PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Friday, May 8, 2009

Tajamnya Pena Pedihnya Luka


TAJAM PEDANG, TAJAM LIDAH, TAJAM PENA?
oleh Yusrika Bahar

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Hari ini rutin harianku biasa-biasa sahaja. Tiada yang menarik dan tiada juga yang istimewa. Terik mentari di luar rumah bagai menandakan betapa jiwaku kering kontang mendambakan ilmu yang tiada noktah untuk satu titik penamat. Angin petang yang menampar mukaku juga bagai menjerit kecil yang aku ini sebenarnya manusia belum menemui jalannya. Atau lebih jelas lagi belum punya apa-apa untuk dibuktikan dan membuka mata luar untuk satu penerimaan. Kerana sedarku yang aku hanya manusia biasa yang punya jiwa dan tidak punya nama yang wajar diperdebatkan. Bukan seniman, bukan sasterawan dan juga pemeran yang punya rupa dan susuk menawan.

Aku rasa sangat benar rasionalku ini, warasku ini yang mikir bijak mindaku sendiri belum tentu sama dengan kotak akal manusia lain yang lebih wajar. Apabila manusia punya kewajaran untuk melihat dan mentafsir, maka apa yang terakam terluah dengan kata-kata yang bisa didengar dan dibaca. Namun begitu setiap yang namanya ada jiwa pasti penilaiannya berbeda berdasarkan takat akal dan tajam mindanya. Bila terlalu lantang, maka ada yang terusik dan ada yang terluka. Lalu mengundang rawan dan tak kurang juga tulah yang membengkak.

Pernah seorang seniman bicara dalam lagunya "aku menulis bukan kerna nama". Benar isi hatinya dan aku kagum dengan penghayatannya. Ada yang setuju dan ada juga yang tidak. Namun kini perjuangannya terus hidup, mekar serta malar segar.

Aku? ditemani komputer usang ini terus-terusan menaip mengikut gerak hati dan waras mindaku sendiri. Seorang graduan teater yang juga sahabat baikku Farah Idayu Md Fadzil, bukan seorang seniman ternama juga bukan yang ghairah mahu menempa nama di persada hiburan, pernah memberikan pandangannya padaku..untukku. "Kau punya bakat tapi kau tak asah, tapi ada orang hempas pulas mahu bakat dan rela diasah. Aku harap kau guna dan teruskan bakat itu...buat sehingga kau rasa puas. Aku hanya punya kata semangat dan aku dibelakangmu. Peduli sama yang namanya ngata, keji, umpat dan nista. Biar mereka ketawa, biar mereka menari, pasti mereka akan keletihan kelak". Sekali lagi pada masa itu aku kesima dengan kata-katanya. Aku kagum dengan liriknya. Benar dan memang benar.

Makanya, aku akan terus menulis dan beromansa dengan seni yang aku cintai. Walau aku tak suka dengan kata orang yang merendahkan aku, walau aku tak suka dengan kata orang yang menebak aku beridola, walau aku tak suka dengan kata orang yang menulah aku mengayat, walau aku tak suka dengan kata orang yang aku berangan....semua itu tidak akan jadi kudis untuk aku kedepan. Malah terima-kasih kuucapkan pada mereka. Tak perlu untuk aku melenting dan meleding.


Maaf, Terima-kasih.
Jumpa lagi.

Taman Gemereh, Segamat.

p/s menulis kerana terluka dengan kata-tulis orang yang hanya pandai luah tanpa alas.

SENI, AKU & MAHASISWA



SENI, MAHASISWA &
AKU
oleh Yusrika Bahar

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Mungkin ada yang terkejut dan mikir campur heran. Apa aku tidak tidur kerana aku bilang yang aku sakit. Tapi realitinya aku tidak bisa tidur walau ada kantuk yang menabung di mataku. Mana ubat-ubatan yang berperang dalam diriku. Kalau kamu heran aku juga heran. Mataku terus tertancap dihadapan komputer usang ini. Jari jemariku terus ralit menari menukil.


