PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Tuesday, August 31, 2010

CACAMARBA HIDUP

CACAMARBA HIDUP
oleh Yusrika Bahar

Salam MERDEKA ke-53.
Ramadhan makin tiba di penghujungnya. Secebis pahala masih susah untuk aku himpunkan. Nilai keimanan yang makin menipis bagai kulit bawang entah bila akan mekar dan menebal kembali. Ya atau tidak. Aku masih terbelenggu dengan keinginan, kemahuan dan nafsu yang pelbagai.

Ah, lupakan. Tiada apa yang mahu dikatakan lagi. Aku sebenarnya terlalu banyak yang difikirkan. Terlalu banyak perancangan. Terlalu banyak impian yang perlu dihidupkan. Terlalu banyak harapan. Terlalu banyak janji yang mahu ditunaikan. Terlalu banyak kata-kata yang ingin diluahkan.

Entah...
Bungkam..
Sepi..

Bila fikir tanggungjawab sesama manusia. Apa yang telah aku buat? Apa yang orang-orang sekeliling aku telah buat? Akan buat dan sedang buat? Tanggungjawab sosial! Siapa pemikir? Siapa perancang? Siapa pelaksana? Satu-satu buat aku gerun. Satu-satu buat aku kehilangan akal. Satu-satu buat aku sesat dengan punca dan jalan yang aku teroka sendiri. Pengikut?
Ketawa...

Kesedaran adalah yang sukar ditafsirkan dengan pengolahan fizikal campur akal dan emosi. Dimana mereka mahu berdiri dan kemana haluan selepas ini? Seringkali aku nyatakan, katakan dan luahkan "mahu orang pandang tapi tak mahu tandang"

HIDUP DIDUNIA INI BUKAN SENDIRI-SENDIRI
HIDUP BUKAN UNTUK DIRI SENDIRI

Sudahnya? Kemana kita mahu pergi? Mahu jadi?

Jangan suka ambil mudah dengan apa yang kita miliki. Manusia seringkali tersasar dengan apa yang mereka mahukan. Kejap jadi orang, kejap jadi binatang. Hahahahaa.... Itu adatnya bila sudah terbiasa dengan apa yang berada depan mata. Kepayahan, kesusahan tidak dihirau dan diambil peduli. Orang sekeliling? Tak mahu pikir. Bila puas diri sendiri cukup!

Hidup mahu senang, hidup suka gebang, borak tanpa ada sedar orang lain lebih gemilang.

Kawan-kawan. Ini bukan untuk aku seorang tapi untuk semua yang mahu sama-sama pikir guna otak yang tuhan bagi. Ingat! Badan kita bukan kita punya semua. Ada bahagiannya dan hidup didunia ini tiada yang percuma tapi semua TERPAKSA. Fikir ya.

Akhir kalam. Renungkan dengan mata hati..bukan dengan otak yang terletak di bontot kerusi!

Salam

p/s : Tikus-tikus makmal baca ni...

Tuesday, August 24, 2010

AKU ANAK MUDA MERDEKA

AKU ANAK MUDA MERDEKA
oleh Yusrika Bahar

MERDEKA?


Merdeka letaknya pada maruah

Merdeka letaknya pada jiwa

Merdeka letaknya pada akal

Merdeka letaknya pada santun budi

Merdeka letaknya pada kepercayaan

Merdeka letaknya pada agama

Merdeka letaknya pada bahasa

Merdeka letaknya pada kesetiaan

Merdeka letaknya pada keluhuran

Merdeka letaknya pada kemuliaan

Merdeka letaknya pada kemanusiaan

Merdeka letaknya pada ketimuran

Aku Anak Muda Merdeka

Kita harus satu untuk kekalkannya

Kita harus setuju untuk memakmurkannya

Kita harus terbuka untuk keamanannya

Kita harus terima untuk kebahagiaannya

Jangan merusuh jangan bermusuh

Jangan berdusta jangan sengketa

Mahu diulang lagi buat apa?

Mahu hilang nyawa lagi untuk apa?

Perpaduan itu yang utama sekarang

Kita yang muda pelihara bukan makin merosakkan

Cipta haluan, cipta pembaharuan

Agar orang luar tak bisa sombong

Malah tabik hormat sanjung

Zaman dulu segala keringat dikerah

Hempas pulas tulang empat kerat

Bergolok-bergadai sungguh-sungguh

Perit melawan sengsara

Bangkit menghapus jejak musuh durjana

Tak harap habuan tak harap pujian

Pentingnya aman

Pentingnya selesa

Pengorbanan itu harus bersambung semangatnya!

