PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Wednesday, April 29, 2009

Pesan orang tua tua


PESAN MAK AYAH
oleh Yusrika Bahar
Waktu kecil-kecil dahulu Mak Ayah selalu pesan sebelum aku keluar dari rumah kalau nak pergi kemana-mana atau sekadar bermain dengan kawan-kawan dipadang permainan.
“ Jaga diri baik-baik, Hati-hati. Nak melintas tengok kiri-kanan. Jangan buat hal dengan orang. Perangai tu elok-elok sikit. Jangan malukan Mak dan Ayah. ”

Sampai dah besar panjang macam nipun, tiap kali aku cium tangan Mak Ayah mohon izin dan restu, pesan yang sama berulang. Memasuki telinga dan tertancap kukuh kat kepala ni. Kejap dan buat aku terngiang-ngiang kata keramat ni. Sampai mati pun takkan hilang agaknya. Mana tahu 1 hari aku kahwin dan punya anak, ayat tu juga aku guna pakai mungkin.

Macamana dengan korang? Sama macam aku juga tak?

Hmmm benda ni untuk renungan aku dan sesiapa yang sudi baca.

Ada tak korang terfikir, kerja tuhan ni sangat agung dan tak terjangkau dek pemikiran kita. Daya yang ada pun hanya boleh buat kita cari hikmah disebalik apa yang berlaku.
Betul Tak? Tahu kenapa?

Sebabnya kadang-kadang kita ni dah ikut cakap Mak Ayah, buat yang terbaik tapi jadi juga benda tak elok dan kita juga kena salahkan balik. Kita dah hati-hati tapi ada juga bahaya datang. Sikit lagi kena langgar lori, kena gesel dengan bas, kena rempuh dengan motor, kena himpit basikal dan bertembung dengan orang pun ada. Kita tak buat hal dengan orang, tapi orang lain pula cari pasal dengan kita. Sengaja cari gaduh, kita kena ugut, kena pau, kena rompak, kena belasah, dan macam-macam hal lah. Buat perangai elok-elok pun kadang-kadang rasa macam tak kena. Kita yang jadi canggung bila bersopan, beradab. Orang lain cakap lepas, perangai tah hape-hape, maruah tak jaga pun dan ada juga pakai singkat macam tak cukup kain.

Pelik kan…

Kita nak jadi baik, sopan, jaga diri selalu tapi ada orang lain tak pula. Keliling kita ada juga benda tak elok jadi. Mereka jadi kurang ajar, terlebih ajaran, biadap, busuk hati, dengki, tikam dari belakang, suka jaga tepi kain orang…boleh pulak.
Pikir jugak, Mak Bapak diorang tak ajar ke?
Atau mak Bapak diorang bagi izin, tak kisah anak lepas laku?
Ataupun Mak Bapak diorang pun sama je?
Atau Atuk Nenek, Moyang, Piut yang dulu jadi Mak Ayah juga tak turunkan ayat keramat, tak bagitau macamana Mak Ayah aku bagitau kat aku?
Tak jadi kat kita, tak kena kat kita tapi jadi kat orang lain, kena kat orang lain.

Aku pun malas nak pikir sangat sebenarnya sebab benda ni sebab hati dan macamana kita bawa diri. Tapi kalau dah keliling kita, hari-hari kita tengok depan mata, takkan kita nak diam tak terasa kan?
Nak tuding orang, tuduh orang, salahkan orang itu ini bukan aku reti sangat. 1 jari aku tuju kat orang, 4 jari tuju kat kita balik. Bukan kerja aku nak hukum orang, beri nilai tahap kedudukan orang. Cuma aku ikut pepatah melayu “Buruk jadi sempadan, Baik buat teladan”.
Kita punya otak, tuhan bagi akal dan waras. Nilai sendiri tafsir sendiri samada nak ikut macam diorang atau dengar pesan Mak Ayah. Semua tu macam aku cakap tadi, kerja tuhan tu kita tak boleh nak banding pun. Bukan daya kita. Entah2 esok lusa tak tau apa jadi, cuaca bukan sama je sentiasa. Langit tak sentiasa cerah, mendung tak bererti hujan.
Jadi sama-samalah kita cari hikmah disebalik semua kat keliling kita ni. Namanya pun kita ni manusia dan hamba tuhan.
3.33 am
Gemereh,Segamat