Maka aku lahirkan rasa kagumku yang dulu bergelar anak kampus. Bergelumang dengan buku dan bahan ilmuan. Beromansa dengan namanya seni sambil menggendong dan menjunjung pusaka bangsa dan budaya. Sungguh aku tidak malu untuk mamainkan peran diatas pentas dan menjiwainya. Malah aku bangga menghasilkannya walau sebelum itu aku dihenyak, dibelasah, diherdik kerana ada yang mahukan kesempurnaan. Kalau sudah namanya cinta maka ku harung segala dugaan.

Sepanjang itu juga aku bangga dan rindu akan nostalgianya. Tidak tidur kerana ada peperiksaan. Atau berpenat lelah menyiapkan set atau berlatih bersama teman yang sejiwa denganku. Ah..memori indah semua itu.

Kini aku bergelar Graduan pula, mencipta strategi untuk mencari sesuap nasi menyara rezeki kehidupan. Melatari hidupku yang belum ketentuan jalannya.

Disini, aku mahu kongsi beberapa gambar dan kenangan walau banyaknya tiada mukaku kerana sudah ku bilang dulu...wajah ini tidak berapa tinggi 'marketnya'.. Lihatlah jika kalian sudi.


Kelas BBA (Hons) Marketing 2006-2008
bangga dan rindu dengan kalian...masing-masing punya idea yang gila-gila..



Bersama-sama menganjurkan Seminar Marketing
"Melayu dan Keusahawanan"



Rakan sekolej (1 level) berhempas pulas kononnya pemain bola yang hebat. Aku yang kaki bangku juga turut beli kasut bola dan main sama.



Pementasan karyaku yang pertama Teater "Rasuk"
Mengisahkan mereka yang miskin jiwa dan rohani. Tertekan dan ditekan maka segalanya dilepaskan dengan ganas.

Akulah yang menulis, akulah yang mengarah dan aku juga lah yang menata-rias mereka
Macam hantu tak? Hentam sajalah...


Rakan taulan yang kononya berjiwa seni di alam perniagaan
Performing Arts Club UiTM Johor




Pementasan karya Zakaria Ariffin Teater "Penunggu Pusaka"
Aku yang mengarahkannya..sungguh kalut dalam masa 2 bulan!



Piala Pusingan itu sebagai tanda "Penunggu Pusaka" menang di Festival Teater Zon Selatan.
Aku tidak mampu senyum kerana penat (sebab jadi Stage Manager pada malam penutup)
Pelakon dan kru yang rapat denganku..adik-adikku jua..



Dari UiTM Shah Alam ke ASWARA
Usai pementasan "Penunggu Pusaka" kami lari keluar nonton Teater "Si Yatim Chao"
Nampak sangat mukaku kusut kerana ada kerja yang belum beres, set tak kemas lagi.
Sebelahku dengan kostum biru ialah Farah (sahabt baik) dan ZA bersila didepan.




Di Stor DBP bersama rakan-rakan yang gila nonton teater.
Teater 7 Duri 7 Cerita arahan Fauziah Nawi
Usai pementasan Ibu belanja kami KFC dan bagi macam-macam nasihat.



Banyak lagi sebenarnya aku ingin kongsi dengan kalian, tetapi komputer usangku ini minta rehat. Talian internet pun agak lembab. Kenangan diatas sangat kurindui dan ku mahu ia berulang sekali lagi cuma dengan nuansa yang berbeza.

Jumpa lagi ya
Gemereh, Segamat


Apa Jadi Pada Dewa Malam?