Aku Anak Muda Merdeka

Aku tidak mahu dijajah lagi

Aku tidak mahu berperang lagi

Aku tidak mahu berdarah kembali

Aku tidak mahu berpayah lagi

Kemajuan itu milik kita..kita teruskan

Keselesaan itu milik kita..kita teruskan

Kebahagiaan itu milik kita..kita teruskan

MERDEKA itu milik kita..Kita Pertahankan!

SALAMMERDEKA ke-53



Saturday, August 14, 2010

SEPI

SEPI
oleh Yusrika Bahar

Bungkam
Langit sayu
Awan mendung
...
Sesat
Walang
Girang hilang
...
Malam kelam
Pungguk muram
Suram
...
Bulan khabarkan mentari
Jangan muncul esok
Aku mahu dia tahu
Bahawa penyesalan itu tiada siapa mengerti.


p/s....PKRM Putrajaya

Tuesday, August 10, 2010

CERITA PENDEK

CERITA PENDEK
oleh Yusrika Bahar

Keadaan didalam sebuah kelas dengan pelbagai ragam pelajar yang datang dari pelbagai latar sosialisasi. Secebis kisah dari keseluruhan cerita. Seorang guru yang berusaha mendirikan dan menjayakan institusi yang kian lemah dibaham generasi Z kononnya.

GURU
Zaki, kalau kamu diberi pilihan untuk melakukan sesuatu yang kamu terlepas dalam hidup tanpa menikmatinya sungguh-sungguh apa yang kamu mahukan?

ZAKI
Mengapa saya perlu pilihan jika tiada apa yang hendak dipilih?

GURU
Tolong jangan rumitkan keadaan! Jawab sahaja soalan saya.

ZAKI
Keadaan tak rumit, Cikgu yang cuba..

CIKGU
Cukup!

ZAKI
Baiklah, teruskan.

CIKGU
Saya yang mahu kamu jawab soalan yang keluar dari mulut saya sebentar tadi. Bukan membenarkan kenyataan kamu yang menyuruh saya teruskan.

ZAKI
Sekarang, jika diberi pilihan untuk memberikan jawapan adakah saya akan memuaskan hati Cikgu yang inginkan jawapan yang Cikgu hendak dengar sebenarnya?

CIKGU
Sekali lagi, Zaki. Kamu sesat.

ZAKI
Tugas Cikgu untuk membuatkan saya kembali ke pangkal jalan.

CIKGU
Untuk apa?

ZAKI
Agar saya boleh berikan jawapan yang Cikgu mahukan.

CIKGU
Apa yang saya mahukan?

ZAKI
Jawapan kepada soalan tadi?

CIKGU
Apa soalannya?

ZAKI
Pilihan.

CIKGU
Jadi? Apa pilihan kamu?

ZAKI
Benar Cikgu mahu mendengar pilihan saya?

CIKGU
Seperti yang kamu mahu Cikgu dengar..

ZAKI
Jika saya diberi pilihan saya mahu BERAK dengan AMAN.

CIKGU
Itu bukan persoalannya dan kamu tidak menjawab soalan! Jawapan ini salah!

ZAKI
Lihat. Sudah saya katakan Cikgu hanya mahu mendengar jawapan yang Cikgu mahu dengar. Adakah itu pilihan saya atau pilihan Cikgu.

CIKGU
Sepatutnya lebih meyakinkan dan relevan

ZAKI
Saya yakin dan ia relevan

CIKGU
Berak? Kenapa tidak berjalan bersama seseorang dikaki bukit dibawah sepohon pokok besar yang rendang dan lebat daunnya disertai angin sepoi-sepoi bahasa dan awan yang redup. Kenapa mesti BERAK?

ZAKI
Pilihan saya.

CIKGU
Kenapa mesti BERAK?

ZAKI
Jawapan saya dan terpulang pada saya.

CIKGU
Kamu kelirukan kelas. Kamu pelik!

ZAKI
Cikgu yang pelik kerana Cikgu berdiri bagai seorang Arkitek yang membina bangunannya dan Cikgu gagal memahaminya. Cikgu yang merumitkan keadaan. Lihat dari sudut dimensi berbeza.

