PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Saturday, May 30, 2009

MONOLOG "D"

MONOLOG "D"
oleh Yusrika Bahar

Kenapa pandang aku begitu?
Besar sangatkah salah aku?
Macam anjing yang kau jijik untuk toleh dua kali.
Ya, aku ratah jiwa
Tapi kalian dustakan hati aku
Termasuk kau setan!
Tak pernah ada orang kata...
Aku cantik
Aku comel
Aku lucu
Aku disayangi
Semua itu bagai menelan bara api
Tikam diri sendiri
Haram...
Terpulang!
Sebab kalian ada yang pandang aku macam babi.
Jadi jangan salahkan aku
Kalian buta selamanya lihat dunia
Sial!!!

p/s :
Teater Monolog D akan dipentaskan.
1 Ogos 2009, 8.00 malam, Taman Budaya KL
sempena Festival Teater Kuala Lumpur
Karya Asal Yusrika Bahar
Olahan & Skrip Shahriza Mahmud
Lakonan Shahriza Mahmud

Teater D sepenuhnya akan dipentaskan pada Penghujung 2009 atau awal 2010
Lokasi akan diberitahu kelak.

Doakan agar usaha ini termakbul.

Friday, May 29, 2009

PERKAUMAN 1 PREJUDIS

ROJAK
oleh Yusrika Bahar

Usai graduasi, aku pulang semula ke dunia nyata. Dunia kejam yang berprejudis. Kita bangga dengan Melayu kita, aku bangga. Kaum Cina bangga dengan kaumnya, India juga bangga dengan Indianya, dan tidak lupa kaum lain yang membentuk Malaysia juga bangga. Semua itu tidak salah. Sungguh!

Namun ada tapinya yang entah siapa punya angkara cipta madah jelek. Lalu ada persoalan cetek terbina. Benarkah kerana adat, budaya, agama, kepercayaan dan suku kaum, kita menjadi terlalu angkuh serta taksub dengan kepercayaan itu? Sukar untuk bergaul dan bermasyarakat.

Aku rasa tiada satu pun penyataan yang mengatakan Melayu hanya dengan Melayu kerana keMelayuannya.

Aku rasa tiada satu pun penyataan yang mengatakan Cina hanya dengan Cina kerana keCinaannya.

Aku rasa tiada satu pun penyataan yang mengatakan India hanya dengan India kerana keIndiaannya.

13hb Mei mengajar segala-galanya tapi kenapa belum ada yang tersedar dengan mimpi ngeri yang nyata itu? Masih mahu lena dan terbuai dengan propaganda goblok dan bobrok, tanpa sedar kita menjadi bahan mainan sang Algojo yang menanti masa melihat kita rebah akibat kebodohan sendiri. Mereka ketawa dan menginjak dengan wenangnya dan kita? Apa jadi? Menjadi balaci yang menonton pentas sandiwara sendiri di laman sendiri.

Pelik bukan?

Apa salahnya kita bergaul mesra?
Tidak elokkah perpaduan?
Tidak rasikah kalau tidak wujud perkataan perkauman dan perbezaan?

Tidak salah untuk mengekalkan apa yang kita ada dengan sewajarnya tapi bukan dengan sikap pesimis dan perkauman. Boleh saja kita jaga elok budaya, adat, kepercayaan dan agama kita. Pelihara sebaiknya, serta prihatin dengan berkesan lagi berkepentingan. Pentingnya itu semua untuk masa hadapan buat generasi mendatang.

Namun apa yang menggusarkan bila ada prasangka yang mewujudkan hasad dengki, membenci dan menidakkan toleransi. Bagi aku itu semua pemikiran bodoh manusia yang tidak tahu nilai perpaduan dan asimilasi budaya.

Sedih?
Ya agak sedih.
Malu?
Ada benarnya juga.

Namun semuanya boleh jadi aman jika kita buang pemikiran dan ideologi bodoh dan karut itu. Wujudkan ketamadunan yang tiada perasaan perkauman. Maka semuanya akan bangga dengan jatidiri yang punya keharmonian bersama.

