PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Saturday, May 30, 2009

MONOLOG "D"

MONOLOG "D"
oleh Yusrika Bahar

Kenapa pandang aku begitu?
Besar sangatkah salah aku?
Macam anjing yang kau jijik untuk toleh dua kali.
Ya, aku ratah jiwa
Tapi kalian dustakan hati aku
Termasuk kau setan!
Tak pernah ada orang kata...
Aku cantik
Aku comel
Aku lucu
Aku disayangi
Semua itu bagai menelan bara api
Tikam diri sendiri
Haram...
Terpulang!
Sebab kalian ada yang pandang aku macam babi.
Jadi jangan salahkan aku
Kalian buta selamanya lihat dunia
Sial!!!

p/s :
Teater Monolog D akan dipentaskan.
1 Ogos 2009, 8.00 malam, Taman Budaya KL
sempena Festival Teater Kuala Lumpur
Karya Asal Yusrika Bahar
Olahan & Skrip Shahriza Mahmud
Lakonan Shahriza Mahmud

Teater D sepenuhnya akan dipentaskan pada Penghujung 2009 atau awal 2010
Lokasi akan diberitahu kelak.

Doakan agar usaha ini termakbul.

Friday, May 29, 2009

PERKAUMAN 1 PREJUDIS

ROJAK
oleh Yusrika Bahar

Usai graduasi, aku pulang semula ke dunia nyata. Dunia kejam yang berprejudis. Kita bangga dengan Melayu kita, aku bangga. Kaum Cina bangga dengan kaumnya, India juga bangga dengan Indianya, dan tidak lupa kaum lain yang membentuk Malaysia juga bangga. Semua itu tidak salah. Sungguh!

Namun ada tapinya yang entah siapa punya angkara cipta madah jelek. Lalu ada persoalan cetek terbina. Benarkah kerana adat, budaya, agama, kepercayaan dan suku kaum, kita menjadi terlalu angkuh serta taksub dengan kepercayaan itu? Sukar untuk bergaul dan bermasyarakat.

Aku rasa tiada satu pun penyataan yang mengatakan Melayu hanya dengan Melayu kerana keMelayuannya.

Aku rasa tiada satu pun penyataan yang mengatakan Cina hanya dengan Cina kerana keCinaannya.

Aku rasa tiada satu pun penyataan yang mengatakan India hanya dengan India kerana keIndiaannya.

13hb Mei mengajar segala-galanya tapi kenapa belum ada yang tersedar dengan mimpi ngeri yang nyata itu? Masih mahu lena dan terbuai dengan propaganda goblok dan bobrok, tanpa sedar kita menjadi bahan mainan sang Algojo yang menanti masa melihat kita rebah akibat kebodohan sendiri. Mereka ketawa dan menginjak dengan wenangnya dan kita? Apa jadi? Menjadi balaci yang menonton pentas sandiwara sendiri di laman sendiri.

Pelik bukan?

Apa salahnya kita bergaul mesra?
Tidak elokkah perpaduan?
Tidak rasikah kalau tidak wujud perkataan perkauman dan perbezaan?

Tidak salah untuk mengekalkan apa yang kita ada dengan sewajarnya tapi bukan dengan sikap pesimis dan perkauman. Boleh saja kita jaga elok budaya, adat, kepercayaan dan agama kita. Pelihara sebaiknya, serta prihatin dengan berkesan lagi berkepentingan. Pentingnya itu semua untuk masa hadapan buat generasi mendatang.

Namun apa yang menggusarkan bila ada prasangka yang mewujudkan hasad dengki, membenci dan menidakkan toleransi. Bagi aku itu semua pemikiran bodoh manusia yang tidak tahu nilai perpaduan dan asimilasi budaya.

Sedih?
Ya agak sedih.
Malu?
Ada benarnya juga.