CIKGU
Terangkan

ZAKI
Setiap persoalan akan memberatkan kepada penemuan persoalan dan jawapan yang seterusnya dan setiap jalan kepada persoalan akan menghala kepada persoalan dan jawapan yang lain.

CIKGU
Itu sains!

ZAKI
Tidak, itu PILIHAN!

CIKGU
Pilihan kamu?

ZAKI
Saya andaikan contoh Cikgu tadi, andaian akan timbul dan setiap andaian akan merungkai satu jawapan baru. Satu jawapan baru akan memberikan satu lagi persoalan baru. Persoalan akan kembali semula untuk mencipta persoalan. Seterusnya dan seterusnya.

CIKGU
Berak?

ZAKI
Itu hanya perlambangan penolakan yang saya tidak mahu menjawab persoalan tadi dan juga sebagai tanda yang saya punya pilihan untuk menentukan apa yang saya mahu pilih dalam hidup saya. Bukan ditentukan dan dikuasai oleh Cikgu sendiri. Berak! Sekurang-kurangnya saya tahu matlamat akhir pilihan itu adalah untuk Berak dan memuaskan perut dan diri saya sendiri. Bukan untuk orang lain. Saya menikmatinya dan saya tahu keputusan akhirnya. Saya tidak perlu memikirkan apa-apa semasanya kerana saya hanya mahu berak dan keputusan itu tidak perlu dipengaruhi oleh sesiapa kerana datangnya dari saya sendiri dan bukan orang lain.

CIKGU
Bukan itu jawapan yang saya mahukan tapi saya membenarkan kenyataan dan jawapan itu. Jadi ada apa-apa lagi yang mahu kamu katakan.

ZAKI
Owh ya, izinkan saya keluar kelas kerana saya mahu BERAK!

CIKGU
Hahaha..nampaknya kamu berhadapan dengan PILIHAN!

Pelajar itu kehilangan kata-kata dan terus keluar dari kelas menuju ke tandas sambil mukanya merah padam menahan sakit-perutnya dicampur dengan kata-kata gurunya. Guru itu terus ketawa sambil melihat suasana kelasnya yang juga kehilangan kata-kata mengenai permainan kata dan debat yang sebenarnya tidak membawa apa-apa perubahan yang bermakna.


p/s : Inception= The Matrix Trilogy

Friday, August 6, 2010

BAYAKU BAYAMU

BAYAKU BAYAMU
oleh Yusrika Bahar

Bayaku bayamu
Betis ini tegang dek berjalan merentas belantara
Buka jalan buka tanah
Bina daerah bikin negeri
Tempat berteduh anak bini
Mencari dagang walau berkais
Rezeki tuhan digali mencanai syukur

Bayaku bayamu
Kuharung segala asa
Agar anak cucu hidup selesa
Mendatang tidak merempat
Berpijak dengan rasa tuan
Punya gelar tanpa bayangan
Bisa jamin bahagia tanpa kekangan

Aku
Mata kuyu..layu
Mulut ketap mengunyah gusi
Gumam...
Kulit jatuh..kedut...gelebeh
Kurus kering...keding
Nafas laju..perlahan bagai siput..
Tangan bertongkat...
Songkok kain pelikat..

Langkahku kau sebelah mata
Lagakku kau juih bibir
Suaraku kau tulikan telinga
Mataku kau kalih hala
Nafasku kau hela pulang
Ceritaku kau kalis gebang

Bayaku bayamu
Bukan begini akhirnya
Berdarah berparang menghalau penjajah
Kau berpesta melangit agung dunia
Bergolok bergadai cipta merdeka
Dengan kata kau dustakan negara
Konon kedepan ungkap maju
Tidak malu junjung maruah
Ternoda semula dengan tipu daya

Bayaku bayamu
....
Aku dirikan pertiwi
....
Bayaku bayamu
....

SALAM MERDEKA 2010

Dataran Merdeka
3.45am

Tuesday, July 13, 2010

ESOK SIAPA KITA?

ESOK SIAPA KITA?
oleh Yusrika Bahar

Damaikah senja merah itu ditanah yang kupijak
Dilatari lenggangan itik pulang petang
Sang kambing terus-terusan bermalasan meragut
Pak Tua longlai berjalan menyedut dalam-dalam rokok daunnya
Burung-burung sudah mula riuh kecoh kicaunya
Sang gadis bertudung litup bersejadah menghala ke surau
Makcik-makcik sibuk menjerit anak kecilnya segera pulang
Aku masih di tali-air duduk bermenung
Mengagah pancing yang belum mengena
Sambil melepas keluhan panjang
Renungan yang maha jauh pada awan

Sebegini jugakah orang diseberang bukit?
Adakah damai dibalik gunung raya itu?
Bagaimana pula nasibnya dihulu sungai itu?
Hmm..