Sunday, April 26, 2009

Mahu jumpa sama Dewa Malam


TOLONG!
oleh Yusrika Bahar
Aku sudah buntu! Makin buntu!!
4 hari berterusan tidak boleh tidur..
Kenapa?
Mayat hidupkah aku?
Otak Penat, Badan Penat.
Tapi mata tak mahu pejam.
Tangan sudah tidak tau mau tulis apa sebab otak penat.
Paksa mata lena tapi degil tak mau.
Pejam saja celik kembali..
Pejam
Celik
Pejam
Celik
Pejam
Celik
Pejam
Celik
Pejam
Celik
Pejam
Pejam Pejam pejam Pejam Pejam Pejam pejam pejam
Celik juga...
Sudahnya aku kebil-kebil..
Bukan ada sesiapa boleh ajak ngobrol
Jalan-jalan...
Risau
Takut
Gentar
Ketar
Sunyi
Sepi
Sendiri
Campur baur...Sorang-sorang
Minda kosong...tiada gambaran..tiada alamat
Kosong...
Buka lampu atau padam lampu sama sahaja
Tiada beza..
Semua orang dalam rumah sudah tidur
Mimpi indah atau ngeri aku tak peduli
Aku cemburu..aku mahu marah
Tapi pada siapa?
Meraunglah hatiku minta simpati
Berdoalah mulutku minta belas
Mana mimpi yang aku cari,
mana nyenyak yang tak mau kunjung?
Tolong aku bantu aku!!!!
Adakah siapa mau dengar?
Beri simpati atau pasti...
Apa jadi pada aku sebenarnya......
27 April 2009 1.15 am
rumah kampung, benut

Saturday, April 25, 2009

Salam PENGENALAN


Gambar diatas diambil dihalam rumahku..dikampung Benut,Pontian Johor.
Selamat Datang ke Daerah di Penghujung Benua Asia.


..sekadar catatan pengalaman di Bumi tuhan..
oleh Yusrika Bahar

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Pada permulaan bicara yang hanya menggunakan tulisan ini, AKU Yusrika bersedia untuk berkongsi cerita dan juga pengalaman hidup yang telah dilalui sedikit sebanyak. Maaf andai ada yang mengetahui dan mengenali tetapi hanya sedikit yang terpapar kerana ada juga yang harus menjadi simpanan peribadi dan harus diketahui hanya dari mulut...

Cheewah!! Ayat..macamlah aku ni penulis hebat..nak tulis dalam keadaan tak formal macam canggung pula rasanya..tapi cubalah juga biar senang pemahaman kan...tapi sebolehnya cuba untuk elakkan guna Bahasa Inggeris, bukan apa biar Bahasa Melayu itu kekal...namanya pun Bahasa Kebangsaan dan aku ni anak jati Melayu Bugis.

Baiklah, maklumat diriku.

Nama penuh Yusrika Bin Bahar, lahir di Johor rumah belakang (kat belakang gambar tulah). 9hb Ogos 1982 (aku lahir je Singapura cuti..sampai sekarang bila tiba hari lahirku). Maksudnya umur aku 27 tahun lah...tua kan? Tapi apa ada pada umur hanya angka bagiku walau banyak agenda yang patutnya sudah dilaksana tapi belum terlaksana...macam Kahwin,kerja..punya aset sikit2. Aku membesar dalam kehidupan yang tidak mewah dan tidak juga susah amat..biasa-biasa jer. Keluarga pun bukan orang senang.. Adik beradik 3 orang jer. Aku sulung yang lain perempuan(cun tau).

Aku ni baru je Grad (ikut tarikh sekarang lah).. Aku graduan Universiti Teknologi MARA Kampus Johor dalam bidang Diploma in Banking 2000-2003 dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan : Major Pemasaran 2006-2008. Pernah bekerja di Kementerian Belia dan Sukan Malaysia di Unit Rakan Muda sebagai Penggerak Rakan Muda 2004-2006.

Langsung tiada kaitan dengan Sastera, Penulisan mahupun bidang Teater kan? Tapi itulah kalau kita punya minat dan bakat (mungkin) semua tu tak ada masalah bagi aku.

Selama aku sekolah aku ni memang aktif dan mulut, tangan dan badan ni memang tak pandai duduk diam. Ada je lah nak aku sertai, nak masuk pertandingan itu ini dan juga persembahan itu ini. Masa sekolah aktif dalam nasyid sampai banyak juga lagu dan lirik aku tulis, tu belum pidato lagi, bahas, pantun dan sebagainya.. Diam2 juga belajar Tarannum dan Qiraat Al-Quran...nyanyi ghazal sikit2..berlakon teater..drama pentas sekolah..alaaa cerita lama. Cuma sayang tak ada gambar..sebab aku tak suka sangat kot.

Aku sedar aku ni bukan hensem sangat..dahi nipun nak dekat botak dah..
Tapi yakin jelah kalau berhadapan dengan orang.