Namun semuanya boleh jadi aman jika kita buang pemikiran dan ideologi bodoh dan karut itu. Wujudkan ketamadunan yang tiada perasaan perkauman. Maka semuanya akan bangga dengan jatidiri yang punya keharmonian bersama.

Bagaikan rojak yang punya pelbagai isi, rencah dan rasa. Namun semuanya bisa disuap, dikunyah dan ditelan dengan nikmat yang tidak terkata.

1 Bangsa 1 Malaysia.

p/s : Jangan jadi seperti tanah kuburan Gettysburg yang bercat MERAH padangnya.

Thursday, May 28, 2009

HARI GRADUASI

ISTIADAT KONVOKESYEN KE-70
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA
UiTM Malaysia

oleh Yusrika Bahar


Dewan Seri Budiman
8.00 am - 12.00pm
Sidang Kedua

Yusrika Bin Bahar
BBA (Hons) Marketing
Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian
Pengurusan & Pentadbiran Pemasaran
2nd Class Upper
Top 5 UiTM Johor 2008


Aku senang dengan suasananya
Aku senang dengan aturannya
Aku senang dengan gemuruhnya
Aku senang dengan istiadatnya
Aku senang dengan alunan gamelannya
Aku senang dengan perarakannya
Aku senang dengan jubahnya
Aku senang dengan laungan kata-kata keramatnya
Aku pasti rindu dengan ungkapan keramat para ilmuan
Aku pasti rindu dengan riuh gembira graduan
Aku pasti rindu dengan wajah bangga keluarga
Aku pasti rindu dengan sesak yang bagi aku mendamaikan
Bilakah akan ku ulanginya semula....
Aku rindu...

p/s : Selamat Bergraduasi pada teman-teman.
Kalian yang ingin merasainya juga, belajarlah bersungguh-sungguh.

Tuesday, May 26, 2009

DEDIKASI PADA BINTANG JATUH

HARI BINTANG JATUH
oleh Yusrika Bahar

Kehadapan bintang jatuh
Hidupkan segala impianku
Kerana ku tahu takdirNYA tentu
Cuma aku
Nyata aku
Belum tahu

Kehadapan bintang jatuh
Bawa segala impianku
Pasti takdir untukku tentu
Cuma aku
Nyata aku
Belum tahu

p/s Tarikh masa tu lapang tapi ada halangan kewangan...sedih!

TERUSKAN LANGKAH

JANGAN BERHENTI
oleh Yusrika Bahar

Aku hormati mereka yang berpendirian
Tahu apa yang diperjuangkan
Tidak mudah patah semangat
Walau ada yang cuba melentur asa
Tetap melangkah segak tapi tidak alpa
Ketahuan dengan ketentuan
Berpaksi jatidiri
Biarkan sahaja sesiapa yang mencongak kata laknat
Namun harus diingat pada sang pencipta
Kerana yang tercorak pasti bukan untuk tatapan murka
Buktikan sahaja pada yang celupar
Agar diam tidak lagi mendabik dada
Menunduk kerana menjadi lalang
Runduknya padi berisi
Bersulam kejap harga diri
Penanda ada sendawa murni yang akan keluar
Hati yang tiada lagi luka
Teruskan langkah jangan berhenti
Nikmatnya hanya kau yang rasai nanti