DUHAI DEWI MIMPI
oleh Yusrika Bahar

Buatmu si angin lalu..
Pagi ini kau menerjah masuk tingkap kamarku
Tanpa salam kau meniup mukaku
Ah..segarnya
Kau hilangkan kantukku
Kau cerlangkan mataku
Kau ligatkan mindaku
Buatku sayu mahu mencelakakanmu
Mikir ke mana perginya Dewi Mimpi
Mikir ke mana halanya Dewi Mimpi
Tidakkah dia singgah di lenaku
Mengapa tidak ada anganan impian indah menampar ilusiku
Agar pejam mataku...bernafsu untuk menutup mata dan berfantasi
Siapa yang kau ladeni malam ini wahai Dewi
Beruntungnya dia..beruntungnya mereka
Aku cemburu kau uliti dia..mereka
Tidak wajarkah aku padamu
Tidak segakkah aku padamu
Aku berkorban mendapatkanmu
Aku berperang menginginkanmu
Aku menagih belas mengharapkanmu
Aku hilang suara kerana merayumu
Dewa Malam mengarahmu kemana
Kau dengarkah marahku?
Berahiku hilang kerana kamu tak mahu kunjung
Otakku merewang kerana jelek dengan janjiku
Angin lalu..
Untuk kesekian kalinya aku berdoa
Hadirkan Dewi Mimpi di kamarku
Jangan hampakan...
Tanganku yang menadah
Mulutku yang membisik
Tubuhku yang mengguling
Biarku terbuai dengan mainan Dewa Malam
Biarku terkulai dengan ciuman Dewi Mimpi
Buatmu si angin lalu...

3.15 am
Gemereh, Segamat

Thursday, May 7, 2009

Kehidupan Anak Kampung





SELAMAT DATANG
Daerah Penghujung Benua Asia
oleh Yusrika Bahar

Gambar di bawah adalah gambar rumah aku. Sesuai tak kalau nak buat shooting?
Shooting drama ke filem? Hehehehehe....





Ini adalah gambar keluargaku masa Hari Raya Aidilfitri yang lepas.

(dari kiri adik aku Sofi Mariam, ayah En Bahar, Aku, ibu Pn Talha, adik bongsu Sofi Murni dan yang duduk adalah atuk aku :ayah mak aku Tn Hj Supok. Atuk aku tu pejuang kemerdekaan tau dan terlibat bersama Kiai Salleh sewaktu menentang komunis..ingat kisah "parang terbang" di Batu Pahat?)



Gambar dibawah pula adalah sepupu aku semua. Semua sekali dalam 25 orang dan ada yang tidak ada dalam gambar. Seronok kalau semua balik masa raya. 1-10 Jun ni meriah lagi sekali sebab sepupu aku yang tepi sekali tu (tudung putih baju hitam) akan melangsungkan perkahwinan. Gegak gempita laa dengan pelbagai ragam dan kepala. Kecoh!!





Gambar dibawah pula adalah salah satu panorama yang sangat best kat kampung aku. Kalau cari ilham kat sini..peh..lupa segala kekusutan tau!






Gambar dekat bawah juga diambil masa Raya Aidilfitri lepas juga. Nak tahu..80% penduduk kat kampung aku ni Kaum Etnik Bugis, termasuklah aku dan keluarga aku. Makanan yang berbalut daun pisang muda tu dikenali sebagai "Burasak". Sedap tau kalau dicecah dengan serunding, rendang, kari ayam atau dagingdan juga ayam masak kicap...fuh menjilat jari. Lagi 1 yang best Makcik aku yang tengah mencedok lauk tu, lepas je makan tengahari terus bersalin dan lahirlah anaknya yang ke-4 pada 1 Syawal.



Inilah sedikit sebanyak panorama hidupku di kampung. Nak datang menjenguk silakanlah dan nanti aku boleh bawa korang ke tempat-tempat yang best nak cari ilham..





Jumpa lagi
10.00 am
Gemereh, segamat.