Bagaikan rojak yang punya pelbagai isi, rencah dan rasa. Namun semuanya bisa disuap, dikunyah dan ditelan dengan nikmat yang tidak terkata.

1 Bangsa 1 Malaysia.

p/s : Jangan jadi seperti tanah kuburan Gettysburg yang bercat MERAH padangnya.

Thursday, May 28, 2009

HARI GRADUASI

ISTIADAT KONVOKESYEN KE-70
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA
UiTM Malaysia

oleh Yusrika Bahar


Dewan Seri Budiman
8.00 am - 12.00pm
Sidang Kedua

Yusrika Bin Bahar
BBA (Hons) Marketing
Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian
Pengurusan & Pentadbiran Pemasaran
2nd Class Upper
Top 5 UiTM Johor 2008


Aku senang dengan suasananya
Aku senang dengan aturannya
Aku senang dengan gemuruhnya
Aku senang dengan istiadatnya
Aku senang dengan alunan gamelannya
Aku senang dengan perarakannya
Aku senang dengan jubahnya
Aku senang dengan laungan kata-kata keramatnya
Aku pasti rindu dengan ungkapan keramat para ilmuan
Aku pasti rindu dengan riuh gembira graduan
Aku pasti rindu dengan wajah bangga keluarga
Aku pasti rindu dengan sesak yang bagi aku mendamaikan
Bilakah akan ku ulanginya semula....
Aku rindu...

p/s : Selamat Bergraduasi pada teman-teman.
Kalian yang ingin merasainya juga, belajarlah bersungguh-sungguh.

Tuesday, May 26, 2009

DEDIKASI PADA BINTANG JATUH

HARI BINTANG JATUH
oleh Yusrika Bahar

Kehadapan bintang jatuh
Hidupkan segala impianku
Kerana ku tahu takdirNYA tentu
Cuma aku
Nyata aku
Belum tahu

Kehadapan bintang jatuh
Bawa segala impianku
Pasti takdir untukku tentu
Cuma aku
Nyata aku
Belum tahu

p/s Tarikh masa tu lapang tapi ada halangan kewangan...sedih!

TERUSKAN LANGKAH

JANGAN BERHENTI
oleh Yusrika Bahar

Aku hormati mereka yang berpendirian
Tahu apa yang diperjuangkan
Tidak mudah patah semangat
Walau ada yang cuba melentur asa
Tetap melangkah segak tapi tidak alpa
Ketahuan dengan ketentuan
Berpaksi jatidiri
Biarkan sahaja sesiapa yang mencongak kata laknat
Namun harus diingat pada sang pencipta
Kerana yang tercorak pasti bukan untuk tatapan murka
Buktikan sahaja pada yang celupar
Agar diam tidak lagi mendabik dada
Menunduk kerana menjadi lalang
Runduknya padi berisi
Bersulam kejap harga diri
Penanda ada sendawa murni yang akan keluar
Hati yang tiada lagi luka
Teruskan langkah jangan berhenti
Nikmatnya hanya kau yang rasai nanti