6.15pm
Wisma MAINS, Sek 2,
Shah Alam

Sunday, May 24, 2009

SUKA MAJU

KAU SUKA ATAU TIDAK?
oleh Yusrika Bahar

Kau suka pada kemajuan?
Suka!
Kenapa kau suka?
Sebab berbeza dengan waktu dulu
Apa yang beza?
Macam-macam ada
Ooo, jadi sekarang kita maju?
Ya, memang maju
Kau suka?
Suka!
Kau suka pada dadah?
Tidak, itu musuh negara.
Kau suka pesta cucuk langit?
Tidak, mereka minum lupa dunia.
Kau suka perempuan telanjang?
Tidak, macam kedai kain dah bankrap.
Kau suka mat rempit?
Tidak, bikin bising tak sayang nyawa.
Kau suka Parti D dan Parti G?
Tidak, pemimpin yang tidak terpimpin pimpin negara.
Kau suka peminta sedekah?
Tidak, sebab ada yang miskin buat-buat.
Kau suka warga asing?
Tidak, duit kita keluar begitu sahaja.
Kau suka jalanraya?
Tidak, beli kereta minyak naik.
Kau suka sekolah?
Tidak, belajar ilmu tapi masih kurang ajar
Bukan yang tadi itu kemajuan?
Kenapa tidak suka pula?
Itu ulang-tayang soalan dulu-kala
Kau silap!
Apa yang silap?
Itu yang terkini.
Benarkah?
Ya, memang benar.
Itulah hasil kemajuan.
Kau masih suka?
Suka!
Kenapa suka?
Mesti ada yang masih pandai guna otak
Tahu urus tadbir diri
Kenal nilai-nilai murni
Sayang nyawa cintakan negara
Tak kurang ajar tapi terpelajar
Boleh usaha kerja cari wang
Maju untuk terus kedepan
Bukan terus jadi otak udang
Kau tanya, kau suka atau tidak?
Suka juga
Kenapa suka?
Itu putaran roda kehidupan
Sebab kita orang bukan binatang!


10.15 am
UiTM Shah Alam, Selangor

p/s : sedang dengar raptai konvokesyen, aku suka!

Wednesday, May 20, 2009

CENDOL

TANGGUNGJAWAB SOSIAL
oleh Yusrika Bahar

Sedang aku menulis mengemaskini skrip Teater Debab, tiba-tiba aku teringat dengan koleksi iklan yang memaparkan isu Malaysia. Tidak kiralah sempena perayaan apa pun atau sambutan apa pun, iklan ini kulihat cukup memberikan gambaran mengenai mereka yang menghasilkan iklan ini, punya tanggungjawab sosial. Memakmurkan, dan membuka minda kita rakyat Malaysia untuk menghargai apa yang kita miliki sekarang. Aku berhenti menulis skripku dan mengelamun. Lalu kutonton beberapa filem pendek / indie yang juga ada dalam komputerku. Usai menonton aku berimaginasi dan berfikir. Sungguh ajaib otak mereka kerana boleh keluar dari kebiasaan dan menghasilkan filem / iklan sedemikian. Aku? Hanya tahu menulis dan cuba berkarya.

Tiba-tiba aku teringat dengan memori lama bersama kawan sekampung minum cendol dipekan. Waktu itu semangkuk hanya 50sen, sehingga kami bertaruh untuk minum paling banyak cendol. Mangkuk yang paling sedikit akan membayar semua sekali. Ah, kenangan yang indah dan lucu bila dikenang. Sejurus itu datang idea untuk menulis berkenaan dengan cendol. Aku menconteng kertas dan akhirnya terhasillah karya berikut. Tidak tahulah aku samada punya nilai atau tidak. Kalian yang membuka dan membaca blog aku ini, silakan untuk mentafsirkannya sendiri.

CENDOL
oleh Yusrika Bahar

SINOPISIS

Menceritakan mengenai kehidupan sebuah keluarga India pada era 70-an dari kacamata seorang anak bongsu keluarga tersebut. Dia bercerita mengenai susah payah dan keharmonian keluarganya. Hidup sederhana dan sentiasa berjimat. Ayah seorang penoreh getah pada waktu pagi dan menjual cendol selepas waktu tengahari. Walaupun ada cabaran dan halangan berniaga tetap juga diteruskan untuk keluarga walau berikat perut dan berjimat. Cendol warisan turun temurun akhirnya terpaksa dilupakan kerana tidak mahu ditekan lagi dan beralih kerjaya walau sekadar buruh kasar. Akhirnya kerana percaya pada perpaduan dan kepentingan ilmu si bongsu membesar sejajar dengan kemajuan negara. Dia berjaya menghidupkan kembali warisan yang sebelum ini berkubur sepi.

pergerakan babak hanya menggunakan suara narrator si bongsu.

