PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Monday, December 28, 2009

JANGAN HAMPAKAN AKU

JANGAN HAMPAKAN AKU
oleh Yusrika Bahar

Menapak di lorong duniawi
Bagai mengharap madu asli syurga
Tiada bau
Cuma rasa nikmat yang tak terkata
Aku tidak mahu sesat di bumi tuhan ini
Aku tidak mahu hampa untuk keputusan akhir nanti

Lembaran baru berganti
Kidalku ini terusan menukil
Apa saja kata hati
Mematri senja merah
Meladeni senda pagi
Memerah keringat siang mentari
Membelai bayu malam
Namun kemana hati ini melempiaskan nafsunya?

Tahan..
Tahan...
Tahan...
Harap ada tabah buat semangat harung hidup
Tidak ada putus asa mahupun putus harap
Takdir tuhan bukan milik kita tentukan...
Siapa mahu borak temberang menafikan
Bermuka bebal bermulut celupar
Jangan hampakan aku...

SELAMAT TAHUN BARU 2010


Tingkat 12, Fasa 5&6
Presint 9B, PUTRAJAYA.

Tuesday, December 22, 2009

KELAS ASAS TEATER RAKAN MUDA

KELAS ASAS TEATER
oleh Yusrika Bahar

Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan akan menganjurkan Kelas Asas Teater Rakan Kecergasan Rakan Seni Budaya. Kelas Asas Teater ini bertujuan untuk melahirkan remaja yang aktif, cergas, mencungkil bakat kreativiti lakonan dan semangat kesukarelaan yang berkemahiran.

Kelas ini terbuka kepada para remaja pelbagai kaum setempat dan berumur 15 tahun hingga 25 tahun. Sukarelawan Rakan Muda, Peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dialu-alukan untuk menyertainya. Selain itu, kelas ini juga memberikan peluang kepada para aktivis teater untuk menyumbang kepakaran mereka dan sama-sama berkongsi maklumat, idea dan minat.

Lokasi : Gym Rakyat, Aras 1, Menara KBS, Presint 4, PUTRAJAYA
Masa : Selasa & Rabu / Pukul 3.00 petang hingga 4.30 petang
Sabtu / Pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tghari
Yuran : PERCUMA

Maklumat lanjut boleh hubungi

Pegawai Rakan Muda : Puan Anfanty Ann Rutel / 03-88713711
Pegawai Rakan Muda : Cik Zaida Bt Zakaria / 03-88713710
Yusrika Bin Bahar : 012-7052504

Wednesday, December 16, 2009

PINDAH

PINDAH
oleh Yusrika Bahar

Jalan-jalan kaki melangkah
Laluan berbelok dan simpang-siur
Ke mana haluan yang tak punya penghujung?
Terus menongkah tak berpengunjung
Bahu memikul beban tak tertanggung

Suara suci kedengaran
Bersulam anjakan kebencian
Mulut mengata betul salah sang pembikin dusta
Seolah tubuh punya kuasa
Lupa pencipta yang punya segala

Sampai bila harus telagah?
Sampai bila harus sendiri-sendiri
Manusia menilai manusia
Manusia menghukum manusia
Manusia membunuh manusia
Tidak sedar dunia bukan milik kita...

Salam Maal Hijrah 1430
Jalan Presint 4,
Putrajaya

Wednesday, December 9, 2009

KENTAL

KENTAL
oleh Yusrika Bahar

Salam 1 Malaysia

Tulisan tangan kidalku kali ini bukan untuk mentafsir atau menterjemah mana-mana pihak. Cuma ingin berkongsi rasa hati yang sedikit rawan dan kilan. Apabila kita mengejar sesuatu dan cuba untuk mencapainya pasti ada halangan, rintangan, cabaran dihadapan. Aku akur dan redha dengan semua itu. Jika berseorangan mungkin tidak mengapa. Kalau berkumpulan bagaimana pula ya? Mesti sukar kerana setiap orang punya pendirian yang berbeza walau matlamat akhirnya sama.

Rajuk hatiku kerana ada yang mahu kedepan sama-sama, menongkah arus bersama tapi kemampuan membataskan. Ramai yang sedia di tapak permulaan, kemudian berjalan dan berlari. Semua sama-sama. Tapi sudah ada yang mula muram, sakit dan kerenah tersendiri. daya tahan bada kurang rupanya. Akhirnya mahu mengalah dipertengahan balapan.

Mulanya aku dijanjikan harapan, persetujuan namun ada sengketa yang tidak berpenghujung. Salahnya dikatakan aku sebagai punca. Hati manusia, mampukah kurus juga? Tak semua punya kesediaan untuk berubah, menerima perubahan dan berkongsi pemikiran. Bila bertelagah cepat sungguh mengundur diri hingga lupa apa yang telah dimeterai bersama. Sudahnya sekali lagi aku yang nanar dan terpempan dengan apa yang telah terjadi, sedang terjadi dan akan terjadi.

Mana aku yang punya asa. Mana aku yang punya minda. Semuanya Tuhan punya kuasa.

Sekian, Terima-Kasih

Thursday, December 3, 2009

1BELIA 1MALAYSIA

1 BELIA 1 MALAYSIA
oleh Yusrika Bin Bahar

YAB Perdana Menteri memberi penekanan betapa para belia itu amat penting dalam membantu kerajaan mencapai status Negara Maju menjelang Tahun 2020. Sejajar dengan itu juga pelbagai pendekatan digunakan agar para belia masa kini memenuhi aspirasi negara dalam mencapai matlamat akhir iaitu Perpaduan Nasional.

Oleh itu, renung-renungkan Selamat Beramal!