Masuk je Universiti orang panggil Mahasiswa, rasa macam orang pandai je tapi kita yang belajar dan tengok buku tebal2, berhadapan dengan pensyarah dan bergaul dengan kawan-kawan yang macam jenis2 ni barulah sedar dan tahu diri..bangga atau tidak? Pengalaman mengajar kita untuk terus matang dalam dunia moden ni...betul tak?
Kat U ni memang aktif lah dan aku jumpa perkara yang palig best untuk diterokai.

Seni Persembahan.

Walaupun takde Fakulti ni atau subjek ni tapi aku tekad nak belajar walau tak formal. Aku masuk lah Performing Arts Club (P.A.C) aku belajar Teater, Nyanyi, Mengacara, Menari dan apa juga tentang seni persembahan. Memang seronok dan puas kalau kita buat kerja yang kita suka biar penat macamana sekalipun. Kena marah, kena tengking, kena herdik. Tak jadi kudis sebab aku suka...dan boleh asah lagi minat aku.. Aku menulis, berkarya, bagi idea dan belajar.

Program kampus, acara itu ini pun adakalanya aku handle jadi krew atau Ketua projek..cuma sayang aku tak banyak bergambar sebab ke hulu hilir kot..bergerak je..lagipun macam tadi aku cakaplah muka ni pun tak market sangat...orang tak pandang sangat pun..

Kelab P.A.C masa ni kelolaan Puan Lizana aka Mummy banyak ajar aku gak, mana senior2 lagi. Curi2 g kursus teater jangka pendek, pergi tengok teater kat mana2, tanya orang itu ini. Memang seronok dan pengalaman yang amat berharga.

Teater atau persembahan pentas ni buat aku teruja, buat aku ghairah dan buat aku boleh hidup dan menulis. Sememangnya aku suka lihat dan tengok dan juga menghayatinya Aku senaraikan sedikit sebanyak apa yang aku sertai dan terajui..atau hanya sekadar menonton..bukan nak bangga atau apa tapi sekadar berkongsi biar aku pun tak lupa juga.

Jadi Penonton / Krew / Ketua Projek

Teater Uda dan Dara (baru join kelab)
Fiesta Seni dan Budaya (Ketua Projek untuk persembahan Kebudayaan)
Festival seni Budaya UiTM (Ketua Projek & Pengarah Pentas)
Program Pertukaran Budaya Dua Benua Rakan Muda (Pengarah Projek)
Program Suai Budaya Kolej Sempana Riau ( Pengarah Projek )
Malam Anugerah DiBA UiTM (Pengarah Projek)

Sebagai Pelakon / Pengarah / Penulis / Penyanyi

Teater Melodrama Merdeka (pelakon dan Pengarah)
Teater Kemerdekaan Daerah Segamat 2000-2003,2006,2007 pelakon, pengarah dan penulis)
Teater Ludin (Pengarah)
Teater Penunggu Pusaka (Pengarah)
Teater Lepat Pisang Kopi O (Pengarah Pentas)
Teater Sakarat (Penolong Pengarah, Penulis)
Teater Rasuk (Pengarah, Penulis)
Dekon Aksara Merdeka (Pengarah)
Dekon Tolonglah Ayah, Ibu (Pengarah)
Festival Nasyid IPT (Penyanyi dan Pengarah Pentas)
Festival Nasyid Kampus (Penyanyi)
Festival Seni Tari dan Lagu Tradisional (Penyanyi dan Pengacara)
Festival Dikir Barat Kampus (Penyanyi dan Pengacara)
Festival Choir & Choral Speaking Kampus (Konduktor,Penyanyi dan Pengacara)
Hari Terbuka Kolej Sempana Riau ( Pengarah Pentas dan Pengacara)
Battle of The Band Kampus (Penyanyi dan Pengacara)

ada lagi lah cuma buat masa sekarang tak ingat sangat dah..sebab tak tulis kat diari dan tak ambil gambar kenang-kenangan..maaf ya dan aku tak kisah kalau ada yang kata aku bohong atau sengaja bikin cerita..

Teater yang hanya sekadar ditonton

Teater Bunga Raya Bunga Manggar
Teater No Exit
Teater Tun Sambathan
Teater The Lesson
Teater Retak Awan Malam Ini
Teater Bangsawan Mek Mulong
Teater Anak Kerbau Mati Emak
Teater Keris
Teater Cermin
Teater Kerusi
Teater Muzikal Suzanna
Teater Muzikal P.Ramlee
Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang
Teater Muzikal Patriot
Teater Muzikal Ibu Zain
Teater 7 Duri 7 Malam
Teater Tok Perak
Teater Seorang Tua Di Kaki Gunung
Teater Lantai T.Pinkie
Teater Si Yatim Chao
Teater Mayat
Teater Misi
Teater Kebayan
Teater Dewata

dan banyak lagi lah yang aku tonton, mungkin dah lupa kot..nanti2 bila ingat semula aku bagitahu dan ceritalah k.. Siapa pengarahnya, Karya siapa dan pelakon2nya juga ada yang sudah tidak diingat.. Tapi pengalaman itu amat berharga jika dikenang..seronok kan sebab kita suka!!