I
Ini ayah saya
Ibu saya
Abang dan saya
Ayah bawa kami kesini untuk bergambar bila ada sambutan yang besar
Baju baru yang kami pakai itu hanya untuk bergambar
Kami terpaksa mengikat perut dan berjimat
Supaya Ayah boleh membeli baju baru untuk kami semua
Walaupun hanya setahun sekali

II
Ayah berniaga cendol di waktu petang
Pagi pergi menoreh
Ibu surirumah dan membantu menyiapkan jualan
Cendol ini resipi turun temurun
Cendol Ayah sedap
Ayah berkayuh setiap hari untuk berniaga di pekan
Ayah sangat rajin dan tidak kisah berpenat
Kata Ayah Rezeki jangan ditolak musuh jangan dicari
Namun aku hairan, ada ketika aku ikut
Ayah memberi wang kepada seseorang yang bengis
Ayah hanya kata wang perlindungan
Kita sudah bebas tapi ada lagi kawasan jajahan
Aku tak suka tapi Ayah kata sabar

III
Satu hari Ayah buka mulut dan berjanji
Resipi sedap cendol ini akan Ayah ajar padaku
Saya gembira
Tapi gembira itu juga buat aku leka bermain dengan abang
Berkejar hingga ke dapur
Saya terpijak cendol jualan ayah
Habis semua tumpah
Saya takut dan hanya diam
Abang tampil mengaku
Ayah memukul Abang dan menghukum kami
Pulang kerumah hanya bila masuk tidur
Ilmu cendol itu pasti tidak diajar

IV
Saya ikut Abang keluar dan kami sama-sama termenung
Kassin, Leman dan Boon mengajak kami bermain sama
Kami makan tengahari di rumah Leman
Ibunya melayan kami dengan baik
Masakan Ibu Leman sedap
Malam ke rumah Kassim
Juga sedap dan menyelerakan
Akhirnya kami pulang dengan takut yang masih ada
Ayah hanya senyap,
Ibu menyuruh kami mandi dan tidur

V
Setiap kali lalu didapur, saya akan berhati-hati
Ibu akan membebel kerana tidak mahu perkara sama berulang
Saya akan memerhatikan ibu membuat cendol
Senyap-senyap saya catit didalam buku sekolah
Saya simpan dan sorok elok-elok
Tidak mahu sesiapa tahu

VI
Satu hari ayah pulang dengan muram
Ayah kata tidak mahu lagi menjual cendol
Tidak sanggup dan tidak untung
Ayah dapat kerja sebagai pembantu am rendah
Namun begitu hidup kami begitu juga

VII
Sejak itu ayah sangat pentingkan pelajaran dan bahasa kami
Siang berbahasa Melayu
Malam berbahasa Inggeris
Ayah kata bahasa ibunda sudah ada dalam diri
Begitu juga dengan adat, kepercayaan dan budaya kami
Bahasa Melayu itu Bahasa Kebangsaan
Bahasa Inggeris untuk maju kedepan
Dalam masa yang sama hak dan keharmonian sama-sama dijaga
Saya hanya diam kerana tidak faham dan keliru
Kenapa pula kami bersekolah dengan Boon?

VIII
Akhirnya saya mula faham satu persatu bila menginjak dewasa
Gambaran yang kabur makin jelas
Kini buku yang dulu saya simpan elok tidak lagi jadi rahsia
Ayah tidak marah tapi bangga kerana warisan itu tidak hilang
Saya juga bebas dan tiada takut dengan penjajah
Saya bangga punya ramai kawan
Kami
Berdiri pada jejak tanah yang sama
Menghirup pada nafas udara yang sama
Mencari rezeki nikmat tuhan bersama
Walau ada perbezaan kami selesa bersama
Kerana kami
1 Bangsa 1 Malaysia

3.15am
Gemereh, Segamat

Saturday, May 16, 2009

HOI!!!