Kisah Ambo

Sebenarnya tak tahu nak tulis apa dan kenapa?
oleh Yusrika Bahar

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Aku sebenarnya tengah melawan demam selsema dan batuk yang tiba-tiba menjengah diriku. Mungkin tuhan nak bagi peringatan kot, cuci dosa-dosa aku yang berlambak ni. Selain tu nak ingatkan yang tuhan memang ingat kat aku sebab tu dia bagi ujian dan sakit. Tapi memang tuhan je lah tahu betapa tubuh ini memang tak daya nak melawan. Aku dahlah kurus kering macam ni, bila sakit tu susutlah sangat badan. Kalau batuk tengah malam ni melengking macam orang tua. Ubat batuk dah nak 2 botol aku telan sampai macam rasa 'tintong' stone semacam je.... Aku sambil tanam anggur kat rumah ni bukan buat apa sangat pun.
Bila nak dapat kerja..taknak tanam anggur..
Bangun tidur..aku mandi sarapan kemudian aku sambung penulisan aku. Waktu terluang ni aku dah siapkan 3 skrip teater, dan 1 skrip drama. Ntah nak bagi siapa aku tak tahu lah. Saja je tulis. Ada masa aku letaklah sinopisis dia nanti. Tajuk Teater tu Pasung, Rasuk, Babak Akhir dan Sang Gajah dan Sang Semut. Skrip Drama pulak SAHABAT 3+3-1+1=5. Malam 8.30 sampai 10.00 malam aku ajar tuisyen kat rumah. 2 orang je. Dapatlah RM300 sebulan. Hujung bulan ni lepas aku KONVO (bestnya!!! tp takder keje lagi..) aku balik kampung duduk dengan family je lah.
Hmm ingat nak tulis pendek je. Rasa macam panjang lak. Mesti sebab pengaruh ubat ni. Ok lah aku pun dah telan dua biji penadol, 1 biji antibiotik, 1 biji pil selesema, dan 3 sudu besar ubat batuk. Ngantuk pun ye, rasa macam stone pun ye.
Selamat Malam semua semoga aku dapat berjumpa dengan Dewi Mimpi nanti.
Jumpa lagi.
1.00 am,
Gemereh, Segamat.

Monday, May 4, 2009

KAIN SENDIRI atau KAIN ORANG?

JAGA TEPI KAIN ORANG
oleh Yusrika Bahar

Salam Perpaduan kepada semua yang sudi membaca blog ini. Tak tahulah kalau meransang minda ke apa ke. Yang paling penting sekali takkan ada isu yang boleh membabitkan ISA atau akta hasutan dan mengancam keselamatan negara. Cuma apa yang nak aku perkatakan adalah hasil dari kepala otak aku ni yang adakalanya BERANGAN nak jadi penulis atau sekadar membaca majalah atau suratkhabar atau apa sahaja bahan bacaan lalu ditafsir sendiri.


Baiklah mesti ada yang terfikir tajuk kat atas ni. Jaga tepi kain orang? Apa aku ni takde isu lain ke nak cakap atau tulis? Bagi aku apa yang aku terfikir dan tulis ni memang ada kena mengena dengan kita kat sini, kita yang hidup ni. Ada juga kot berkait dengan yang telah meninggal dunia. Nanti kita sama-sama fikir ye.


Jaga tepi kain orang merujuk kepada pemahaman aku ialah perihal mengambil tahu akan hal ehwal orang/individu/kumpulan di ruang persekitarannya dengan niat baik atau tidak, lalu ada penyampaian yang akan berbaur fitnah atau kebaikan bersama. Betul ke? Tafsiran ini adalah pemahaman aku. Kalau ada makna lain komen lah ye. Ok kenapa aku cakap benda ni sebab aku pun tengah jaga tepi kain orang. Cuma caranya lain sikit kot. Mari kita kupas sedikit demi sedikit.


Bagaimana kalau aku kata yang tidak ada seorang pun manusia didunia ini yang tidak mempunyai sikap ini. Maksudnya semua orang sama je. Suka jaga tepi kain orang. Satu Dunia! Kita ambil konsep mudah dahulu. Mak Joyah dan Senah rancak berbual mengenai anak Jenab yang selalu pulang lewat malam dan dihantar oleh pakwe nya. Macam-macam diorang ngata. Tak tahu malu lah, conteng arang kat muka mak bapak lah dan banyak lagi lah samada sedap didengar atau tidak. Lepas itu berlaku lah sebaran am mulut ke mulut. Nyampai menyampai dan akhirnya tersebar ke pelusuk kampung. Kesannya? Rasa semua orang tahu lah. Jadi itu yang kaki ngata, ngumpat dan jadi benda tak elok kemudian hari. Bagaimana dikatakan semua orang atau 1 dunia suka jaga tepi kain orang ni?