Rasanya sampai sini dulu lah aku tulis. Rasa macam panjang sangat pulak kan. Entah ada yang baca atau tidak kan blog AKU Yusrika ni..

Maaf, Terima kasih dan Jumpa lagi..

3.45 pm
Rumah Kampung, Benut.

MANUSIA (alangkah pelupanya)



LEKA
oleh Yusrika Bahar

Adakalanya bicara yang terucap memang lahir dari hati
Atas dasar tahap kewarasan akal sang manusia itu sendiri
Tanpa sedar bijaknya,
Ada hati yang terguris
Ada jiwa yang terhiris

Manusia punya akal
Manusia punya mulut

Adakah tertadbir bila ada kelukaan terzahir kerananya?

Siapa kita didunia Fana ini?


K H A L I F A H
oleh Yusrika Bahar


Hidup itu cabaran
Hidup itu pengalaman

Empat unsur alam tercorak
Empat unsur alam mencorak
Empat unsur alam dicorak

Mana kita yang punya minda
Mana kita yang punya bicara
Mana kita yang punya mata
Mana kita yang punya langkah
Mana kita yang punya rasa
Mana kita yang punya bahasa
Mana kita yang punya asa
Mana kita yang punya tenaga
Mana kita yang punya upaya
Mana kita yang punya cinta

Jalan terbentang bisa lurus
Jalan terbentang bisa simpang
Pilihan untuk satu ketentuan
Pilihan untuk satu penentuan
Panduan untuk kedepan...agar tidak kebelakang

Berkatalah kita pada kesempitan
Berkatalah kita pada kemurungan
Berkatalah kita pada kesakitan
Berkatalah kita pada kepayahan

Tanpa syarat, tanpa bias, tanpa alas

Mengharap pada namanya keadilan
Mengharap pada namanya keberuntungan
Mengharap pada namanya nasib
Mengharap pada namanya takdir

Hidup itu cabaran
Hidup itu pengalaman
dengarlah dan bangkitlah....Sang Khalifah

15 April 2009
3.22 am
Taman Gemereh
menulis lagi pada waktu pagi..
aku sakit agaknya..susahnya nak tidur selepas pukul 12.00 malam..
selepas solat subuh baru boleh tidur..gangguan apalah semua ni..Tolonglah!!!!!!

TIDUR


TIDUR
Oleh Yusrika Bahar

Katil dua tingkat ku ubah cantum jadi katil ‘king size’
Tilam kususun agar rata baringku
Bila baringku rata, baru lena tidurku nanti..tidur lena
Benarkah?
Hari-hari aku masuk tidur, tutup lampu, baring, kipas pusing
Mataku lambat pejam juga
Gelisah
Gelap
Mata cerlang, otak jalan, fikiran menerawang
Kenapa?
Bosan
Ada kerja belum beres, ada usaha belum laksana
Atau obsess mengharap idola muncul gamit borak
Sialan…
Siang nanti, mandi, solat, sarapan, buat kerja
Cari duit bayar sewa, bayar ongkos kehidupan
Mata tidak pejam lagi
Petik lampu tidur, nyala suram
Mengajak tangan menukil
Mengerah otak, muntah luahan
Agar penat, cepat tidur
Betulkah?
Tulis apa? Luah apa?
Bosan hidup masih sama
Tak senang, tak kaya, susah mungkin ya
Tapi bisa makan, bisa bayar sewa, bisa beli yang mampu…belum lagi meminta-minta
Ada orang lahir kaya
Ada orang lahir miskin
Ada orang lahir tengah-tengah
Aku dimana ya…aduui!!!
Badan letih otak belum lagi
Sambung tulis untuk siapa?
Menebak jiwa kosong untuk satu lagi harapan
Menebak jiwa kosong untuk satu lagi pengertian
Menebak jiwa kosong untuk satu lagi pengorbanan
Penderitaan atau sakit
Merayu untuk kebiadaban yang belum bersatu
Hidup ini memang satu keterpaksaan
Mana wujud kerelaan nyata
Memerah keringat untuk kelangsungan
Esok terus terusan sama lagi cuma cuaca lain-lain

Tidurlah, harap mimpi buat sejuk hati!!!!!!

