain sewajarnya.

Buat tikus-tikus makmal yang dikasihi, hanya ini yang termampu aku sediakan untuk kalian. Aku tunjukkan jalan aku hidangkan cara dan aku bentangkan peta. Keputusan ditangan anda. Jangan dilupa pelajaran juga penting seadanya. Jika mahu berjaya dikemudian hari ingatlah! Wahai tikus-tikus makmal nak berjaya memang kena sakit dahulu. Nak nikmat pun kena bersusah-payah. Andai kau rasa kau dah berjaya, belum sebenarnya. Jauh lagi. Sedangkan aku baru berkira-kira belajar merangkak dan bertatih, apatah lagi kalian? Jangan mudah angkuh dengan gelaran dan populariti. Jadilah padi yang sentiasa menunduk ke bumi bukan lalang yang menyakiti kaki dan mata hati.

Sekian!


Saturday, April 10, 2010

IMPIAN AKU

IMPIAN AKU
oleh Yusrika Bahar

Salam

Hari ni penat tahap nak muntah. 600 soalan dalam masa 5 jam terus-menerus dalam dewan peperiksaan. Itu tak termasuk dua esei dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Penat bahu, tengkuk dan segalanya. Malamnya pula sebelum tu tidur atas lantai je..sejuk gamaknya. Tak mengapa. Biasakan diri dengan kesusahan..nanti dah senang tak lupa langit dijunjung, bumi yang dipijak. Aku hanyalah ibarat sang gembala di tanah gersang. Terjumpa oasis yang segar aku terus asyik masyuk.

Huh? Metafora yang tiada sebarang perlambangan kan? Mengarut betul! Hahaha

Hari ni memang penat. Buat pengetahuan demi cita-cita dan cinta aku turutkan jua agar kerjaya lebih terjamin dimasa depan. Keluarga senang, adik-adik senang nak 'pau' aku dengan mudahnya. Paling koman diri aku sendiri, mudah-mudahan dapatlah merasa HP 3G, Notebook, Minyak wangi Hugo Boss, Seluar Dunhill dan macam-macam lagilah pasal nafsu je. Tak ramai orang tahu yang pakaian yang melekap kat badan aku ni rata-rata adalah jenama yang keluarannya dari kedai BUNDLE. Kemeja ke, t-shirt ke. Seluar dalam je original beli. Sedar diriku bukan anak orang kaya yang punya duit berkepuk dalam dompet atau bank.

AKu sebenarnya walaupun hari ni jasad aku ada di JB dan bersama keluarga, tapi hati aku aku ni meronta-ronta di tempat lain. Ingatan aku sepenuhnya kat Putrajaya. Atau dengan kata lain dekat Kaki Teater Muda Putrajaya. Banyak lagi yang aku sedang teroka dan pelajari. Ragam manusia. Nak kata aku terlalu mengharapkan kesempurnaan, mungkin ya. Tapi entah. Hati orang mana kita boleh tau, tapi perwatakan mungkin dapat diteka. Aku sayang kat budak-budak ni, ada "sentimental value". Sebabnya aku tak pernah jumpa budak-budak yang ilmunya '0' tapi sanggup macam orang yang ilmunya penuh kant'o'ng. Aku hadap peperiksaan di JB tapi hatiku ingat kat mereka ni satu-persatu. Gelagat mereka buat aku senyum sorang-sorang. Tak lupa penat-lelah dipejabat hilang seketika kalau tengok wajah mereka ni. Ada yang nakal dan ada yang serius, ada yang kuat sensitif, ada yang suka tunjuk lagak tak bertempat, ada yang tunjuk pandai tapi sebenarnya tak tahu apa-apa..macam-macam. Tapi alah bisa tegal biasa. Aku SAYANG mereka dan hendakkan yang terbaik buat mereka. Tapi budak-budak tu pada aku? Hmm..maha berat untuk aku tafsirkan.

Bob 'ufrow'
Anak tunggal yang dijaga oleh si ibu tunggal. 'Horny' sentiasa..tp 'cool' je kalau kena bahan. (orang kata, nak cari kawan yang baik dan memahami apabila mula-mula dia kena bahan walau sesensitif mana sekalipun, tapi dia tetap 'cool' dan boleh terima seadanya). Dia punya komitmen bagus tapi banyak kelemahan dia nak kena 'polish' walaupun adakalanya aku pejam sebelah mata je. Aku sayang dia sebab boleh harap tapi harapan tu kadang-kala tak menjadi. Tapi lepas ni tidak lagi. Biar dia belajar macamana nak jadi pemimpin yang bagus. Dia punya mata memang ada masalah. Suara dia senang je cakap ikut sedap mulut dia. Sampai dia lupa diri yang dia tu siapa. Ingat dia besar aku takut, huh! Ada aku kesah? Dia ni dah banyak sangat hutang dengan aku tapi yang aku nakkan dia antara pelajar terbaik ASWARA satu hari nanti.

