PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Tuesday, December 22, 2009

KELAS ASAS TEATER RAKAN MUDA

KELAS ASAS TEATER
oleh Yusrika Bahar

Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan akan menganjurkan Kelas Asas Teater Rakan Kecergasan Rakan Seni Budaya. Kelas Asas Teater ini bertujuan untuk melahirkan remaja yang aktif, cergas, mencungkil bakat kreativiti lakonan dan semangat kesukarelaan yang berkemahiran.

Kelas ini terbuka kepada para remaja pelbagai kaum setempat dan berumur 15 tahun hingga 25 tahun. Sukarelawan Rakan Muda, Peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dialu-alukan untuk menyertainya. Selain itu, kelas ini juga memberikan peluang kepada para aktivis teater untuk menyumbang kepakaran mereka dan sama-sama berkongsi maklumat, idea dan minat.

Lokasi : Gym Rakyat, Aras 1, Menara KBS, Presint 4, PUTRAJAYA
Masa : Selasa & Rabu / Pukul 3.00 petang hingga 4.30 petang
Sabtu / Pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tghari
Yuran : PERCUMA

Maklumat lanjut boleh hubungi

Pegawai Rakan Muda : Puan Anfanty Ann Rutel / 03-88713711
Pegawai Rakan Muda : Cik Zaida Bt Zakaria / 03-88713710
Yusrika Bin Bahar : 012-7052504

Wednesday, December 16, 2009

PINDAH

PINDAH
oleh Yusrika Bahar

Jalan-jalan kaki melangkah
Laluan berbelok dan simpang-siur
Ke mana haluan yang tak punya penghujung?
Terus menongkah tak berpengunjung
Bahu memikul beban tak tertanggung

Suara suci kedengaran
Bersulam anjakan kebencian
Mulut mengata betul salah sang pembikin dusta
Seolah tubuh punya kuasa
Lupa pencipta yang punya segala

Sampai bila harus telagah?
Sampai bila harus sendiri-sendiri
Manusia menilai manusia
Manusia menghukum manusia
Manusia membunuh manusia
Tidak sedar dunia bukan milik kita...

Salam Maal Hijrah 1430
Jalan Presint 4,
Putrajaya

Wednesday, December 9, 2009

KENTAL

KENTAL
oleh Yusrika Bahar

Salam 1 Malaysia

Tulisan tangan kidalku kali ini bukan untuk mentafsir atau menterjemah mana-mana pihak. Cuma ingin berkongsi rasa hati yang sedikit rawan dan kilan. Apabila kita mengejar sesuatu dan cuba untuk mencapainya pasti ada halangan, rintangan, cabaran dihadapan. Aku akur dan redha dengan semua itu. Jika berseorangan mungkin tidak mengapa. Kalau berkumpulan bagaimana pula ya? Mesti sukar kerana setiap orang punya pendirian yang berbeza walau matlamat akhirnya sama.

Rajuk hatiku kerana ada yang mahu kedepan sama-sama, menongkah arus bersama tapi kemampuan membataskan. Ramai yang sedia di tapak permulaan, kemudian berjalan dan berlari. Semua sama-sama. Tapi sudah ada yang mula muram, sakit dan kerenah tersendiri. daya tahan bada kurang rupanya. Akhirnya mahu mengalah dipertengahan balapan.

Mulanya aku dijanjikan harapan, persetujuan namun ada sengketa yang tidak berpenghujung. Salahnya dikatakan aku sebagai punca. Hati manusia, mampukah kurus juga? Tak semua punya kesediaan untuk berubah, menerima perubahan dan berkongsi pemikiran. Bila bertelagah cepat sungguh mengundur diri hingga lupa apa yang telah dimeterai bersama. Sudahnya sekali lagi aku yang nanar dan terpempan dengan apa yang telah terjadi, sedang terjadi dan akan terjadi.

Mana aku yang punya asa. Mana aku yang punya minda. Semuanya Tuhan punya kuasa.

Sekian, Terima-Kasih

Thursday, December 3, 2009

1BELIA 1MALAYSIA

1 BELIA 1 MALAYSIA
oleh Yusrika Bin Bahar

YAB Perdana Menteri memberi penekanan betapa para belia itu amat penting dalam membantu kerajaan mencapai status Negara Maju menjelang Tahun 2020. Sejajar dengan itu juga pelbagai pendekatan digunakan agar para belia masa kini memenuhi aspirasi negara dalam mencapai matlamat akhir iaitu Perpaduan Nasional.

