PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Wednesday, June 30, 2010

KUTUKAN UNTUK ISRAEL

KUTUKAN UNTUK ISRAEL
oleh Yusrika Bahar

"Cut and Edited Version"


Sunday, June 27, 2010

HIDUP KAU AKU

HIDUP KAU AKU
oleh Yusrika Bahar

Hidup bukan sendiri-sendiri
Hidup bukan untuk diri sendiri
Hidup bukan menyendiri
Hidup berdiri bersendi
Berkhabar bertangga berita
Menguntum senyum berlapang dada
Bukan meludah mendongak langit
Kain lain diselak
Sendiri terselak tak sedar
Semut seberang jelas dimata
Gajah sejengkal tak hirau pandang
Adatnya santun tak lepas laku
Baling batu sembunyi tangan
Kaki disalah mulut dikunci
Ditulah kehulu, patut merafak jalan usul
Bukan senandung menyimpang arus


Putrajaya International Convention Centre

Wednesday, June 23, 2010

RUNGUT

RUNGUT
oleh Yusrika Bahar

Kepuasan itu bukan penamat
Kepuasan itu sebenarnya sukar dibuktikan
Namun rungutan adakalanya berpanjangan
Hahahaha
Manusia akan melempiaskan nafsunya untuk sebuah keinginan
Samada dalam, sempit, pendek atau panjang jelanya

Kenapa perlu ada rungutan jika puncanya adalah kau sendiri
Kau salahkan orang lain
Kau tuding pelbagai arah
Kau ciptakan alasan
Agar semuanya tunjuk muka kasihan
Semua dengar rungutan kau
Hmmm..kau yang sebenarnya mahu lari dari masalah kau sendiri

Perlu apa semua ini?
Mengapa harus terjadi?
Tunjukkan onar
Tujukan tulah
Bangga dengan mulut lancang walau kononnya lembut berbahasa

Detik kau tidak kemana-mana sebenarnya
Hidup mahu bangga dengan puji orang buat apa?
Mengapa merungut dengan tanggungjawab?

Hidup bukan untuk keselesaan sendiri
Hidup bukan untuk senang sendiri
Hidup bukan untuk sendiri-sendiri

Buktikan kau boleh
Jadikan arahan itu kejayaan
Rungutan buat kau musnah

Orang akan pandang kalau kau rajin
Orang akan pandang kalau kau usaha
Orang akan pandang kalau kau kedepan
Orang akan pandang kalau kau serius
Orang akan pandang kalau kau ikhlas
Orang akan pandang kalau kau berkawan

Teguran untuk kebaikan
Bukan untuk menjahanamkan
Sibuk jaga tepi kain orang
Kain sendiri terkoyak
Dipinggirkan?
Disisihkan?
Ditinggalkan?
Baik kau renungkan...

Sampai bila mahu orang hilang khabar bila perlu berita
Sampai bila mahu orang hilang bila kau sendirian
Sampai bila mahu orang hilang rasa pada kau
Sampai bila mahu orang hilang jiwa pada kau
Sampai bila mahu orang hilang peta pada kau

Buktikan!

Jangan hanya merungut jika kau tak sedar ruang!
Jangan hanya bermain madah kalau kau tak tahu faktanya
Jangan hanya mengukur salah orang kalau kau sendiri khayal

Ingat!
Rungutan kau tak kemana kalau ilmu kau hanya sebesar Seluang..



Pusat Kegiatan Rakan Muda
Putrajaya

Friday, June 11, 2010

TITIPAN DUSTA

PUNGGUK
oleh Yusrika Bahar

Kenapa pungguk rindukan bulan?
Adakah kerana cahayanya?
Kerana ayunya?
Pesona?
Tak tahukah si pungguk bulan penuh bukan selalu?
Terus-terusan rindukan bulan atau limpahan cahayanya?
Kerana cantik kau pilih atau kerana jelita atau kerana bulan itu sendiri?
Menjadi perindu yang tak keruan untuk apa?

Ah..
Sekurang-kurangnya pungguk tahu tentang bulan
Pungguk tahu tentang kesiangan
Melanguk adatnya sama sahaja
Pungguk tahu berkira-kira
Pungguk tahu madah pujangga
Walau mergastua ada yang mengata
Tidak mengapa sebab itu jalan yang dia pilih
Merindui bulan yang tak pernah mungkir janjinya

Pungguk tahu hala matanya ke mana...