Kerana tak boleh tidur, ku tulis begini jadinya

4.13 am
Taman Gemereh,Segamat

KERJA


KERJA

oleh Yusrika Bahar


Bukankah yang ESA tentukan rencana
Susun atur hidupnya Manusia
Diuji dan kerana itu wujudnya Sabar
Mencari nikmat untuk masa depan
Kau memilih samada ya atau tidak...
Menolak atau mengizinkan..
Kudratmu..tenagamu...tubuhmu..
Impianmu harus terus hidup
Citamu harus terus kejap
Citramu bukan sebarangan
Warawiri...itu bukan fitrahmu
Yang penting langkahmu terisi
Ada makna untuk kelangsungan..


Thursday, April 23, 2009

OBSES


OBSES

Selama ini aku prejudis
Sama orang yang namanya ada sang idola
Apa gunanya
Apa faedahnya
Apa salahnya
Apa betulnya
Buat aku berfikir untuk mentafsir
Tentang kenapa dan mengapa perlunya
Tentang dimana dan bagaimana fahamannya
27 tahun aku hidup berbekalkan wajadiri
Selama itu juga
Aku makan
Aku tidur
Aku berak
Aku kencing
Aku belajar
Aku mendengar
Aku menari
Aku menulis
Aku merokok
Aku bermain
Aku berlakon
Aku menangis
Aku ketawa
dan semuanya lakuku atas nama kehidupan, cabaran dan pengalaman
Tapi baru sekarang aku cuba mengerti
Baru aku merasa dan terasa penangannya
Terkena pada batang hidung sendiri
Terhantuk dan terngadah
Cuma tidak jilat ludah sendiri
Begini rupanya pada yang ada rasa, jiwa dan sayang
Punya semangat untuk hidup
Punya daya untuk juang
Punya citra untuk impian
Punya cita untuk cinta



Bilik tidur rumah kampung
3.15 pagi
Benut

PENA



PENA


Menulis kerana ada masa lapang.


Menulis kerana tiada kerja.


Menulis kerana ada sang idola..


Menulis kerana ada yang dirindui..




Waras atau dungu tak bertempat?


Sang Gajah dan Sang Semut
oleh Yusrika Bahar
( Gambar Hiasan: Zahiril Adzim Teater Bangsawan )

Maka pada suatu hari berjalanlah si semut mencari si gajah yang dikhabarkan gagah perkasa, punya kuasa dan punya tenaga luar biasa. Si kerdil semut pun keluar dari koloninya mencari, kerana ada persoalan yang perlu dijawab, ada pertanyaan yang tidak terungkap, ada kebuntuan yang perlu di pecahkan.

Bukan tidak sedar si semut yang Tok Rimau si Raja Rimba perlu didahulukan tapi ada benak yang tumpul, ada zahhir tak terucap. Hormat tetap hormat. Bukan melangkau kuasa atau derhaka, bukan tidak patuh pada peraturan dan kuasa izin jumpa Cuma ingin bersemuka empat mata.

Akhirnya ketemu sang gajah yang sedap sedapan meratah pucuk pisang muda.

Semut :
Hoi Gajah! Kau dengarkah?

Gajah :
Biadap sungguh pada gerangan yang mengganggu enakku.
Siapa itu?
Dimana kau?
Tunjukkan dirimu?

Semut :
Aku disini. Dihadapanmu.

Gajah :
Telinga ini cukup besar untuk mendengar,
mataku tak kurang sifatnya juga.
Mana zahirmu atau kau cabar penglihatanku?

Semut :
Akulah sang semut, aku diatas batu dihadapanmu.

Gajah :
Oh semut, kecil benar kamu.
Oh ye haiwan kecil dari kumpulan kecil.
Mengapa tidak beri salam, bukankah ada sopan diajar?

Semut :
Amboi, beralas sungguh,penuh makna.

Gajah :
Kita orang timur, adatnya cara orang timur.

Semut :
Maafkan aku ganggu senggangmu.

Gajah :
Tidak mengapa.
Kenapa datang?
Mengapa mahu jumpa?
Terus terang saja tanpa basa basi.

Semut :
Wah! Tak perlu alu aluan,
pemanis kata, pembuka bicara.
Terus pada isi. Bagus.
Sungguh telus tanpa birokrasi.
Jika begitu mahu aku terus bicara?
Terus Tanya dan pasti kau boleh beri jawapan segera.

Gajah :
Bukan itu seruan sang Raja Rimba?
Sekarang kau datang padaku, tiada yang lain.
Makanya kau kudahulukan.

Semut :
Baiklah

Gajah :
Baiklah, teruskan.

Semut :
Aku sebenarnya pelik!

Gajah :
Pelik? Kenapa?

Semut :
Tunjukkan aku cara bagaimana mahu jadi gajah.