Fahmi Iswan
Mamat ni aku selalu beri perhatian lebih dekat dia. Tak tahu kenapa, sebab dia 'pecah rumah' kot tp itu bukan persoalan pokok. Dia dengan Nadia adik-beradik. Nadia kakak. Budak ni suka ambil mudah dengan semua perkara sampai dia tak tahu nak bezakan mana yang serius atau tidak. Entah-entah nak tunggu aku 'meletup' agaknya baru dia tahu kesungguhan aku pada dia. Semua tu aku pejam sebelah mata lagi sebab aku tengok dia bagus cuma dia belum pandai kawal lagi. Lagi satu Nabi S.A.W pernah bersabda, anak yatim adalah anugerah Allah paling berharga kalau kita nak buat pahala banyak-banyak. Senang kata buat baik dengan anak yatim ni banyak pahalanya. Tapi kalau anak yatim tu dah tak reti-reti bahasa, macamana ek? Dia suka main-main tapi bila aku suruh dia buat betul-betul, dia tetap main-main. Kadang-kadang aku hilang mood dengan dia ni, tapi bila kenang balik yang dia ni anak yatim dan ganjarannya di kemudian hari aku jadi tenang dan sabar. Tapi sampai bila nak main-main. Kalau dia betul-betul pun aku dah tak yakin samada itu betul atau tidak. Tolong yakinkan aku semula.

Abby 3's
Aku selalu bahan dia dengan lawak 3's ni. Tapi dia cool je. Nak kata 'nerd' hmm tak but he is smart and energetic. Aku selalu ajak dia borak dam ber'sms'. Buat masa sekarang aku tak tahu otak dia kemana, jatuh cinta agaknya. Good for him. Kalau itu boleh motivasikan dia, aku syukur. Dia minat sangat pada teater, ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Ibu dia hebat, seorang aktivis teater yang agak disegani pada zaman dia di UM dulu. Itu cerita yang aku dengar dari mulut orang lain juga. Abby masih banyak benda yang dia perlu kuasai, tapi adakalanya aku tak tahu fikiran dia kemana. Dia boleh buat aku tenang tapi dalam masa yang sama dia buat aku risau dan tertanya-tanaya. Aku sayang budak ni tapi aku kena ingatkan dia selalu nak buat sesuatu buat betul-betul sampai rasa penat dan puas. Pelajaran tetap penting! Jangan jadi macam aku... Dia tak nak sayang aku takpe tapi buktikan sungguh-sungguh kalau nakkan sesuatu. Aku tak mintak benda lain. Cuma jadi pelajar terbaik untuk diri sendiri dan ibu-bapa dia je.

Syukri Naufal
Hmm, aku ingat akulah budak kecik yang rendah. Tapi dia ni rendang lagi, hehehe. Tapi budak Sabah sorang agak lain. Dia boleh buat apa yang aku suruh tapi bakat dia banyak sangat, lagi satu agak 'tone deaf' tapi selagi tak usaha betul-betul mana nak tahu kan. Dia suka cakap pasal cinta tapi dia keliru cinta dia yang mana satu dan untuk siapa sebenarnya. Budak ni senang dan dengar cakap, sebab tu aku sayang dia, cuma kena selalu nasihatkan dia supaya tak tersasar jauh. Dia ni cepat lupa, selalu sangat teruja. Kena selalu ingatkan dia supaya sedar diri dan sedar ruang. Nak buat sesuatu buat betul-betul, tegas tapi bukan kurang ajar. Menurut tapi bukan Pak Turut! Buat keje biar sampai habis. Jangan sekerat jalan sahaja. Jangan cepat sangat terbuai-buai dengan keindahan sang dewi pelangi. Sekejap saja cantik tu. Hari ni mulut kata sayang esok sayang benda lain pula. Jadi orang bukan jadi orang-orang. Sudahnya nanti kita sorang-sorang rasa macam jadi orang-orang.

Amirul Osman
Hmm mamat sorang yang agak 'touching' ni. Dik, lain kali biar bertempat. Kerana santan pulut binasa. Biar orang tak 'respect' kita tapi kita 'respect' orang, sudahnya nanti 'respect' tu akan datang sendiri kat kita. Banyakkan bersabar walau orang buat kita macam-macam atau kita tak suka orang tu. Budak ni cepat belajar dan nak belajar tapi satu je dia cepat sangat 'give-up' sebelum mencuba, bila dia rasa susah terus kata susah sedangkan tak cuba pun lagi. Tapi yang aku heran bab main dram tu tak susah and 'give-up' pula. Bila aku tunjuk jalan, senang dia boleh buat. Itu maknanya dia kena rajin, pelajaran pun sama. Dia ni dengar kata dan aku pun sayang dia sangat-sangat tapi dia kena pandai atur-hidup agar senang kemudian hari. Aku nak dia cepat belajar dan jangan putus asa. Hari ni kita susah takper nanti esok lusa senang baru kita akan kenang-kenang dan kita akan ingat-ingat. Biar masa akan datang bila kita ingat balik hari ini kita akan rasa bangga dengannya. Biar orang ngata kita hari ni, biar kita mengalah, biar kita rendah diri, biar kita buat benda betul. Nanti bila dah penat tahulah orang tu berhenti, taulah dia sedar diri.

