PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Thursday, April 23, 2009

Waras atau dungu tak bertempat?


Sang Gajah dan Sang Semut
oleh Yusrika Bahar
( Gambar Hiasan: Zahiril Adzim Teater Bangsawan )

Maka pada suatu hari berjalanlah si semut mencari si gajah yang dikhabarkan gagah perkasa, punya kuasa dan punya tenaga luar biasa. Si kerdil semut pun keluar dari koloninya mencari, kerana ada persoalan yang perlu dijawab, ada pertanyaan yang tidak terungkap, ada kebuntuan yang perlu di pecahkan.

Bukan tidak sedar si semut yang Tok Rimau si Raja Rimba perlu didahulukan tapi ada benak yang tumpul, ada zahhir tak terucap. Hormat tetap hormat. Bukan melangkau kuasa atau derhaka, bukan tidak patuh pada peraturan dan kuasa izin jumpa Cuma ingin bersemuka empat mata.

Akhirnya ketemu sang gajah yang sedap sedapan meratah pucuk pisang muda.

Semut :
Hoi Gajah! Kau dengarkah?

Gajah :
Biadap sungguh pada gerangan yang mengganggu enakku.
Siapa itu?
Dimana kau?
Tunjukkan dirimu?

Semut :
Aku disini. Dihadapanmu.

Gajah :
Telinga ini cukup besar untuk mendengar,
mataku tak kurang sifatnya juga.
Mana zahirmu atau kau cabar penglihatanku?

Semut :
Akulah sang semut, aku diatas batu dihadapanmu.

Gajah :
Oh semut, kecil benar kamu.
Oh ye haiwan kecil dari kumpulan kecil.
Mengapa tidak beri salam, bukankah ada sopan diajar?

Semut :
Amboi, beralas sungguh,penuh makna.

Gajah :
Kita orang timur, adatnya cara orang timur.

Semut :
Maafkan aku ganggu senggangmu.

Gajah :
Tidak mengapa.
Kenapa datang?
Mengapa mahu jumpa?
Terus terang saja tanpa basa basi.

Semut :
Wah! Tak perlu alu aluan,
pemanis kata, pembuka bicara.
Terus pada isi. Bagus.
Sungguh telus tanpa birokrasi.
Jika begitu mahu aku terus bicara?
Terus Tanya dan pasti kau boleh beri jawapan segera.

Gajah :
Bukan itu seruan sang Raja Rimba?
Sekarang kau datang padaku, tiada yang lain.
Makanya kau kudahulukan.

Semut :
Baiklah

Gajah :
Baiklah, teruskan.

Semut :
Aku sebenarnya pelik!

Gajah :
Pelik? Kenapa?

Semut :
Tunjukkan aku cara bagaimana mahu jadi gajah.

Gajah :
Hahahahaha
Semut mahu jadi gajah?
Semut…..oh…semut.
Sudah habis fikir?
Kau sedar diri atau tak tahu diri?
Mana mungkin kecil jadi besar atau besar jadi kecil.
Mustahil!

Semut :
Tiada yang mustahil jika ada cara!

Gajah :
Kau ingat ini zaman dongeng?
Ada kuasa sakti yang boleh jampi kau jadi besar?

Semut :
Aku tak maksudkan begitu.

Gajah :
Jadi maksudmu apa?

Semut :
Badan kau sangat besar.
Lihat kaki kau sahaja.
Seteguh balak pemeluk manusia ukurannya.
Tegap, utuh,nampak gagah.
Lebar telingamu bisa mendengar apa sahaja suara.
Samada dekat atau di kejauhan.
Tempikmu gegar alam gegak gempita.
Belalaimu banyak guna.
Bisa memeras, memulas, melibas dan meliat.
Menyembur ia juga.
Gadingmu bernilai aset berharga.
Maka banyak jasamu pada rimba dan jagat raya.

Gajah :
Itu kelebihanku hingga bisa jadi tambatan Raja.
Membantu tadbir urusan rimba.

Semut :
Itu mahuku, itu maksudmu.
Jadi gajah, jadi kamu.

Gajah :
Tak boleh semut. Mana mungkin.
Hukum alam termaktub.
Yang besar bisa diharap, yang kecil menurut perintah.