HOI!!!
oleh Yusrika Bahar

Hoi Lahabau!
Kenapa lakumu jelek?
Sama melayu tapi lain tuju
Mahu senang goyang kaki
Kenapa tidak mahu bersatu?
Kan bagus kalau 1 kapal
Cipta era baru

Hoi Kayu!
Kenapa bengkeng sangat?
Sama Cina tapi lagak lain-lain
Dia kata begitu kau bilang begini
Kan bagus kalau 1 mulut
Semua orang setuju boleh ikut

Hoi Haprak!
Kenapa rusuh begitu?
Sama India tapi pakat tak sama
Tuding orang salah tunjuk orang tak betul
Kan bagus kalau 1 aliran
Boleh menurut tapi bukan Pak Turut

Nak orang pandang tapi tak mahu tandang
Duduk rumah diam-diam tapi sibuk keliling pandang
Kemudian pandai cakap belakang
Bengap

Bila aku maki hamun seranah
Mulalah pandang aku kecil mata
Nafas turun naik darah meluap
Cari salah atas bawah,
kiri kanan,
depan belakang.
Buka mulut macam nak perang
Tangan ikut rasa nak melempang
Angkat kaki dah mula nak terajang
Sedangkan,
Bukan tak boleh fikir sama-sama
Cari jalan betulkan keadaan
Mungkin ada benar
Ada salah tapi tak sedar
Suka orang sanjung tapi tak sedar macam Kaduk naik junjung

Aku tak kata aku betul semua
Aku tak kata aku mahu undi kalian
Aku bukan pemimpin ternama atau orang hebat
Saja mahu bikin panas kerusi dewan
Agar tak tidur gamit mimpi siang hari
Digendong terlepas dikelek tercicir
Bukan sengaja mahu gebang
Kau kata aku saja borak
Terserah!

Kalau bukti dah depan mata
Apa butakah tak boleh nampak?
Bodoh!
Mahu dengar cakap orang buat apa?
Kita yang ada,
Pekakkan telinga
Tuli!
Bila kena sial, kena getah, kena celaka
Pandai pula nak meradang
Tak sukalah,
Tak patutlah,
Kononnya tikam belakang
kononnya tak tahu kenang budi

Aku yang tempatan rasa macam rugi
Walau kaki macam berpijak kat tempat sendiri
Suka sangat dengar orang puji
Sampai punggung tak cecah bontot kerusi
Siap cari siapa mahu puji lagi
Bila orang tuding jari,
Tahu pula melenting sampai tak cukup kaki jejak bumi
Buka buku hukum sana-sini
Sampai lubang cacing sanggup cari
Biar tak lena hingga pagi
Asalakan puas hati sendiri

Kita makan sama-sama
Kita minum sama-sama
Kita ketawa sama-sama
Ke sawah, ke baruh, ke bendang
ke kilang, ke pasaraya, ke jalanraya
Cari rezeki tuhan, cari makan sama-sama
Kenapa mesti paling muka bila tembung?
Bukan minta bayar kalau senyum
Bukan kita letak hukum
Tak mahu dengar kata orang
tapi tunjuk bijak mahu menang

Suka sangat orang luar gelak dekat kita
Sebab tengok kita porak peranda
Kalah jadi abu menang jadi arang
Sudahnya nanti,
Orang sorak rewang, kita melongo melopong

Hoi!!!
Kita boleh sangat 1 kapal
Kita boleh sangat 1 mulut
Kita boleh sangat 1 aliran
Sama-sama bina era maju
Sama-sama setuju boleh ikut
Sama-sama menurut walau bukan Pak Turut
Agar 1 dunia tahu
Ini Tanah Kita
Bukan laman orang.


16 Mei 2009
Bandar Utama, Segamat