Rustam 'Tam'
Dia suka tunjuk dia kuat, jadi body guard aku bagus ni. Tapi aku tahu dia dah jumpa minat dia yang baru. Silat. Bagus Silat tu dan aku kagum dengan orang-orang silat bilamana menyentuh mengenai kemistikannya. Tapi aku lagi suka kalau dia jadi macam padi berbanding lalang. Semakin banyak isi si padi makin tunduk dia merendah diri kebumi berbanding lalang yang suka meninggi diri tapi habuk pun tarak, buat orang gatal dan miang. Bercakap dengan orang pun suka tinggi-tinggi, tapi aku suka Tam yang mula-mula masuk kelas dulu. Sopan je, itu yang aku sayang dia. Ilmu yang kita ada hanya untuk buat kita lebih rasa rendah diri sebab banyak lagi yang belum kita terokai. Jadi orang yang berilmu dan jaga mulutnya dan maruah kawannya sekali, baru orang tu dipandang tinggi. Budak ni selalu tunjukkan kebaikan dia dan aku puji sikap dia nak menolong, tapi bila sampai masa yang dijanjikan, pelbagai alasan diberikan dan aku kena terima sebab aku dah buat 'back-up' plan siap-siap sebelum dia kata tak boleh nak tunaikan lagi. Nak bukti?

Nadia Mokhtar
Dia ni kakak Fahmi. Jauh beza dengan adik dia. Tapi dia sayang adik dia. Dia ni aku sayang sebab komitmen dia yang aku nak budak-budak lain contohi dia. Tapi aku cakap bukan nak buat dia kembang kempis lubang hidung tu. Dia ni fast learner tapi adakalanya nampak 'over' sikit. But good try dan aku rasa macam nak tumpahkan semua ilmu teater yang aku ada pada dia. Dia buat apa yang aku suruh buat, dia lakonkan apa yang aku suruh dia lakonkan. Tapi kalau dah pandai sorang, jangan simpan sorang. Kan bagus kalau kongsi dengan kawan-kawan. Sudahnya nanti, orang lain senang, kita lagi senang. Cuma sekarang adalah masa terbaik untuk buat pilihan, yang mana satu pilihan kalbu...faham aku cakap apa? Buat-buat jelah faham.

Fazliyana
Budak ni free-hair, open. Cantik. Tapi sayang, dia masih tak tahu nak guna cantik dia tu. Nak orang pandang kita cantik bukan dari sudut luaran je. Dalaman pun kena hati-hati dik. Dia juga macam Nadia dan aku terkejut dengan perubahan yang dia buat dalam kelas teater. Aku kagum dengan semangat dia dan harap-harap tak pudarlah. Aku suka bergurau dengan dia sebab aku sayang dia dan aku tak nak dia lari jauh dari dunia teater ni. Dia dah tinggal usaha lebih lagi. sikit je. Dia rajin belajar dan bertanya dan aku nak orang lain pun macam dia, selalu bertanya dan belajar. Harap dia tak meninggi diri bila kena puji begini. Nak bercinta dan berkawan dengan lelaki tak salah tapi tetapkan hati yang mana satu betul-betul pilihan hati dan jangan buat orang lain tertanya-tanya.

Al-Ain
Chipsmore. Tapi dia boleh buat kerja. Aku confuse yang mana satu dia punya 'statement' yang betul???!!. Kalau naik court pun entah sapa yang menang. Aku atau dia? Kalian fikirkan. Aku masa bagi dia tugasan dan arahan ok dia boleh buat, tapi dia punya pemalu tu tak bertempat. Entah apa yang dia malukan dalam kelas aku tak tau. Tapi luar kelas, tahap 'lakonan' dia melampau-lampau 'natural'nya. Aku pun tak tau masa mana yang dia berlakon dan masa mana yang tidak. Oh...hmm dan aku tak tahu nak sayang dia atau tidak sebab dia tak pernah bagi komitmen yang dia nak disayangi dan diberi perhatian. Maaf andai terasa cuma bersikap jujur dengan diri sendiri.

Farisya
Aku suka dengan sikap dan cara dia yang cool. Tapi sayang dia juga cepat sangat nak mengalah, sebab aku tengok dia boleh pergi jauh. Cuma dia masih tak berani nak 'tackle' diri dia sendiri. Perasaan malu tu agaknya boleh mati kalau tak boleh nak 'cover'. Pelik. Aku dah start nak sayang dia tapi dia main tarik-tali. Jangan sampai aku dah bosan dan aku lepaskan macam tu je, macam tali layang-layang. Dia punya 'range' suara boleh pergi jauh, dia punya karakter dalam lakonan sangat-sangat meyakinkan tapi dia cepat 'off-mood' dan aku tak tahu kenapa dan untuk siapa. Dia juga rajin belajar tapi macam periksa juga, belajar je, tapi takde bukti sama je. Macam orang tuduh kita tak 'study' tak sungguh-sungguh. Tapi kita tidakkan kata-kata orang tu. Bila orang suruh buktikan, kita diam saja tapi dalam hati kita sumpah seranah sebab orang tu tak pandang pun usaha kita. Jadi sampai bila nak pendam? Tiba masanya lepaskan saja, dan luahkan. Baru rasa puas nanti dengan diri sendiri. Budak ni boleh buat, cuma aku tak tahu bila dia nak tunjukkan.

