PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Monday, April 20, 2009

Sang Idola

KAGUM
oleh Yusrika Bahar


Tangan ini menulis untuk mengenali, tapi untuk apa?
Tangan ini menulis untuk mendekati, tapi untuk apa?
Tangan ini menulis untuk memahami, tapi untuk apa?

Adakah isi hati yang terluah akan membuahkan bicara?
Adakah kata yang terucap akan menzahirkan rasa?

Kau dan aku adalah dua citra berbeza tapi dilahirkan atas nama manusia yang berperasaan..

Aku mengagumimu..
Walau peranmu mungkin tidak setanding yang lain..

Aku menghayati rentakmu..
Walau lenggokmu tidak seralit yang lain..

Ku hulur salam atas dasar kagum
Ku hulur salam atas dasar bahasa
Ku hulur salam atas dasar rasa


KAGUM 2
oleh Yusrika Bahar

Semalam kuhulur tangan mengharap sapaan tapi pautan terjalin.
Kagumku bersambut tanpa kata namun syukur tetap terucap.
Adakalanya mengharap tidak semestinya menghendaki.

Kau merayu agar mindamu bersatu,
adakah keupayaan itu boleh menafsir segala kepayahan yang kau harap akan lenyap?

Kau merayu agar mindamu bersatu,
adakah keupayaan itu boleh menzahirkan perasaanmu satu persatu?

Kesakitanmu, kelukaanmu, keperitanmu, kesepianmu
bukan petanda kebahagiaan bukan milikmu,
kegembiraan tidak memihak padamu.

Berfikir belum tentu berguna
Bercakap belum tentu bertindak

Adakalanya manusia yang berada didalam kegelapan
hanya mahu melihat apa yang ingin dilihat...
dan manusia
adakalanya merasakan mereka cukup bagus untuk segalanya bila berada di zon selesa.

Namun semua itu belum lagi melunturkan asa kagumku padamu.


KAGUM 3
oleh Yusrika Bahar

Dekat Jarak bukan bermakna Dekat Hati
Kau bermain dengan kesakitan dan sakit itu menyeksakan
Kau bermain dengan kepedihan dan pedih itu memeritkan
Maka..
Mana mungkin kau lihat sinar andai mata melilau gelap.
Mana mungkin kau hayun langkah andai gerak dipaksi sama.
Mana mungkin kau ucap kata andai mulut tak bernafsu minda.
Mana mungkin kau jadi dirimu andai hilang ditengah gelombang ilusi.

Apakah makna sebuah penglihatan tanpa tafsiran?
Apakah makna segugus bicara tanpa hati?
Apakah makna jurus perlakuan tanpa niat?

Asa dan payahmu bersatu mencipta sejarah
Akal dan mindamu bersatu mencipta citra
Nyata terzahir dalam kudratmu

Kagum ku masih belum sirna...


bilik tidur, tmn gemereh
3.00 am

No comments:

Post a Comment