Gajah :
Hahahahaha
Semut mahu jadi gajah?
Semut…..oh…semut.
Sudah habis fikir?
Kau sedar diri atau tak tahu diri?
Mana mungkin kecil jadi besar atau besar jadi kecil.
Mustahil!

Semut :
Tiada yang mustahil jika ada cara!

Gajah :
Kau ingat ini zaman dongeng?
Ada kuasa sakti yang boleh jampi kau jadi besar?

Semut :
Aku tak maksudkan begitu.

Gajah :
Jadi maksudmu apa?

Semut :
Badan kau sangat besar.
Lihat kaki kau sahaja.
Seteguh balak pemeluk manusia ukurannya.
Tegap, utuh,nampak gagah.
Lebar telingamu bisa mendengar apa sahaja suara.
Samada dekat atau di kejauhan.
Tempikmu gegar alam gegak gempita.
Belalaimu banyak guna.
Bisa memeras, memulas, melibas dan meliat.
Menyembur ia juga.
Gadingmu bernilai aset berharga.
Maka banyak jasamu pada rimba dan jagat raya.

Gajah :
Itu kelebihanku hingga bisa jadi tambatan Raja.
Membantu tadbir urusan rimba.

Semut :
Itu mahuku, itu maksudmu.
Jadi gajah, jadi kamu.

Gajah :
Tak boleh semut. Mana mungkin.
Hukum alam termaktub.
Yang besar bisa diharap, yang kecil menurut perintah.

Semut :
Kamu pandang rendah nampaknya.
Sudah selesa benarkah duduk letak diri kau gajah.
Kau membentuk barisan yang ya memang boleh diharap.
Tapi masih ada ruang kosong yang boleh dibolosi.
Tapi jangan lupa pada semut juga walaupun kecil,
bisa membentuk pakatan tahu, terobos ruang lompong.

Gajah :
Lain benar katamu, ini memuji atau menguji?
Provokasi mungkin? Manipulasi? Sinis benar..

Semut :
Tidak semestinya besar itu bapak dan kecil itu anak.
Perpaduan kau membentuk barisan belum tentu ampuh.
Bisa goyah juga dan mungkin boleh parah.
Kau guna kudrat tenaga aku guna firasat minda.
Jadi bijaknya dimana?

Gajah :
Kau sudah tidak waraskah semut?
Katamu undang padah. Bicaramu undang nista.
Ada yang terluka andai ada yang mendengar, terdengar.

Semut :
Siapa bisa sebar andai ini pertemuan empat mata?

Gajah :
Nampaknya kau cakap ikut sedap mulut.
Kata ada otak tapi tak mahu guna..tak fikir dahulu.
Bukan kau yang kata tadi telingaku lebar?
Tak terkesankah kau
dengan kawananku yang jaraknya hanya
sekangkang kera disana?
Baliklah semut, sia-sia sahaja kau ketemu aku jika ini mahumu.
Balik, duduk diam-diam jalan hidup macam biasa.

Semut :
Tak boleh! Tak mahu!
Kerana persoalanku belum terjawab.
Hajatku tak tercapai.
Dan aku belum jadi gajah.

Gajah :
Gila rupanya kau ya!
Peraturan tetap peraturan, kau takkan bisa jadi sesiapa.
Kecil jangan harap jadi besar.
Kau berangan.
Si kecil takkan bisa lawan si besar!

Semut :
Boleh, aku boleh lawan kau!

Gajah :
Mahu beradu? Ajak gocoh?
Kakiku sahaja bisa lunyaikan tubuhmu sekelip mata.
Hentak, penyek!
Belalaiku sembur air kau akan kebanjiran..hanyut..lemas!
Tempikanku sahaja kau boleh cacat tahu!
Hancur kolonimu jika gadingku cecah tanah!
Kudratku tak tertanding tenagamu.

Semut :
Kau guna kudrat aku guna minda.
Sudah aku beritahu awal tadi bukan?
Bijaknya siapa? Dimana?
Kau memang besar, Nampak tenagamu jelas!
Tapi kau tak guna otakmu, dangkal…dungu.

Gajah :
Nampaknya kau hilangkan sabarku!
Marahku memuncak!
Banyak sangatkah nyawamu yang kau pertaruhkan pada
Kolonimu?
Mahu tunjuk lagak di tempat orang?
Banyak mulut dan tak sedar asal-usul keturunanmu?

Semut :
Kau terus-terusan mengata?
Aku belum terusik lagi, punya sabar dan waras.
Aku cuit hati kau, geletek sikit..hahaha..
Benarlah resam si gajah naik minyak..
Rempuh segala depan mata, lupa pada kewarasan,
Hilang kewajaran.
Biar putih mata asal puas hati.