Fatin
Hmm, dia ni pun macam Nadia dan Faz, cuma mulut dia berat sangat nak tanya. Mungkin aku terlepas pandang kalau dia ada tanya aku macam-macam. Tapi macam aku pernah cakap sebelumnya, lebih baik kita bodoh dan selalu bertanya, berbanding kita memang bodoh tapi berlagak pandai dan buat-buat pandai. Kalau orang beri perhatian kat kita maknanya kita berjaya tonjolkan diri kita. Aku tak tuduh dia tapi aku tak nak dia jadi macam tu. Sebab budak ni memang aku sayang sama macam Faz dan Nadia. Dia sangat-sangat boleh pergi jauh tapi malu dia sangat tebal lagi. Aku cuba kikis sikit-sikit tapi bila dia dah nak 'perform' ada lagi halangan yang aku sedikit kesal dengan halangan itu. Tapi apa boleh buat, kita punya asa dan tuhan punya kuasa. Dia antara yang dah tunjukkan bakat dia dan aku percaya dengan apa yang dia tunjukkan. Cuma aku harap tak berhenti setakat ni je. Bersatu teguh, bercerai roboh dik.

Diana
Princess Diyana. Itu nama dia. Tapi kecantikan nama kalau tak disertakan dengan budi pekerti pun tak bermakna nama tu. Dia pandai bergaya, tapi gaya dia tak kena tempat. Nak nampak cantik sentiasa tapi pun tak kena dengan situasi. Aku hargai sense of fashion dia dan aku masih tak nampak dalam teater. Aku tak tahu dia ni masih dimana. Komitmen dia ok, kesungguhan dia aku nampak. Aku puji dan aku kagum dengan apa yang dia telah tunjukkan kat aku. Cuma dia macam Ain gak, tak tahu mana satu kenyataan dia yang aku boleh keluarkan kat surat-khabar kalau aku jadi editor. Tapi macam aku cakap dari dulu lagi. Kenapa ikut kalau tak mampu habiskan. Bila dah ambil anugerah jangan sekerat jalan je. Aku akan persoalkan kenapa? dan seterusnya pihak lain akan pertikaikan aku pula. Orang akan ngata yang aku ni hangat tahi ayam ya, nak tengok ada budak Putrajaya dapat pingat sedangkan hampeh sampai sudah takde. Sebab tu awal-awal aku kata komunikasi dengan ibu-bapa sangat-sangat penting. Jangan ikut hati nanti mati. Dia pandai belajar, dan dia ni ada kesungguhan nak buat, tapi jangan malu lagi. Buktikan sekarang!

Faisal
Ni lagi sorang, aku pun masih tak pasti. Ikut orang berteater sebab seronok tengok kawan-kawan atau kehendak hati sendiri. Aku harap sangat bukan sebab kawan-kawan. Aku nak tengok dia berjaya dalam bidang yang dia ceburi. Aku faham bila dia kata ibu-bapa dia benarkan asalkan dia pergi sekolah. Harap dia kotakan sebab aku dah janji dalam diri aku yang aku nak 'develop' dia lagi. Tapi aku belum boleh buktikan kalau dia pun banyak main-main dan ketawa. Kita kena bahagikan masa dan pandai set awal-awal. Kalau orang lain dah separuh hari buat kerja, kemudian kita baru sampai dengan mata tu nampak sangat baru bangun tido, takkan kita nak bagi alasan selamatkan diri lagi kan? Baiknya merendah diri dan minta maaf banyak-banyak. Tak salah kalau kita mengalah walau bukan salah kita. Aku suka dia sebab dia ringan tulang tapi banyak lagi dia kena teroka dan dia kena kejar aku dan bukan aku yang kejar dia kalau nakkan perhatian.

Azim
Aku mula ingatkan yang Syukri tu last sekali rendangnya. Rupanya ada lagi, mungkin dia nampak macam darjah dua. Tapi gatalnya dia melebihi orang anak dua. Gurau saja tapi ada benar sininsnya ni. Dia ni baik budaknya tapi adakalanya dia tak sedar yang mulut dia terlepas cakap dan macam 'longkang'. Nampak kecil tapi kadang-kadang terlupa nak jaga hati orang. Aku suka dengan komitmen dia, aku suka dengan usaha dia. Tapi hati tu kena selalu merendah diri dik. Tak salah kena kritik dan kita terima dengan hati terbuka. Tapi kalau selalu sangat menjawab dan nak pertahankan benang basah pun tak boleh juga. Banyak benda lagi nak kena belajar bukan dengan sekali pementasan, sebulan dua datang kelas dah boleh berlagak. Tolong ya, sama-sama usaha dan publisiti murahan tu akan hanya dapat bertahan sekejap saja. Ni bukan mengata awak pun tapi orang lain pun ada kena tempiasnya juga kalau tak ambil perhatian sama-sama.