6.15pm
Wisma MAINS, Sek 2,
Shah Alam

Sunday, May 24, 2009

SUKA MAJU

KAU SUKA ATAU TIDAK?
oleh Yusrika Bahar

Kau suka pada kemajuan?
Suka!
Kenapa kau suka?
Sebab berbeza dengan waktu dulu
Apa yang beza?
Macam-macam ada
Ooo, jadi sekarang kita maju?
Ya, memang maju
Kau suka?
Suka!
Kau suka pada dadah?
Tidak, itu musuh negara.
Kau suka pesta cucuk langit?
Tidak, mereka minum lupa dunia.
Kau suka perempuan telanjang?
Tidak, macam kedai kain dah bankrap.
Kau suka mat rempit?
Tidak, bikin bising tak sayang nyawa.
Kau suka Parti D dan Parti G?
Tidak, pemimpin yang tidak terpimpin pimpin negara.
Kau suka peminta sedekah?
Tidak, sebab ada yang miskin buat-buat.
Kau suka warga asing?
Tidak, duit kita keluar begitu sahaja.
Kau suka jalanraya?
Tidak, beli kereta minyak naik.
Kau suka sekolah?
Tidak, belajar ilmu tapi masih kurang ajar
Bukan yang tadi itu kemajuan?
Kenapa tidak suka pula?
Itu ulang-tayang soalan dulu-kala
Kau silap!
Apa yang silap?
Itu yang terkini.
Benarkah?
Ya, memang benar.
Itulah hasil kemajuan.
Kau masih suka?
Suka!
Kenapa suka?
Mesti ada yang masih pandai guna otak
Tahu urus tadbir diri
Kenal nilai-nilai murni
Sayang nyawa cintakan negara
Tak kurang ajar tapi terpelajar
Boleh usaha kerja cari wang
Maju untuk terus kedepan
Bukan terus jadi otak udang
Kau tanya, kau suka atau tidak?
Suka juga
Kenapa suka?
Itu putaran roda kehidupan
Sebab kita orang bukan binatang!


10.15 am
UiTM Shah Alam, Selangor

p/s : sedang dengar raptai konvokesyen, aku suka!

Wednesday, May 20, 2009

CENDOL

TANGGUNGJAWAB SOSIAL
oleh Yusrika Bahar

Sedang aku menulis mengemaskini skrip Teater Debab, tiba-tiba aku teringat dengan koleksi iklan yang memaparkan isu Malaysia. Tidak kiralah sempena perayaan apa pun atau sambutan apa pun, iklan ini kulihat cukup memberikan gambaran mengenai mereka yang menghasilkan iklan ini, punya tanggungjawab sosial. Memakmurkan, dan membuka minda kita rakyat Malaysia untuk menghargai apa yang kita miliki sekarang. Aku berhenti menulis skripku dan mengelamun. Lalu kutonton beberapa filem pendek / indie yang juga ada dalam komputerku. Usai menonton aku berimaginasi dan berfikir. Sungguh ajaib otak mereka kerana boleh keluar dari kebiasaan dan menghasilkan filem / iklan sedemikian. Aku? Hanya tahu menulis dan cuba berkarya.

Tiba-tiba aku teringat dengan memori lama bersama kawan sekampung minum cendol dipekan. Waktu itu semangkuk hanya 50sen, sehingga kami bertaruh untuk minum paling banyak cendol. Mangkuk yang paling sedikit akan membayar semua sekali. Ah, kenangan yang indah dan lucu bila dikenang. Sejurus itu datang idea untuk menulis berkenaan dengan cendol. Aku menconteng kertas dan akhirnya terhasillah karya berikut. Tidak tahulah aku samada punya nilai atau tidak. Kalian yang membuka dan membaca blog aku ini, silakan untuk mentafsirkannya sendiri.

CENDOL
oleh Yusrika Bahar

SINOPISIS

Menceritakan mengenai kehidupan sebuah keluarga India pada era 70-an dari kacamata seorang anak bongsu keluarga tersebut. Dia bercerita mengenai susah payah dan keharmonian keluarganya. Hidup sederhana dan sentiasa berjimat. Ayah seorang penoreh getah pada waktu pagi dan menjual cendol selepas waktu tengahari. Walaupun ada cabaran dan halangan berniaga tetap juga diteruskan untuk keluarga walau berikat perut dan berjimat. Cendol warisan turun temurun akhirnya terpaksa dilupakan kerana tidak mahu ditekan lagi dan beralih kerjaya walau sekadar buruh kasar. Akhirnya kerana percaya pada perpaduan dan kepentingan ilmu si bongsu membesar sejajar dengan kemajuan negara. Dia berjaya menghidupkan kembali warisan yang sebelum ini berkubur sepi.

pergerakan babak hanya menggunakan suara narrator si bongsu.