Dataran Merdeka
S.A vs Mexico

Friday, June 4, 2010

SEDAR RUANG

SEDAR RUANG
oleh Yusrika Bahar

Duduk lama-lama
Sedut rokok dalam-dalam
Fikir jauh-jauh
Tenung malam luas-luas
Peluk lutut erat-erat
Punggung kejap-kejap
Duduk kalih-kalih
Mata kebil-kebil
....
Senyap
....
Hembus..sedut..hembus
....
Aku lepas keluhan ala-ala manja tapi nada gusar
....
Senyap lagi
....
Benar kata si punya otak
Bukan semua hatinya sama
Bukan semua akalnya sama

Tak semua orang kaya
Tak semua orang miskin
Tak semua orang senang
Tak semua orang susah

Semua boleh SELESA bila terBIASA

Cuma

Tak semua sedar ruang

Ukur baju dibadan sendiri
Kira luas kehidupan
Hitung kotak akal pemikiran
Bila selesa dan terbiasa
Lumrahlah didengar
Orang itu sakit hati
Orang ini dendam
Orang begitu merajuk
Orang begini tak sebulu

Susah kan jadi manusia?
Semua ruang nak jaga
Semua sudut nak kira
Semua 'kain' orang kena telek
Semua 'barang' kena belek

Sudahnya apa yang dikelek?
Jujurnya hati?
Santunnya lidah?
Perangai macam gampang
Mulut macam longkang
Hidup macam lalang
Tak sedar, ruang sekangkang
....
Senyap
....
Hembus...sedut...hembus
....

Kotak segiempat
Tingkat 12, Fasa 5 & 6
Presint 9B

Wednesday, June 2, 2010

ESOK UNTUK SIAPA? & NOTA UNTUK ISRAEL

ESOK UNTUK SIAPA? & NOTA UNTUK ISRAEL
oleh Yusrika Bahar


Aktiviti :
2.30 petang - Pendaftaran
3.00 petang - Ucapan Alu-aluan Pengarah Projek
3.15 petang - Aktiviti 'Nota Untuk Israel'
3.45 petang - Puisi & Lagu
6.00 petang - Jamuan Ringan & Bersurai

Nantikan pemuisi-pemuisi yang hebat, 'rare', jarang ditemui dan aktivis penggiat teater tanah-air seperti Eddy Aizad, Fynn Jamal & Tri, Yusrika Bahar, Shahriza Mahmud, Acid Hadi, Kapasitors, Paradoks dan ramai lagi.

Juga luahan emosi melalui seni visual oleh Pixel Playground, Kaki Teater Muda Putrajaya dan ramai lagi.

Sama-sama hadir memberikan sokongan dan berganding tangan menulis dan melaungkan kutukan 'Nota untuk ISRAEL'

Tarikh : 19 Jun 2010
Masa : 3.00 petang
Lokasi : Galeri, Menara KBS, Presint 4, Putrajaya
Tema : Hitam, Putih & Merah
Konsep : Santai & Kasual



p/s : hadirlah memberikan sokongan. Jika tidak mampu ke Gaza, Palestin. Atau tidak terdaya menghantar peluru berpandu ke Israel. Hadir sahaja ke Galeri, Menara KBS bersama-sama berkongsi luahan jiwa dan emosi. Tikus-tikus makmal mahu ber'sosial'.

Monday, May 31, 2010

BINATANG

BINATANG
oleh Yusrika Bahar

Jika dilihat dengan mata kasar
Yang terpampang secara nyata adalah manusia
cukup sifat, berakal dan anatominya sama.
Jika dilihat dengan pandangan yang sengaja kupicingkan mataku
Pandangan yang kononya sengaja dikaburkan visualnya
Hah!
Buka mata-mata kau luas-luas
Buka isi hati kau lebar-lebar
Itu binatang! Itu setan!
Noktah..titik!

Kata mereka tamadun manusia itu tidak akan lengkap
Sekiranya tiada peperangan, permusuhan, pertumpahan darah dan penaklukan
Hmm..
Kenyataan radikal yang retorik!
Namun siapa yang mampu menidakkan fakta.
Sejak wujudnya Adam hingga wafatnya Muhammad
Tidak pernah sejengkal pun masa itu terluang
Dihabisi dengan keamanan tanpa pertumpahan darah
Ada yang mahu kata aku salah?

Jika didepan kita aman
Dibelakang? Disebelah utara? Timur? Barat?
Barat Laut? Barat Daya? Tenggara?