YUSRIKA BAHAR @ uesrieqa_banatrez
Mamat tak sedar diri ni lagilah banyak sangat DOSANYA pada budak-budak bawah umur diatas. Dia ingat dia sahaja yang betul, dia ingat dia sahaja yang baik. Dia ngat dia sahaja yang banyak berkorban untuk budak-budak tu. Dia tak sedar pengorbanan dia berbalas bila budak-budak tu sanggup datang kelas dan latihan walaupun hujung minggu tu sedap sangat tidur dan layan kartun. Layan games dan dating kat Alamanda, takpun lagi jauh g BTS. Dia tak sedar dengan rela hati budak-budak tu mendengar dan menerima segala pujian-pujian berhikmah diberikan. Orang lain sanggup pentaskan skrip orang lain, tapi skrip dia gak budak tu bawak. BErlagak sungguh dengan tagline dia 'oh i'm genius'. Kepala hotak dia genius. Budak2 tu off key je nyanyi. Berlakon pun baik aku suruh mamat bangla tukang amik order makanan tu je berlakon lagi bagus. Takpun pakcik cleaner tukang sapu sampah kat jalan Presint 9B tu, penghayatan watak dan karakter dia lagi bagus berbanding budak-budak tu.

Alaaahai. Panjang sangat bebel aku malam ni. Nak kata aku gila memang ya sebab aku bukan tuhan. Aku hanya ada impian untuk melihat tikus-tikus bahan ujikaji ni berjaya itu sahaja. Aku mahu lihat mereka pulang dengan senyuman yang berbekas dalam hati mereka. Aku mahu satu hari nanti mereka ceritakan pada kawan-kawan mereka yang ada orang tua kutuk pernah sayang mereka. Aku mahu mereka ceritakan pada anak cucu mereka bahawa dunia teater itu sangat indah dan menyakitkan. Aku mahu mereka berkongsi sejarah bahawa satu masa dulu mereka ada antara remaja terawal yang diiktiraf di Putrajaya sebagai Remaja Perdana. Aku mahu mereka jadi bukti yang budak remaja Putrajaya memang berkualiti dan berpelajaran baik dalaman atau luaran.

Sekian, Terima-Kasih.
Meja usang, Benut,Pontian.
Johor Darul Takzim.

Sunday, March 21, 2010

UJIAN TIKUS MAKMAL

UJIAN TIKUS MAKMAL
oleh Yusrika Bahar

Salam 1 Malaysia

Klise ke atau relevan?

Hmmm..dari Presint 4 menapak ke Presint 9. Ujian sungguh buatku. Samada mereka sedar atau tidak, aku sanggup demi tikus-tikus yang kusayang. Pementasan Teater Andai Ada Hari Esok : Malam Puisi & Lagu berakhir sudah. Bagi yang dinilai anda berjaya melengkapkan komponen kemahiran dalam Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Gangsa. Ingat! Masih ada lagi tiga komponen yang perlu disiapkan untuk anda layak bergelar Remaja Perdana Rakan Muda dan mendapat Pingat Gangsa.

Berbicara mengenai Tikus-Tikus Makmal ini, mereka menggelarkan diri mereka Kaki.Teater.Muda.Putrajaya. Jelas, citarasa dan minat mereka dalam berteater dan beraksi diatas pentas amat meyakinkan. Namun harus diingat juga pelajaran harus diutamakan. Buktikan pada keluarga kalian yang anda mampu mengawal kedua-duanya. Cemerlang dan berjaya dalam pelajaran serta aktif berteater dan bergelar Remaja Perdana. Boleh bukan? Pandai-pandailah bahagikan masa..yang penting tuisyen dengan aku jangan lupa. Bukan apa wahai Tikus-Tikus Makmal sekelian, Abang juga perlu hidup dalam survival di Putrajaya ini.

Baiklah. Kita bercakap mengenai Pementasan pula. Teater Andai Ada Hari Esok sebenarnya sarat dengan mesej yang hendak disampaikan. Bermula dengan isu pekerjaan, kasih-sayang si anak yatim, remaja zaman siber, seterusnya hingga menjangkau isu kepimpinan,perkauman dan perpaduan. Sayangnya malam tadi hanya dihadiri oleh keluarga, rakan-rakan terdekat dan segelintir pengunjung seni. Jika lagi ramai yang hadir..hmm pasti mesejnya sampai. Namun apa yang harus dipelajari malam tadi adalah Tikus-Tikus Makmal ini melepasi ujian asas kelayakan. Diharap anda terus bersama Profesor Gila ini dan kita sama-sama naikkan nama Putrajaya dalam bidang Seni Teater. Namun sekali lagi kemanakah anda selepas ini. Esok?

Dari sudut teknikal dan penguasaan pentas, masih banyak lagi yang harus dipelajari dan diambil kira. Namun sebagai penulis skrip, pengarah, penilai dan mentor ARP terpaksalah dipejam sebelah mata kerana anda semua masih dikira Pucuk Pisang Muda yang baru belajar berfotosintesis. Namun selepas ini anda sendiri tahu apa itu komitmen, kesungguhan dan kerjasama.