Konsep seterusnya, korang pergi makan dekat warung mamak ni. Terfikir tak warung mamak itu adalah hasil dari jaga tepi kain orang? Tak percaya? Pendapat aku macam ni.


Kenapa Mamak tu bukak warung? Sebab ada orang nak makan.
Kenapa orang nak makan? Sebab lapar
Kenapa lapar? sebab tak makan lah!
Kenapa kat kedai? Malas nak makan kat rumah, ada duit, nak jimat masa, malas masak.

Dah faham? Belum.

Mamak tu bukak kedai mesti dia akan ambil tahu dulu tempat dia nak bukak warung tu. Ada orang ke tak, stratergik ke tak? Ada permintaan ke tak? Pendapatan orang kat situ macamana? Ada saingan ke tak? Jadi secara tidak langsung konsep jaga tepi kain orang kat situ diguna pakai dan diterjemahkan dengan positif. Mesti mamak tu buat research kan. Tanya orang sana sini dan macam-macamlah. Bukak warung dengan niat nak keuntungan dan ianya juga bisnes itu yang pertama. Kedua, memenuhi kehendak orang ramai yang suka mencari alternatif selain memasak dirumah atau menumpang makan dekat rumah kawan-kawan selain boleh berjumpa dan bersosial.

Dah faham? Masih samar-samar..

Jaga tepi kain orang bagi aku adalah satu perkataan yang kurang enak untuk didengar maka berlakulah asimilasi bahasa dan manusia yang bijak menukar perkataan jaga tepi kain orang dengan bahasa yang lebih mudah dan sedap (pada hemat aku). Sebagai contoh wujudlah perkataan prihatin, ambil berat, siasat, selidik dan macam-macam lah agar kita tak guna perkataan jaga tepi kain orang. Kenapa ada pemimpin? Sebab dia ambil tahu hal ehwal rakyat. Kenapa ada kedai runcit? Sebab dia prihatin kawasan itu jauh nak ke pusat membeli -belah. Kenapa ada bank? Sebab ada orang nak simpan duit dengan selamat dan ada orang nak berhutang. Kenapa ada sekolah? Sebab pelajaran penting. Kenapa ada perang? Sebab tak suka ditindas dan hak dicemar. Kenapa ada polis? Sebab tak nak jenayah berlaku dan mahu selamat.


Perkara diatas berlaku adalah hasil tindak balas terhadap kita sebagai manusia yang sememangnya suka menjaga tepi kain orang. Banyak contoh lah kalau nak tulis lagi supaya korang yang membaca ni faham dengan maksud aku dan konsep aku. Bagi yang mudah faham baguslah, bagi yang kureng sikit, asah lah minda anda agar dapat tangkap apa yang aku nukilkan ni. Contoh akhir aku bagi..korang pernah jatuh cinta? Atau minat kat seseorang? Peminat fanatik? Apa korang buat? Mesti ada yang nak tahu semua perkara tentang orang tu agar senang nak ngorat. Tanya alamat dekat kawan baik dia ke? Mana yang guna teknologi, nak tahu nombor fon, bukak internet cari gambar dialah, myspace ke, friendster ke, facebook ke, blog ke. Macam-macam cara asalkan kita puas hati. Itu pun konsep jaga tepi kain orang..

Tak faham lagi..aah korang pikirlah sendiri.

Bagi aku konsep yang aku tiba-tiba terfikir ni sebenarnya bukan aku nak mengata ke atau tak suka tapi nak berkongsi dengan korang je. Nak berkongsi betapa hebatnya impak jaga tepi kain orang ni dan kalau ia diteliti dengan betul, orang yang pandai mengambil kesempatan pasti akan menghasilkan sesuatu samada positif atau negatif. Baik atau buruk. Berkesan atau tidak berkesan. Memberi faedah atau sia-sia. Itu je. Prihatin, ambil berat, selidik, siasat adalah perkataan yang seumpamanya. Corak perlakuan dan gerak kerjanya hampir sama je bagi aku..

Akhir sekali, marilah renung-renungkan bersama dan kita cari hikmah bersama. Betapa kita didunia ni sememangnya mempunyai satu sikap yang sama iaitu Suka Jaga Tepi Kain Orang.