Gajah :
Ya!!! Ayuh Lawan!!
Buka langkahmu..jurusmu. Kita lihat siapa lagi handal!
Maka berang amatlah si Gajah yang tidak boleh terima pandangan, kedunguan yang tidak tahu berdiplomasi.

Si semut dengan pantas mengatur gerak, lari kilat menangga badan si Gajah. Bergulinglah si gajah menempik marah menghentak kakinya tanpa sedar sisemut sudah memasuki telinganya. Tanpa membuang masa lalu si semut mengetip denyut nadinya sang gajah. Menggelupurlah sang gajah yang akhirnya mati tanpa ada satu jurus pun yang mengena. Menghurunglah gerombolan lalat yang terbau bangkai dari kejauhan dengan gelojohnya.

Semut :
Benarlah kata pepatah.
Bangkai gajah takkan dapat dilitup nyiru.
Sedangkan kalau semut, daun semalu sudah lebih dari cukup.
p/s : Gunakan minda dengan bijak untuk mentafsir.
Hanya rekaan pada mendung yang tak bererti hujan

Wednesday, April 22, 2009

Siapa Salah?



BETUL ATAU SALAH

oleh Yusrika Bahar


Ada cemburu pada orang kaya

Boleh pandang orang sebelah mata

Ada cemburu pada orang kaya

Boleh mengata orang ada salah

Ada cemburu pada orang kaya

Boleh punya wang beli harta

Tapi
Ada yang ada sedar…bantu kebanyakan

Terima-kasih untuk nama

Terima-kasih untuk sanjungan

Tapi

Ada yang ada hati…hulur tangan

Tak minta semula

Tak harap apa-apa

Salahkah ada susah

Pandang orang kaya dua belah mata

Mengata, mengata juga

Tak punya wang hendak harta

Sama-sama terima bantuan

Sama-sama sambut salam

Tak minta tapi mengharap


Putaran


Tuesday, April 21, 2009

Tawa Dalam Tawan

A



Puisi moden ini adalah hasil nukilan anak muda diatas dan nama penulisnya juga ada dibawah. Puisi ini juga kelihatannya amat telus dan dapat dihayati penciptaannya. Gaya bahasa yang tidak terikat secara formal sepenuhnya dan disampaikan dengan cara tersendiri dan punya maksud yang pelbagai. Salah satu puisi yang digemari AKU Yusrika. Selamat membaca dan menghayati.
Tawa Dalam Tawan
Zahiril Adzim a.k.a Bob a.k.a Merah

Ke hadapan bintang jatuh,
yang melintas melintangi pandangan aku,
dan merempuh tembok kewarasan,
hingga hancur segala cita,
yang merangkak aku cipta.
berhari,
berminggu,
berbulan
bertahun,
umurnya.
Dan kini,
mengesot aku mengutip,
Serpihan cita yang berderai,
berkecai, terburai, terkulai,
yang berselerak jaraknya.
Lalu aku ambil satu persatu
Dan aku kumpul dan aku bina semula,
menjadi seperti sedia kala.
Dengan rasa yang hina,
setelah diperlaku kejam oleh kerabat dia.
Yang kononnya mengaku sedia tahu,
mengaku maha tahu.
Kepala hotak lu.

Apa ucap kau hari itu?
Apa laku kau hari itu?
Apa rasa kau hari itu?
Apa fikir kau hari itu?
Simpan sahaja jawapan untuk otak bahalolmu itu.

Aku mengerti bahawa kita diternak,
Aku, kau, dia, kamu, kita,
mereka dan kami semuanya adalah ternakan.
Oleh sekumpulan dewa yang kerjanya berpesta,
Sambil merompak nasi pagi, nasi petang, nasi malam!
Itu semua nasi kita!
Yang memaksa tangisan anak terlaung kuat,
kerana bapaknya tidak mampu beli susu.
Lalu ditembak mati kerana terpaksa mencuri,
rebah terbujur di lantai pasaraya,
mengalirkan darah perit hidupnya,
dan disaksikan oleh sang isteri yang meraung sia - sia.

Tapi ada dia peduli?
Kalau bukan keluarganya,
Kalau bukan saudara - maranya,
Kalau bukan kawan - kawanya,
Jangan harap dia nak peduli!