Lihat dada akhbar, bacalah beberapa naskah pun.
Dari yang bergelar picisan, 'zine', 'minizine', 'mediumzine', 'megazine'
Semuanya ada menayangkan gambaran binatang dan kebinatangan mereka
Binatang yang bangga membawa gelaran manusia paling adil didunia
Manusia paling berperikemanusiaan di jagat raya ini
Manusia yang paling kedepan pemikirannya di mata ketamaduanan
Secara ringkasnya bagi aku tak lain dan tak bukan B.I.N.A.T.A.NG!

Lantanglah suara-suara kita melaung kata-kata hikmat makian
Hingga hilang suara
Hingga kering air-mata
Hingga kontang poket wang
Hingga pokai...hingga serabai
Apa yang kau dapat? Apa yang kau nikmat?

K.O.S.O.N.G
Melainkan kau adalah mangsa dan juadah yang lazat untuk dihadap
Maka segenap ruang kau akan diperincikan
Ditanda segala gerak langkahmu
Agar senang diperangkap
Agar mudah dibaham..kenyang.
Meninggalkan sisa anak bini kau malah keluarga kau kelaparan.
Meninggalkan dengan kemelesetan...kecacatan
Apa peduli! Kasihan..fuh!
Selamat tinggal untuk satu perincian kebajikan.
Jangan harap! Persetankan semua itu!

Namanya pun binatang.
Sedang kucing jika kau panggil mengiau
Dia sekadar jeling kau sebelah mata...
Malah..dengan 'kekwat'nya boleh 'catwalk' tinggalkan kau begitu sahaja
Mahu bagi makan tapi lagaknya bagai bertanya sinis
'makanan harga berapa kau nak bagi aku?'
'layak ke kau bagi aku makan?'
Layan..'Bo'..layan.
Itu adat resamnya binatang.
Baru kucing aku buat perbandingan.
Yang lain kau fikirlah sendiri.

Sekadar suara-suara kita-kita ni tak kemana hendaknya
Berbanding ngauman, tempikan, nguakan, desiran
Bagai angin lalu..sepoi-sepoi bahasa.
Habis air-liur...
Sia-sia jerih-perih
Dia binatang bukan orang.
Mungkin juga ada dikalangan kita juga binatang
Siapa tahu? Siapa boleh jangka?
Binatang boleh menyamar, boleh bermuka-muka
Haaa..

Manusia malu bila bersalah, malah rasa bersalah pun malu
Itu belum malu besar atau dimalukan.
Rasa ditelanjangkan, dibogelkan tanpa seurat benang
Binatang ini janganlah sesekali kau fikir begitu.
Kerana kemaluannya memang terang-terang diluar kangkang.
Jadi nak malu apa?

Sudahnya?
Terus-terusanlah kita-kita ini bersuara
Terus-terusanlah kita-kita ini bercakap
Terus-terusanlah kita-kita ini merayu
Terus-terusanlah kita-kita ini menangis
Tak mahu dengar punya
Tak mahu bilang pun
Kederat kita ni ibarat sampah yang tiada nilai
Malah kerling pun sekadar pandangan kosong.
Siapa kita nak dibandingkan
Berdiri pun bagai langit dengan bumi.
Sebab apa?
Kita orang dan dia BINATANG!


p/s : Khemah pelarian merawat luka berdarah
Sempadan GAZA

ANGAN ARJUNA

ANGAN ARJUNA
oleh Yusrika Bahar

Seringkali aku terkujat
Lemas mengejar udara
Aku lupa bernafas
Tiap kali kau muncul dan aku berdepan denganmu
Betapa mataku tak mampu mengalih hala
Senyumku tak lekang dek tempias sembangmu
Manjamu jadi igauan lena
Memujamu bak juadah dari syurga
Bagai Taj Mahal ciptaan Shah Jehan
Ibarat Babylon buat hilang rawan si isteri
Aku hanyut kebanjiran
Cintamu bersulam pancaran pelangi indah
Mengajarku khayal dalam sedar
Betapa kau mahluk tuhan yang memukau dimataku
Mengapa kau hadir
Dalam saat aku keseorangan tanpa cinta
Kesepian dan kegersangan
Terbuai dengan kecantikan
Terpana dengan keluhuran dan keikhlasan
Janjiku buatmu
Jangan kecewa dan putus asa denganku
Sebab aku Arjuna yang pasrah dan tidak punya kuasa
Untuk berdepan dengan cintamu
Aku kalah dan tewas dengan gemalai kasihmu
Sedarkan aku
Yakinkan aku
Bahawa aku manusia biasa
Dan kau bukan bidadari syurga
Menawan aku sebagai tahanan perang
Tapi kau rahmat tuhan
Buat kemudi hidupku yang umbang.