I
Ini ayah saya
Ibu saya
Abang dan saya
Ayah bawa kami kesini untuk bergambar bila ada sambutan yang besar
Baju baru yang kami pakai itu hanya untuk bergambar
Kami terpaksa mengikat perut dan berjimat
Supaya Ayah boleh membeli baju baru untuk kami semua
Walaupun hanya setahun sekali

II
Ayah berniaga cendol di waktu petang
Pagi pergi menoreh
Ibu surirumah dan membantu menyiapkan jualan
Cendol ini resipi turun temurun
Cendol Ayah sedap
Ayah berkayuh setiap hari untuk berniaga di pekan
Ayah sangat rajin dan tidak kisah berpenat
Kata Ayah Rezeki jangan ditolak musuh jangan dicari
Namun aku hairan, ada ketika aku ikut
Ayah memberi wang kepada seseorang yang bengis
Ayah hanya kata wang perlindungan
Kita sudah bebas tapi ada lagi kawasan jajahan
Aku tak suka tapi Ayah kata sabar

III
Satu hari Ayah buka mulut dan berjanji
Resipi sedap cendol ini akan Ayah ajar padaku
Saya gembira
Tapi gembira itu juga buat aku leka bermain dengan abang
Berkejar hingga ke dapur
Saya terpijak cendol jualan ayah
Habis semua tumpah
Saya takut dan hanya diam
Abang tampil mengaku
Ayah memukul Abang dan menghukum kami
Pulang kerumah hanya bila masuk tidur
Ilmu cendol itu pasti tidak diajar

IV
Saya ikut Abang keluar dan kami sama-sama termenung
Kassin, Leman dan Boon mengajak kami bermain sama
Kami makan tengahari di rumah Leman
Ibunya melayan kami dengan baik
Masakan Ibu Leman sedap
Malam ke rumah Kassim
Juga sedap dan menyelerakan
Akhirnya kami pulang dengan takut yang masih ada
Ayah hanya senyap,
Ibu menyuruh kami mandi dan tidur

V
Setiap kali lalu didapur, saya akan berhati-hati
Ibu akan membebel kerana tidak mahu perkara sama berulang
Saya akan memerhatikan ibu membuat cendol
Senyap-senyap saya catit didalam buku sekolah
Saya simpan dan sorok elok-elok
Tidak mahu sesiapa tahu

VI
Satu hari ayah pulang dengan muram
Ayah kata tidak mahu lagi menjual cendol
Tidak sanggup dan tidak untung
Ayah dapat kerja sebagai pembantu am rendah
Namun begitu hidup kami begitu juga

VII
Sejak itu ayah sangat pentingkan pelajaran dan bahasa kami
Siang berbahasa Melayu
Malam berbahasa Inggeris
Ayah kata bahasa ibunda sudah ada dalam diri
Begitu juga dengan adat, kepercayaan dan budaya kami
Bahasa Melayu itu Bahasa Kebangsaan
Bahasa Inggeris untuk maju kedepan
Dalam masa yang sama hak dan keharmonian sama-sama dijaga
Saya hanya diam kerana tidak faham dan keliru
Kenapa pula kami bersekolah dengan Boon?

VIII
Akhirnya saya mula faham satu persatu bila menginjak dewasa
Gambaran yang kabur makin jelas
Kini buku yang dulu saya simpan elok tidak lagi jadi rahsia
Ayah tidak marah tapi bangga kerana warisan itu tidak hilang
Saya juga bebas dan tiada takut dengan penjajah
Saya bangga punya ramai kawan
Kami
Berdiri pada jejak tanah yang sama
Menghirup pada nafas udara yang sama
Mencari rezeki nikmat tuhan bersama
Walau ada perbezaan kami selesa bersama
Kerana kami
1 Bangsa 1 Malaysia

3.15am
Gemereh, Segamat

Saturday, May 16, 2009

HOI!!!