Maaf, Terima-kasih.

Jumpa lagi.
3.51 am
Gemereh, Segamat.

Saturday, May 2, 2009

RM 1 Juta, 1 Bumi, 1 Dunia, 1 Harapan?

TOMOK & INFLUENZA A
oleh Yusrika Bahar


Kelmarin seorang lagi bintang dilahirkan dalam sebuah lagi rancangan realiti nyanyian di 8TV Malaysia. Siapa lagi kalau bukan Tomok atau selepas ini mahu dikenali sebagai Shah Inderawan. Betapa fanatik dan terujanya keluarga beliau meneriak, memekik dan memberikan sokongan agar ahli keluarganya itu menang dan membawa pulang RM1 juta. Walaupun sudah terkeluar pada pengumuman penyingkiran, dengan cadangan tinggi bahawa rakyat Malaysia mahu tiga peserta akhir ini bertanding, maka Tomok yang sudah mahu mengorak langkah meninggalkan pentas kembali semula memberikan impak. Impian sebagai bintang dan dinobatkan juara nyata berpihak pada Tomok. Kedengaranlah pelbagai yang tersurat dan tersirat, komen-komen dan kritikan dari pihak peminat, media ataupun rakan taulan mengenainya. Sungguh hebat, persembahan memukau, outstanding, sayang kenapa tidak Esther atau Aweera dan macam-macam lagilah dengan alasan rasional masing-masing mengenai pertandingan realiti ini.


Aku?

Hanya menonton di kaca TV je. Tak kuasa nak pergi Shah Alam, duduk pun nanti jauh-jauh je sebab aku ni bukan siapa-siapa dalam industri (sedangkan bukan apa, takde duit dengan transpot je). Aku pun tukar channel lainlah sambil meletakkan persepsi kepada orang lain untuk menilai apa yang mereka suka tengok. Akhirnya Nightline muncul di TV3 dengan isu utama yang sedang melanda dunia sekarang dan semakin menghampiri negara kita pula (mintak-minta janganlah), VIRUS SELSEMA BABI. Lebih hebat realitinya! Semakin ramai yang dijangkiti dan ianya juga telah membunuh banyak nyawa terutamanya di Mexico yang dikatakan punca ia merebak. Maka kalutlah seantero dunia lebih-lebih lagi pemimpin negara kerana takut menerima kedatangan pelancong yang mungkin turut membawa virus itu sekali tanpa disedari. akan tetapi tetap risau kerana ia juga sumber pendapaan negara. Lebih bernilai dengan wang kemenangan RM1 Juta. Dalam kita dilanda musibah kegawatan ekonomi, muncul pulak lagi 1 bala yang semakin membimbangkan. Disana-sini orang memperkatakannya. Ada juga yang pantang kalau dengar ada nama Babi atau selsema, terus teringat Virus ini yang telah mempunyai nama khasnya yang dikeluarkan oleh WHO iaitu Influenza A. Kenapa namanya begitu? Jangan tanya aku sebab aku bukan WHO ataupun saintis. Aku cuma antara orang-orang yang takut Virus ini datang ke Malaysia. Biarlah negara kita bebas sebarang wabak dan pelancong masih boleh datang untuk menjana ekonomi negara kita dengan bebas dan sihat.

Kenapa aku cerita semua ni? Sebab aku fikir semula antara keterujaan peminat OIAM 3 dan kebimbangan rakyat Malaysia mana yang lebih penting? Harus diutamakan? Tomok menang 1 Juta. Sebagai orang yang berhabis wang ringgit mengundi, ke stadium terjerit sampai ada yang hilang suara, menangis bila ada yang terkeluar, apa yang anda dapat? Anda sokong Tomok, undi Tomok dan siap juga bergaduh dengan kawan kalau Tomok kena kutuk, akhirnya apa yang anda dapat? Dapat 1 Juta juga? Malah kalau-kalau Tomok tu tetap bertahan dan keluarkan album, kena keluar duit juga sekurang-kurang RM29.90 untuk beli CD pulak.


Hmmm klishe kan ayat aku ni...