Dia menolak akuan bahawa kita ditawan,
Dia menolak akuan bahawa dia ditawan,

Yang mengepit handbag LV berlenggang di Pavillion,
Yang menyarung skinny jeans merokok di Bukit Bintang,
Yang meneguk Chivas di kelab cucuk bintang,
Yang memijak lantai kereta kancil turbo atau lain - lain kereta bikin.
Yang memulas handle RXZ,
Yang menggalas beg ke kuliah,
Yang terperangkap dalam pejabat dari 9 - 5 petang,
Yang melaung protes di jalanraya,
Yang mengira undi pilihanraya.
Yang teruja nak jadi selebriti,
Yang bertekad menjadi penyanyi.
Yang terhegeh berlakon KAMI The Movie.
Apatah lagi yang sedang baca puisi ini.

Kita, semuanya ditawan!
Kau, tertawan.Aku, tertawan.
Kita, tertawa dalam tertawan,
Ditawan oleh kemodenan,
Ditawan oleh globalisasi!
Ditawan oleh arus dunia realiti!
Terutamanya dewa berkuku besi.

Tidak terasa bagi yang selesa,
Tidak terkesan bagi yang mewah,
Hanya tersedar oleh si kebanyakkan.
Hanya terlihat oleh yang keperitan.

Tak terdaya aku bertindak,
Dengan kebodohannya dan juga lagak,
Kepada syaitan bertopeng alim.
Kononnya mulia, sebenarnya zalim.
Aku biarkan dia dengan wataknya,
Aku biarkan aku dengan lakuku,
Aku biarkan mereka dengan tawanya,
Aku biarkan kami dengan isi hati sendiri.
Kerana aku tiada mampu.

Kehadapan bintang jatuh,
Semoga kamu akan jatuh.
Aku harap tertiarap terus,
Kerana aku mahu kau pergi mampus.

Dari Five Arts Center ke Bukit Jelutong.
25 Oktober 2008.
3.46 petang.

Monday, April 20, 2009

Sang Idola

KAGUM
oleh Yusrika Bahar


Tangan ini menulis untuk mengenali, tapi untuk apa?
Tangan ini menulis untuk mendekati, tapi untuk apa?
Tangan ini menulis untuk memahami, tapi untuk apa?

Adakah isi hati yang terluah akan membuahkan bicara?
Adakah kata yang terucap akan menzahirkan rasa?

Kau dan aku adalah dua citra berbeza tapi dilahirkan atas nama manusia yang berperasaan..

Aku mengagumimu..
Walau peranmu mungkin tidak setanding yang lain..

Aku menghayati rentakmu..
Walau lenggokmu tidak seralit yang lain..

Ku hulur salam atas dasar kagum
Ku hulur salam atas dasar bahasa
Ku hulur salam atas dasar rasa


KAGUM 2
oleh Yusrika Bahar

Semalam kuhulur tangan mengharap sapaan tapi pautan terjalin.
Kagumku bersambut tanpa kata namun syukur tetap terucap.
Adakalanya mengharap tidak semestinya menghendaki.

Kau merayu agar mindamu bersatu,
adakah keupayaan itu boleh menafsir segala kepayahan yang kau harap akan lenyap?

Kau merayu agar mindamu bersatu,
adakah keupayaan itu boleh menzahirkan perasaanmu satu persatu?

Kesakitanmu, kelukaanmu, keperitanmu, kesepianmu
bukan petanda kebahagiaan bukan milikmu,
kegembiraan tidak memihak padamu.

Berfikir belum tentu berguna
Bercakap belum tentu bertindak

Adakalanya manusia yang berada didalam kegelapan
hanya mahu melihat apa yang ingin dilihat...
dan manusia
adakalanya merasakan mereka cukup bagus untuk segalanya bila berada di zon selesa.

Namun semua itu belum lagi melunturkan asa kagumku padamu.


KAGUM 3
oleh Yusrika Bahar

Dekat Jarak bukan bermakna Dekat Hati
Kau bermain dengan kesakitan dan sakit itu menyeksakan
Kau bermain dengan kepedihan dan pedih itu memeritkan
Maka..
Mana mungkin kau lihat sinar andai mata melilau gelap.
Mana mungkin kau hayun langkah andai gerak dipaksi sama.
Mana mungkin kau ucap kata andai mulut tak bernafsu minda.
Mana mungkin kau jadi dirimu andai hilang ditengah gelombang ilusi.

Apakah makna sebuah penglihatan tanpa tafsiran?
Apakah makna segugus bicara tanpa hati?
Apakah makna jurus perlakuan tanpa niat?

Asa dan payahmu bersatu mencipta sejarah
Akal dan mindamu bersatu mencipta citra
Nyata terzahir dalam kudratmu

Kagum ku masih belum sirna...


bilik tidur, tmn gemereh
3.00 am

Saturday, April 18, 2009

Aku Yusrika


Hai Salam Perkenalan.

Maka bermulalah perjalananku dalam dunia luahan perasaan mengenai kehidupan yang tidak ketentuan ini...