Akan sampai sinikah perang itu?
Akan tiba sinikah pertumpahan darah itu?

Apa harus ku buat?

Mengagah itik-itik itu masuk ke reban..
Menambat kambing agar tak lepas...
Melaung pada Pak Tua agar lekas jalan...
Mustahil untuk kusuruh burung-burung itu diam
Tak sampai hatiku pada gadis-gadis agar tidak beribadah disurau
Atau kujerit pada makcik-makcik itu jangan dilaung anak pulang
Tapi terus lari sembunyi dibalik hutan..jauh-jauh

Dan aku?
Berlari sana-sini bagai pahlawan perang
Menjerit melaung menyelamatkan mangsa luka parah
Menghantar isyarat agar terus lawan
Merobek badan musuh dengan parang
Menembusi dengan peluru-peluru bertaluan
Atau aku..tumpas tanpa ada sesalan atau simpati..
Hanyir..reput..busuk..
Tanpa talkin...tanpa kapan
Tanpa kalungan jasa perwira

....aaah...
Khayalan..

Adakah khabar esok?
Siapa aku esok?

Azan berkumandang akhirnya
Aku mengangkat batang pancingku
Ke surau...moga ada tenang lagi..aman lagi..kulihat lagi senja sebegini..


Tali air, Benut
Pontian Johor..

HARI PUISI & LAGU : ESOK SIAPA KITA? & NOTA UNTUK ISRAEL
18hb Julai 2010 / Ahad / 2.30 Petang
Lorong Seni, Menara KBS, Presint 4, Putrajaya
Yusry : 012-7052504
FB : Yusrika Bahar

Percuma

Terbuka untuk semua yang mahu hadir. Mahu berpameran, berjualan, berteater, berlagu, berakustik, berpuisi dan apa sahaja atas dasar seni..datanglah, hadirlah, sokonglah, bantulah.

Wednesday, July 7, 2010

O AKU LELAKI

OO AKU LELAKI
oleh Yusrika Bahar

Ku berjalan seiringan dengan awan
Menikmati ruang alam ciptaan tuhan
Sungguh indahnya
Aduh cantiknya
Sang perawan tersenyum manja bibirnya

Aku tertawan
Aku tak keruan
Sungguh rupawan
Dimataku bagai bidadari kayangan

Oo
Syukurku pada tuhan
Kurniakan seorang teman
Suka duka jalan sama
Banggaku jadi arjuna...


p/s: Lagu yang masih separuh siap. Siapalah mahu bantu cari 'chord'nya..

Tuesday, July 6, 2010

ALAM & MANUSIA

ALAM & MANUSIA
oleh Yusrika Bahar

Manusia adakalanya sangat mudah lupa
Bila terbiasa dengan mulutnya, matanya, hidungnya, telinganya dan badannya
Adakah perubahan itu bermakna
Bila keselesaan itu tidak mengajar apa-apa
Apa yang kau nak sebenarnya dalam hidup?
Ditegur berkali-kali kerana kesenangan yang kau nikmati
Atau tegarnya otak kau untuk bekerja bersama-sama
Sampai bila harus leka dengan kebiasaan
Hanyut dengan kehidupan tanpa mengenal alam
Tidak mengenal pencipta
....
BERUBAH!
....
Bergunakah lagi bila hilang tempat bergantung
Bermaknakah lagi bila hilang tempat bermanja
Berertikah lagi bila hilang tawa riang gelak suka duka herdikan makian
Didepan kau girang dengan celuparmu
Dibelakang hilai kau tiada ukuran dek mengata
Baling batu sembunyi tangan
Tenggelam dalam khayal
....
Maaf boleh mengubah keadaan?
Tangisan kau bernoktah atau terus jalan?
Tiada guna sesalan jika nasi sudah menjadi bubur
....
Terbanglah
Hilanglah
Pergilah
Kemudi cinta kau
Kemudi hidup kau
Kemudi jalan kau
Kemudi cita-cita kau
......
BERUBAHLAH!!!!


Komponen Penjelajahan Lasak
Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda
Tahap Gangsa Putrajaya
Laman Nur Bestari, Ulu Yam, Selangor