Nak menulis panjang lagi sebenarnya, tapi masih ada tugasan yang perlu diselesaikan. Nanti sambung dan aku akan upload gambar..

Jumpa lagi..

3.40am, 22 Mac 2010
Presint 9B, Putrajaya.

Thursday, February 18, 2010

KELAS ASAS TEATER RAKAN MUDA

KELAS ASAS TEATER RAKAN MUDA
oleh Yusrika Bahar

Salam Perpaduan.

Entri kali ini aku nak bercerita pasal anak-anak buah yang aku sayang. My first baby in Putrajaya. Aku bekerja bertaraf kerani saja di Rakan Muda, Putrajaya. Hasil restu Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Kelas Asas Teater Kecergasan Rakan Muda berjalan setiap hari Sabtu pukul 9.00pagi hingga 12.00tengahari. F.O.C dan aku buat kerja ni secara sukarela dan mengisi masa lapang aku.

Aku gunakan segala macam pengalaman pentas yang aku kumpul sejak 1992 lagi untuk dikongsi bersama pelajar-pelajar kelas ini. Aku tak namakan diri aku sebagai cikgu sebab aku bukan graduan lulusan seni persembahan atau Teater, sebab bagi aku Teater adalah apabila ada orang berdiri dan menyampaikan sesuatu dan ada penonton. Jadi jangan tanya aku samada aku graduan ASWARA ke, Student Art Teater UiTM ke, SEGI ke atau Lim Kok Wing. Bukan! Pelajaran, modul aku adalah dari pengalaman dan pementasan yang aku usahakan serta jayakan.

Bercerita pasal anak buah ni, semua setakat ni adalah seramai 15 orang dan aku namakan mereka sebagai Tikus Makmal a.k.a Lab Rat. Kenapa? Entah, aku sendiri tak dapat beri jawapan yang sewajarnya. Faham-faham sajalah. Sepanjang kelas aku lanya mahu lihat bakat, komitmen dan kesungguhan. Tak kira samada kamu semua lelaki atau perempuan sejati, lembut, pengkid, gay, lesbian atau sebagainya..aku tak kisah itu semua. Masing-masing punya persepsi. Aku tak pandang kaum, latar belakang pendidikan mahupun agama dan tahap kewangan mereka. Senang sahaja Bakat, Komitmen, Kesungguhan dan Disiplin. Itu sahaja.

Tikus-tikus Makmal ini aku lihat sememangnya ada ciri-ciri yang aku perlukan cuma masalahnya mereka ini semua punya masalah tersendiri yang belum mampu mereka ketepikan sewaktu kelas. Ada tikus yang ketagihan Choki-Choki, tikus yang sentiasa aktif dan bergerak, tikus lemak, tikus 'cas cun', tikus 'touching', tikus tiga 'scrotum', tikus silat dan pelbagai ragam. Semuanya membuatkan aku jatuh hati pada mereka dan sayang untuk meninggalkan mereka dalam keadaan terkapai-kapai tanpa arah. Mereka inilah yang harus dididik dan diasuh agar benar-benar mampu menjadi aset berharga negara. Namun tikus-tikus makmal ini belum mampu lagi untuk melihat semua ni. Bagi mereka hanya keseronokan dan riang-ria. Banyak yang harus mereka fahami dan pelajari.

Samada mereka sedar atau tidak kesungguhan melakukan sesuatu perkara itu amat penting. Fokus yang terutama. Melakukan kajian dan ilmu sisipan dahulu baru bertanya. Ini tidak, ada yang bertanya sedangkan apa yang ditanya dan persoalan yang ditujukan telah kuterangkan awal-awal. Kalau kalian? Mahu terbakar seadanya. Teknik dan ilmu-ilmu sewajarnya telah aku berikan cuma tolong praktikkan dan letakkan penghargaan itu di tempat yang sewajarnya. Masing-masing ada kelebihan dan daya kreativiti yang sungguh mengagumkan tapi sayang semua tikus-tikus ini cepat berputus-asa, dan hanya memberi perhatian sekadar angin lalu. Benar atau tidak? Cabaran buat tikus-tikus makmal ini menyangkalnya.

Buktikan aku salah, buktikan yang kalian adalah tikus makmal yang berjaya dan mampu melengkapkan kajian. Buktikan kalian tikus makmal yang punya kesungguhan. Tikus yang boleh menumpukan sesuatu hingga berjaya. Buktikan!!!

Aku mahu lihat perubahan, aku mahu lihat keberhasilan dan aku mahu lihat bukti yang memberikan kejayaan.

CABARAN BUAT TIKUS MAKMAL.


p/s : Ketagihan Choki-Choki adalah satu penyakit yang sukar dirawat. Kajian sekumpulan saintis pakar di Andalusia membuktikan lelaki yang punya ketagihan ini 70% positif dijangkiti penyakit 3 scrotum. Putrajaya telah menemui seorang penagih yang punya 3 scrotum dan tidak mustahil rakan-rakan disekelilingnya juga bakal menerima nasib yang sama.

