ANGAN ARJUNA
oleh Yusrika Bahar
Seringkali aku terkujat
Lemas mengejar udara
Aku lupa bernafas
Tiap kali kau muncul dan aku berdepan denganmu
Betapa mataku tak mampu mengalih hala
Senyumku tak lekang dek tempias sembangmu
Manjamu jadi igauan lena
Memujamu bak juadah dari syurga
Bagai Taj Mahal ciptaan Shah Jehan
Ibarat Babylon buat hilang rawan si isteri
Aku hanyut kebanjiran
Cintamu bersulam pancaran pelangi indah
Mengajarku khayal dalam sedar
Betapa kau mahluk tuhan yang memukau dimataku
Mengapa kau hadir
Dalam saat aku keseorangan tanpa cinta
Kesepian dan kegersangan
Terbuai dengan kecantikan
Terpana dengan keluhuran dan keikhlasan
Janjiku buatmu
Jangan kecewa dan putus asa denganku
Sebab aku Arjuna yang pasrah dan tidak punya kuasa
Untuk berdepan dengan cintamu
Aku kalah dan tewas dengan gemalai kasihmu
Sedarkan aku
Yakinkan aku
Bahawa aku manusia biasa
Dan kau bukan bidadari syurga
Menawan aku sebagai tahanan perang
Tapi kau rahmat tuhan
Buat kemudi hidupku yang umbang.
No comments:
Post a Comment