Semut :
Kamu pandang rendah nampaknya.
Sudah selesa benarkah duduk letak diri kau gajah.
Kau membentuk barisan yang ya memang boleh diharap.
Tapi masih ada ruang kosong yang boleh dibolosi.
Tapi jangan lupa pada semut juga walaupun kecil,
bisa membentuk pakatan tahu, terobos ruang lompong.

Gajah :
Lain benar katamu, ini memuji atau menguji?
Provokasi mungkin? Manipulasi? Sinis benar..

Semut :
Tidak semestinya besar itu bapak dan kecil itu anak.
Perpaduan kau membentuk barisan belum tentu ampuh.
Bisa goyah juga dan mungkin boleh parah.
Kau guna kudrat tenaga aku guna firasat minda.
Jadi bijaknya dimana?

Gajah :
Kau sudah tidak waraskah semut?
Katamu undang padah. Bicaramu undang nista.
Ada yang terluka andai ada yang mendengar, terdengar.

Semut :
Siapa bisa sebar andai ini pertemuan empat mata?

Gajah :
Nampaknya kau cakap ikut sedap mulut.
Kata ada otak tapi tak mahu guna..tak fikir dahulu.
Bukan kau yang kata tadi telingaku lebar?
Tak terkesankah kau
dengan kawananku yang jaraknya hanya
sekangkang kera disana?
Baliklah semut, sia-sia sahaja kau ketemu aku jika ini mahumu.
Balik, duduk diam-diam jalan hidup macam biasa.

Semut :
Tak boleh! Tak mahu!
Kerana persoalanku belum terjawab.
Hajatku tak tercapai.
Dan aku belum jadi gajah.

Gajah :
Gila rupanya kau ya!
Peraturan tetap peraturan, kau takkan bisa jadi sesiapa.
Kecil jangan harap jadi besar.
Kau berangan.
Si kecil takkan bisa lawan si besar!

Semut :
Boleh, aku boleh lawan kau!

Gajah :
Mahu beradu? Ajak gocoh?
Kakiku sahaja bisa lunyaikan tubuhmu sekelip mata.
Hentak, penyek!
Belalaiku sembur air kau akan kebanjiran..hanyut..lemas!
Tempikanku sahaja kau boleh cacat tahu!
Hancur kolonimu jika gadingku cecah tanah!
Kudratku tak tertanding tenagamu.

Semut :
Kau guna kudrat aku guna minda.
Sudah aku beritahu awal tadi bukan?
Bijaknya siapa? Dimana?
Kau memang besar, Nampak tenagamu jelas!
Tapi kau tak guna otakmu, dangkal…dungu.

Gajah :
Nampaknya kau hilangkan sabarku!
Marahku memuncak!
Banyak sangatkah nyawamu yang kau pertaruhkan pada
Kolonimu?
Mahu tunjuk lagak di tempat orang?
Banyak mulut dan tak sedar asal-usul keturunanmu?

Semut :
Kau terus-terusan mengata?
Aku belum terusik lagi, punya sabar dan waras.
Aku cuit hati kau, geletek sikit..hahaha..
Benarlah resam si gajah naik minyak..
Rempuh segala depan mata, lupa pada kewarasan,
Hilang kewajaran.
Biar putih mata asal puas hati.

Gajah :
Ya!!! Ayuh Lawan!!
Buka langkahmu..jurusmu. Kita lihat siapa lagi handal!
Maka berang amatlah si Gajah yang tidak boleh terima pandangan, kedunguan yang tidak tahu berdiplomasi.

Si semut dengan pantas mengatur gerak, lari kilat menangga badan si Gajah. Bergulinglah si gajah menempik marah menghentak kakinya tanpa sedar sisemut sudah memasuki telinganya. Tanpa membuang masa lalu si semut mengetip denyut nadinya sang gajah. Menggelupurlah sang gajah yang akhirnya mati tanpa ada satu jurus pun yang mengena. Menghurunglah gerombolan lalat yang terbau bangkai dari kejauhan dengan gelojohnya.

Semut :
Benarlah kata pepatah.
Bangkai gajah takkan dapat dilitup nyiru.
Sedangkan kalau semut, daun semalu sudah lebih dari cukup.
p/s : Gunakan minda dengan bijak untuk mentafsir.
Hanya rekaan pada mendung yang tak bererti hujan

No comments:

Post a Comment