Tuesday, February 16, 2010

KOKEN TANDA

KOKEN-TANDA-ASWARA
oleh Yusrika Bahar

Salam Perpaduan,

Teater TANDA dibatalkan dan keseluruhan produksi dihalau keluar semasa pementasan berlangsung. Ramai penonton terkesima dan tertanya-tanya. Juraian airmata, kekeliruan, luahan perasaan, kemurungan dan tekanan menyelubungi segenap ruang Panggung Eksperimen. Nak kata malu pun ya, nak kata marah pun sememangnya ya, segalanya bercampur baur. Mulut terkunci dan tergamam untuk menyuraikan berita. Pada yang datang dari jauh..sudah tentu hampa dan termangu.

Sebagai menggambarkan betapa kecohnya hari itu, tidak ku temui perkataan yang sesuai dengannya. Namun sudah jelas pelbagai medium media telahpun memberi ulasan, laporan dan sebagainya. Teater TANDA diteruskan pementasannya di PJ Live Arts Center. Namun sudah pasti aura dan momentumnya tidak sama lagi. Pasti setiap ahli produksi akan terngiang-ngiang dikepala saat-saat mereka dihalau keluar dari ASWARA. Setiap butir percakapan dan perbuatan akan terpahat kukuh. Maki seranah akan berkumpul dan tak tertanggung walaupun sedang berlatih atau berlakon. Aku pasti.

Walaubagaimanapun harus tahu seperkara lagi, KoKen bermaksud Komuniti Kental. Walau apa badai dan halangan melanda semuanya harus punya minda yang kental dan teguh untuk terus kehadapan. Perjuangkan misi dan visi untuk masa hadapan. Walau namanya Belia itu Aset berharga negara, bukan aset dari sudut politik, perbendaharaan negara, kepimpinan semata-mata, namun budaya dan kebudayaan juga antara nadi utama kemakmuran negara.

Berbicara mengenai kebebasan berkarya, aku memandang tinggi institusi yang banyak melahirkan anak-anak seni. Siapa tidak kenal dengan Juhara Ayob, Norzizi Zulkifli, NamRon dan yang terkini Que Haidar, Zahiril Adzim dan ramai lagi. Namun yang menjadi persoalan ASWARA menentang kebebasan ini. Dari Akademi Seni Kebangsaan bertukar nama ke Akademi Seni Warisan, sepatutnya pemikiran dan pentadbirannya mesti sudah jauh ke depan, bukan makin rigid dan tepu. Aku memperlekehkannya? Mungkin ya. Dulu memang menjadi tempatku bertandang untuk melihat segala jenis macam ilmu seni dipersembahkan dan ku kaut intipatinya dan kuserap auranya. Namun kini bagai tiada semangat untuk aku menjengahnya walau sekadar lalu. Anak-anak graduan ASWARA sendiri di anak-tirikan dan diusir. Perjuangan mereka dihalang dan sekali lagi aku tertanya atas alasan apa ianya diperlakukan sedemikian rupa?

Dikira dari sudut cerita dan penzahiran cerita, aku rasa banyak lagi Naskah diluar sana yang lebih kotor dan jijik. Semuanya bergantung pada tahap penerimaan pemikiran si penonton untuk mentafsirkannya. Aku marah? Ya kerana tempat pementasan itu adalah nadi perjuangan mereka mempelajari seni. Aku sedih? Ya kerana bukan sahaja graduan, malah pensyarahnya sendiri tidak mampu untuk berbuat apa-apa melawan perkara ini. Bergunung persoalan dan jawapannya hanya sekadar sepinggan nasi yang tidak belauk.

Pandangannya kini, ASWARA bukan wadah untuk menzahirkan karya seni bebas dan eksperimental. ASWARA sudah menjadi topeng dan punya agenda tersembunyi seolah-olah ada yang dilindungi demi kepentingan. Untuk siapa? Kenapa? Entah! Aku sendiri tak mengerti. ASWARA bukan lagi pusat seni. ASWARA bukan lagi untuk mereka yang ghairah seni. ASWARA bukan lagi tempat para graduannya bertandang. ASWARA bukan lagi ibu yang memberanakkan anak-anak seni. Bukan. Adakah ASWARA kerajaan? Adakah ASWARA pembangkang? Adakah ASWARA golongan Alim Ulama?

Tepuk Dada Tanya Selera!

p/s : Takziah buat seluruh Produksi Tanda yang kehilangan IBUNYA..

Tuesday, January 26, 2010

SONGKOK LILIT PUTIH

SONGKOK LILIT PUTIH
oleh Yusrika Bahar

Salam Berkabung...1 Malaysia

Johor Darul Takzim kehilangan sebutir lagi Permata yang sangat berharga. Permata yang menaungi dan memayungi Darul Takzim buat 3 dekad lamanya. Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Iskandar mangkat pada hari Jumaat jam 7.15 Malam. Pemergian yang cukup mengesankan dan menghibakan bagi seluruh kaum kerabat dan juga warga Johor serta jajahan takluknya.

