PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Friday, May 29, 2009

PERKAUMAN 1 PREJUDIS

ROJAK
oleh Yusrika Bahar

Usai graduasi, aku pulang semula ke dunia nyata. Dunia kejam yang berprejudis. Kita bangga dengan Melayu kita, aku bangga. Kaum Cina bangga dengan kaumnya, India juga bangga dengan Indianya, dan tidak lupa kaum lain yang membentuk Malaysia juga bangga. Semua itu tidak salah. Sungguh!

Namun ada tapinya yang entah siapa punya angkara cipta madah jelek. Lalu ada persoalan cetek terbina. Benarkah kerana adat, budaya, agama, kepercayaan dan suku kaum, kita menjadi terlalu angkuh serta taksub dengan kepercayaan itu? Sukar untuk bergaul dan bermasyarakat.

Aku rasa tiada satu pun penyataan yang mengatakan Melayu hanya dengan Melayu kerana keMelayuannya.

Aku rasa tiada satu pun penyataan yang mengatakan Cina hanya dengan Cina kerana keCinaannya.

Aku rasa tiada satu pun penyataan yang mengatakan India hanya dengan India kerana keIndiaannya.

13hb Mei mengajar segala-galanya tapi kenapa belum ada yang tersedar dengan mimpi ngeri yang nyata itu? Masih mahu lena dan terbuai dengan propaganda goblok dan bobrok, tanpa sedar kita menjadi bahan mainan sang Algojo yang menanti masa melihat kita rebah akibat kebodohan sendiri. Mereka ketawa dan menginjak dengan wenangnya dan kita? Apa jadi? Menjadi balaci yang menonton pentas sandiwara sendiri di laman sendiri.

Pelik bukan?

Apa salahnya kita bergaul mesra?
Tidak elokkah perpaduan?
Tidak rasikah kalau tidak wujud perkataan perkauman dan perbezaan?

Tidak salah untuk mengekalkan apa yang kita ada dengan sewajarnya tapi bukan dengan sikap pesimis dan perkauman. Boleh saja kita jaga elok budaya, adat, kepercayaan dan agama kita. Pelihara sebaiknya, serta prihatin dengan berkesan lagi berkepentingan. Pentingnya itu semua untuk masa hadapan buat generasi mendatang.

Namun apa yang menggusarkan bila ada prasangka yang mewujudkan hasad dengki, membenci dan menidakkan toleransi. Bagi aku itu semua pemikiran bodoh manusia yang tidak tahu nilai perpaduan dan asimilasi budaya.

Sedih?
Ya agak sedih.
Malu?
Ada benarnya juga.

Namun semuanya boleh jadi aman jika kita buang pemikiran dan ideologi bodoh dan karut itu. Wujudkan ketamadunan yang tiada perasaan perkauman. Maka semuanya akan bangga dengan jatidiri yang punya keharmonian bersama.

Bagaikan rojak yang punya pelbagai isi, rencah dan rasa. Namun semuanya bisa disuap, dikunyah dan ditelan dengan nikmat yang tidak terkata.

1 Bangsa 1 Malaysia.

p/s : Jangan jadi seperti tanah kuburan Gettysburg yang bercat MERAH padangnya.

No comments:

Post a Comment