Aku bukan anti Tomok atau tak suka dengan perkembangan industri hiburan tanah air kita ni tapi ada benda lain lagi isu yang harus kita utamakan dan risaukan. Isu yang sepatutnya kita rasa lebih berbaloi untuk menyalurkan wang ringgit, keringat, jerit pekik dan lain-lain. Aku tak nak cakap atau membebel panjang sebab aku pasti kita boleh fikir sendiri sebab kita berpijak di tanah kita sendiri. Bumi kita makin tua dan tak terfikirkah dengan isu yang melanda ini menandakan dia sedang menangis. Sakit atau sudah uzur benar hingga tak terdaya menanggung beban?

Tepuk Dada Tanya Selera..

10.56 pagi,
Gemereh, Segamat

Friday, May 1, 2009

Aku dan Nasib dengan JANJI

NASIB BADAN

oleh Yusrika Bahar



Jam tangan pukul 6.05 petang

Aduii!! Mesti housemate aku dah tunggu

Aku lambat 5 minit sebab janji tadi suruh dia jemput

Aku pun keluar dari cybercafe secepat mungkin

Gegas

Sambil mata kerling takut ada yang tinggal

Naya je kalau nak patah balik

Pergi kaunter bayar tengok jam dinding 6.12 petang

Confim sah-sah kena maki ni..

Turun tangga ke tempat biasa

Peh!! Berbakul kena sembur!!!

Telinga panas je..darah naik luap-luap macam cerek air..


Rupanya aku yang kalut BERANGAN!!


Sebab JANJI mesti ditepati.

Berdiri tempat biasa...

Hmm tak sampai lagi

Atau aku dah kena tinggal

Tapi dia setuju nak jemput

Hmm traffic jam kot.. 1 Mei la katakan.

Takkan tak pandai cilok..EX5 tu.

Aku cuba telefon..operator jawab

Pesanan ringkas..tak dapat dihantar!

Pulak!!

Sabarlah hati

Takpe aku tunggu

Mundar mandir..cubalah sekali lagi.

Hantar pesanan ringkas sekali lagi

Telefon sekali lagi

Sama juga macam tadi

Bosannya aku sebab tunggu orang

Bosannya aku sebab janji

Aku tengok keliling

Depan ada kedai makan

Depan ada padang bola

Ramai orang lalu-lalang

Semua punya agenda

Masing-masing ada acara

Atur hidup jalan rencana

Sabarlah hati

Tunggu sajalah

Tunggu

Tunggu

Berdiri

Betah

Aku cangkung

otot penat

Tengok jam tangan woho!! 6.45 petang

Setengah jam menanti sia-sia

Tenang..tarik nafas

Hisap rokok

Tiba-tiba

Ada debar kat hati aku

Ada takut kat hati aku

Apalah...tapi ada betulnya detik aku

Tempat sendiri belum jamin selamat

Aku penat jadi orang yang menunggu

Aku penat jadi orang yang mengharap

Mungkin sebab mengharap

Mungkin sebab hari makin gelap

Bas takde, teksi mahal pulak

Macamana mahu pulang

Ah..aku cuba pula duduk kat kaki lima ni

Ah..biarlah orang pandang

Ah..pedulilah orang nak ngata

Aku tak kacau korang

Aku masih tunggu sebab pegang Janji

Apalah halnya tak sampai-sampai

Manalah dia pergi ni

Penatnya tunggu orang

Malasnya tunggu orang

Ah..hela nafas

Tunggu juga walau makin gelap

Sabarlah hati

Tenanglah jiwa

Inilah nasib belum punya apa

7.15 petang..eh maghrib..apa apa lah.

Akhirnya dia sampai

Nak maki ke tak?

Nak maki ke tak?

Dia sengih...senyum sumbing

Sori tertido lah, bateri mati

Sabarlah hati

Tenanglah jiwa

Jom makan kat warung depan, aku belanja

Itu jawapan aku sambil senyum..


Kaki Lima UpWell Mall, Segamat

7.20 petang


p/s Sabar..pikir positif!

Nak kata puisi bukan, cerita pendek pun bukan..

saja nak lepas geram..