Oleh itu, renung-renungkan Selamat Beramal!

Sunday, November 15, 2009

ANJING MENYALAK BUKIT

ANJING MENYALAK BUKIT
oleh Yusrika Bahar

Gong gong...gung gung..
Dengung sayup kejauhan malam
Menyalak tanpa henti
Bulan terang menjengah
Cahaya suram menapak lantai tanah

Diharap hajat sampai ke hati
Apakan daya tersekat dikerongkong
Mengatalah para mulut yang bengkeng
Arusku benar..jurusku mantap
Sedang nafas menghitung dosa
Pada rakyat yang kelaparan ganjaran

Anjing itu menyalak lagi
Liar atau bertuan ada yang peduli?
Hanya tahu bertempik, merungut suruh diam
Sedangkan si Anjing tidak tahu menahu
Mahu keluar walau jengah takut...
Mahu baling batu sembunyi tangan
Mahu berak tapi tak mahu berbau
Mahu pangkat tapi suruh orang ampu

Sampai bila mahu menyalak...
Pagi mahu datang tapi belum penat
Teruskan usahamu wahai Anjing
Moga hajatmu tercapai
Walau mungkin kau kehabisan nafas


Nadi Putra Presint 4
Putrajaya

Sunday, November 1, 2009

KERAS

KERAS
oleh Yusrika Bahar

Macam batu
Rasa kelat
Cis!
Beratnya bila rasa sengal
Aku tidak mahu tersedak
Aku tidak mahu terdesak
Terkesan dengan suasana
Aku belum bisa nampaknya mengawal
Mual
Lembik
Awan kejap kelabu kejap putih
Langit kejap mendung kejap cerah
Hawa entah apa-apa
Buat aku kejang
Buat aku keras
Kembalikan semangatku yang dulu
Kembalikan kejantananku yang dulu
Pulangkan...

Laman Santai
KBS, Putrajaya

Tuesday, October 20, 2009

KARYA AKU

KARYA AKU
oleh Yusrika Bahar

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

RISAU!

Itu perkataan yang membukit di benakku kini. Risau ya memang risau. Mana tidaknya 23, 24 dan 25 Oktober ini adalah tarikh yang menentukan samada karya tulisan aku sendiri diterima ramai atau tidak.

Karya skrip teater, Teater aku , kau , kita , kami ..... BEBAS.

Aduuui, ada atau tidak orang datang memberikan sokongan menyaksikan Karya pertamaku ini. Ada atau tidak yang berminat menontonnya. Mampu atau tidak para pelakon yang terdiri daripada ahli Produksi Tapak pelita merealisasikan lakonan ini.

Kini menghitung hari dan aku sakit dalam penantian. Gigil segala apa yang boleh digigilkan. Ada yang kata sabar tapi hati sendiri siapa yang mampu memahaminya dan menanggunggnya.

Oleh itu, para pembaca ruangan blogku, jikalau ada kelapangan datanglah ya. Aku nantikan kehadiran kalian dan juga sokongan kalian.


Produksi Tapak Pelita dengan kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka
23 , 24 , 25 Oktober 2009
STOR Teater DBP, KL
8.30 Malam
Teater aku , kau , kita , kami ..... BEBAS
Masuk berdasarkan sumbangan (minimum RM10)

Maklumat lanjut sila ke http://produksitapakpelita.blogspot.com
Yusrika Bin Bahar : 012-7052504

Sekian, Terima-Kasih


p/s : Bersama menyokong industri teater karya tanahair.

Monday, October 12, 2009

APA JADI DENGAN AKU?

APA JADI PADA DIRIKU?
oleh Yusrika Bahar

Tekak perit...bagai berjuta tulang ikan tersekat di kerongkongku
Kepala berat...bagai ada batu besar menghempap
Mata berpinar...bagai tidak cukup udara bernafas
Sesaknya dadaku
Keringnya mulutku
Tubuhku susut bagai bangkai bernyawa
Kembalikan....tolonglah..
Aku mahu bernyawa
Aku mahu bersinar
Aku mahu berupaya
Tuhan terima-kasih kerana menyayangiku
Tuhan terima-kasih kerana mengingatiku
Tuhan terima-kasih kerana kesakitan ini
Aku mahu kesihatan...
Tolonglah
Tidak mahu terdampar di perbaringan
Tidak mahu gusar tidak boleh lelap
Tidak mahu gundah tidak boleh rehat...



Presint 18
Putrajaya