Namun apa yang ingin diperkatakan disini adalah penghormatan yang diberikan kepada Almarhum Baginda. Upacara berkabung adalah petunjuk bagi memperlihatkan adakah rakyat Negeri Johor khususnya bersatu dalam hal ini. Aku bukan hendak mengata apatah lagi menunjukkan sikap perkauman, tapi rata-rata hanya segelintir yang memahami dan menghayati apa itu makna berkabung.

Sultan yang selama ini memerintah dan memberikan keselesaan kepada rakyatnya. Kebajikan rakyat dijaga dan segala macam kemewahan dan rezeki dilimpahkan, namun apabila Tuanku pergi menghadap Ilahi..boleh dilihat dengan jelas siapa yang berkabung sebagai tanda penghormatan dan terima-kasih.

Kaum Melayu boleh dilihat merata-rata memakai Songkok Berlilit Putih / bertudung Putih. Namun yang menjadi persoalan adalah kaum bukan Melayu, lebih-lebih lagi Kaum etnik Pribumi Johor. Hanya boleh dikira dengan jari jika dibandingkan dengan Kaum Melayu. Nak kata tak tahu, sana-sini berita tersebar. Walaupun ianya sukarela dan tiada paksaan, apa salahnya jika memberikan penghormatan sebagai tanda perkabungan. Yang pergi bukan rakyat biasa atau orang bawahan tapi Sultan Johor dan pernah juga menjadi Yang Dipertuan Agong. Kaum bukan Melayu hanya boleh dilihat pada pelajar sekolah dan juga kakitangan kerajaan ( itupun tak semua ). Anda mencari rezeki di bumi Johor, malah ada yang mampu berkereta mewah, berjet peribadi dan wang berkepuk di bank-bank. Namun mengapa begitu sombong untuk sebuah penghargaan. Adakah anda lupa? Tak mampu beli kain hitam bersaiz lebar 3 inci untuk lilitan lengan?

Yang dinamakan kaum pribumi begitu juga...anda adalah kaum etnik kesayangan Almarhum, tapi seolah-olah tiada makna. Kesana-sini bermotorsikal bebas tapi jangan kata nak menaikkan bendera separuh tiang, suasana perkampungan seperti tiada apa yang berlaku.

Namun semua ini banyak lagi yang hendak aku luahkan. Tanda berkabung hanya dapat dilihat di kawasan sekitaran Istana atau Bandaraya Johor Bahru. Hingga ada khabar angin mengatakan akan didenda RM3000.00 kepada sesiapa yang tidak berkabung. Namun aku lihat masih ada yang tidak berasa apa-apa. Entahlah...

Apa yang aku tulis hanyalah pandangan peribadi berdasarkan pemerhatian secara rambang. Ada yang menghormati perkabungan, Alhamdulillah dan bagus. Sekurang-kurangnya kita menunjukkan tanda kasih rakyat jelata kepada Sultannya yang telahpun Mangkat. Pada yang tidak, fikirkanlah sebaik-baiknya.. Maaf andai ada yang terasa. Aku bukan bersifat perkauman cuma ada kilan yang terasa..

Daulat Tuanku!

Sunday, January 24, 2010

CAK...CIK

CAK...CIK
oleh Yusrika Bahar

Cak cik...
Cak cik...
Cik...cak
Cik...cak
Cik...cak
Cak...cik
Cak...cik
Cak...cik

Cilakak...
Cakaplah..
Kecak
Kecak
Kecak...
Cak...cik
Cik...cak

Kecak
Cilakak
Cik..cak

Sunday, January 10, 2010

AJAL MAUT

AJAL MAUT
oleh Yusrika Bahar

SELAMAT TAHUN BARU 2010!

Pelbagai kisah suka-duka ditinggalkan sepanjang tahun 2009. Momen indah akan dikenang dan membuatkan bibir sentiasa tersenyum bila mengingatinya. Namun tidak dilupakan segala pahit maung yang terpaksa diharungi serta akan menjadi ingatan buat panduan di masa mendatang.

Aku menyaksikan gelak ketawa kegembiraan, jerit pekik kesakitan, tangisan kepiluan, kehadiran insan baru dan pemergian ke alam barzakh. Ada yang tak dijangka dan ada juga yang tak terlaksana.

Sesiapa sahaja manusia didunia ini pasti mempunyai azam sekurang-kurangnya menjadi yang terbaik dimasa hadapan. Namun apalah yang mampu dibuat sekiranya takdir tuhan itu telah ditetapkan awal-awal.

Bila dikenang-kenang, tiada apa yang mampu dibuat selain memanjatkan syukur pada tuhan yang masih mengizinkan aku hidup didunia ini. Adakah persediaan sudah mencukupi jika ajal menjemput? Bolehkah ditangguhkan atau diberi kesempatan memohon keampunan dan kemaafan?

Aku tak sanggup lagi untuk bersedih, aku belum bersedia untuk meratap lagi. Cukuplah yang ada ini dulu buat sementara waktu. Semangat yang ada harus dipulihkan. Kembalikan keceriaan yang dilitup suram. Biarlah cuaca mendung itu berlalu seketika.

Al-Fatihah buat Allahyarham Dr. Katni Bin Mokmin dan Takziah buat ahli keluarga yang bersedih...


Bandar Baru Uda
Johor Darul Takzim