PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Saturday, May 16, 2009

HOI!!!

HOI!!!
oleh Yusrika Bahar

Hoi Lahabau!
Kenapa lakumu jelek?
Sama melayu tapi lain tuju
Mahu senang goyang kaki
Kenapa tidak mahu bersatu?
Kan bagus kalau 1 kapal
Cipta era baru

Hoi Kayu!
Kenapa bengkeng sangat?
Sama Cina tapi lagak lain-lain
Dia kata begitu kau bilang begini
Kan bagus kalau 1 mulut
Semua orang setuju boleh ikut

Hoi Haprak!
Kenapa rusuh begitu?
Sama India tapi pakat tak sama
Tuding orang salah tunjuk orang tak betul
Kan bagus kalau 1 aliran
Boleh menurut tapi bukan Pak Turut

Nak orang pandang tapi tak mahu tandang
Duduk rumah diam-diam tapi sibuk keliling pandang
Kemudian pandai cakap belakang
Bengap

Bila aku maki hamun seranah
Mulalah pandang aku kecil mata
Nafas turun naik darah meluap
Cari salah atas bawah,
kiri kanan,
depan belakang.
Buka mulut macam nak perang
Tangan ikut rasa nak melempang
Angkat kaki dah mula nak terajang
Sedangkan,
Bukan tak boleh fikir sama-sama
Cari jalan betulkan keadaan
Mungkin ada benar
Ada salah tapi tak sedar
Suka orang sanjung tapi tak sedar macam Kaduk naik junjung

Aku tak kata aku betul semua
Aku tak kata aku mahu undi kalian
Aku bukan pemimpin ternama atau orang hebat
Saja mahu bikin panas kerusi dewan
Agar tak tidur gamit mimpi siang hari
Digendong terlepas dikelek tercicir
Bukan sengaja mahu gebang
Kau kata aku saja borak
Terserah!

Kalau bukti dah depan mata
Apa butakah tak boleh nampak?
Bodoh!
Mahu dengar cakap orang buat apa?
Kita yang ada,
Pekakkan telinga
Tuli!
Bila kena sial, kena getah, kena celaka
Pandai pula nak meradang
Tak sukalah,
Tak patutlah,
Kononnya tikam belakang
kononnya tak tahu kenang budi

Aku yang tempatan rasa macam rugi
Walau kaki macam berpijak kat tempat sendiri
Suka sangat dengar orang puji
Sampai punggung tak cecah bontot kerusi
Siap cari siapa mahu puji lagi
Bila orang tuding jari,
Tahu pula melenting sampai tak cukup kaki jejak bumi
Buka buku hukum sana-sini
Sampai lubang cacing sanggup cari
Biar tak lena hingga pagi
Asalakan puas hati sendiri

Kita makan sama-sama
Kita minum sama-sama
Kita ketawa sama-sama
Ke sawah, ke baruh, ke bendang
ke kilang, ke pasaraya, ke jalanraya
Cari rezeki tuhan, cari makan sama-sama
Kenapa mesti paling muka bila tembung?
Bukan minta bayar kalau senyum
Bukan kita letak hukum
Tak mahu dengar kata orang
tapi tunjuk bijak mahu menang

Suka sangat orang luar gelak dekat kita
Sebab tengok kita porak peranda
Kalah jadi abu menang jadi arang
Sudahnya nanti,
Orang sorak rewang, kita melongo melopong

Hoi!!!
Kita boleh sangat 1 kapal
Kita boleh sangat 1 mulut
Kita boleh sangat 1 aliran
Sama-sama bina era maju
Sama-sama setuju boleh ikut
Sama-sama menurut walau bukan Pak Turut
Agar 1 dunia tahu
Ini Tanah Kita
Bukan laman orang.


16 Mei 2009
Bandar Utama, Segamat

No comments:

Post a Comment