HOI!!!
oleh Yusrika Bahar

Hoi Lahabau!
Kenapa lakumu jelek?
Sama melayu tapi lain tuju
Mahu senang goyang kaki
Kenapa tidak mahu bersatu?
Kan bagus kalau 1 kapal
Cipta era baru

Hoi Kayu!
Kenapa bengkeng sangat?
Sama Cina tapi lagak lain-lain
Dia kata begitu kau bilang begini
Kan bagus kalau 1 mulut
Semua orang setuju boleh ikut

Hoi Haprak!
Kenapa rusuh begitu?
Sama India tapi pakat tak sama
Tuding orang salah tunjuk orang tak betul
Kan bagus kalau 1 aliran
Boleh menurut tapi bukan Pak Turut

Nak orang pandang tapi tak mahu tandang
Duduk rumah diam-diam tapi sibuk keliling pandang
Kemudian pandai cakap belakang
Bengap

Bila aku maki hamun seranah
Mulalah pandang aku kecil mata
Nafas turun naik darah meluap
Cari salah atas bawah,
kiri kanan,
depan belakang.
Buka mulut macam nak perang
Tangan ikut rasa nak melempang
Angkat kaki dah mula nak terajang
Sedangkan,
Bukan tak boleh fikir sama-sama
Cari jalan betulkan keadaan
Mungkin ada benar
Ada salah tapi tak sedar
Suka orang sanjung tapi tak sedar macam Kaduk naik junjung

Aku tak kata aku betul semua
Aku tak kata aku mahu undi kalian
Aku bukan pemimpin ternama atau orang hebat
Saja mahu bikin panas kerusi dewan
Agar tak tidur gamit mimpi siang hari
Digendong terlepas dikelek tercicir
Bukan sengaja mahu gebang
Kau kata aku saja borak
Terserah!

Kalau bukti dah depan mata
Apa butakah tak boleh nampak?
Bodoh!
Mahu dengar cakap orang buat apa?
Kita yang ada,
Pekakkan telinga
Tuli!
Bila kena sial, kena getah, kena celaka
Pandai pula nak meradang
Tak sukalah,
Tak patutlah,
Kononnya tikam belakang
kononnya tak tahu kenang budi

Aku yang tempatan rasa macam rugi
Walau kaki macam berpijak kat tempat sendiri
Suka sangat dengar orang puji
Sampai punggung tak cecah bontot kerusi
Siap cari siapa mahu puji lagi
Bila orang tuding jari,
Tahu pula melenting sampai tak cukup kaki jejak bumi
Buka buku hukum sana-sini
Sampai lubang cacing sanggup cari
Biar tak lena hingga pagi
Asalakan puas hati sendiri

Kita makan sama-sama
Kita minum sama-sama
Kita ketawa sama-sama
Ke sawah, ke baruh, ke bendang
ke kilang, ke pasaraya, ke jalanraya
Cari rezeki tuhan, cari makan sama-sama
Kenapa mesti paling muka bila tembung?
Bukan minta bayar kalau senyum
Bukan kita letak hukum
Tak mahu dengar kata orang
tapi tunjuk bijak mahu menang

Suka sangat orang luar gelak dekat kita
Sebab tengok kita porak peranda
Kalah jadi abu menang jadi arang
Sudahnya nanti,
Orang sorak rewang, kita melongo melopong

Hoi!!!
Kita boleh sangat 1 kapal
Kita boleh sangat 1 mulut
Kita boleh sangat 1 aliran
Sama-sama bina era maju
Sama-sama setuju boleh ikut
Sama-sama menurut walau bukan Pak Turut
Agar 1 dunia tahu
Ini Tanah Kita
Bukan laman orang.


16 Mei 2009
Bandar Utama, Segamat

Friday, May 15, 2009

CERITA HATI INI

BUAT CERITA HATI INI
oleh Yusrika Bahar

Tak usah diratapi lagi
pada namanya sayang yang sudah kematian cinta
Letakkan noktah..titik penamat!
Mengharap pada rembulan agar jejak tanah
Mengharap mentari agar jadi selimut salji
Semua itu sudah tak bermakna.
Sia-sia meraung diperkuburan
Kehidupan mendatang untuk dinikmati dan disyukuri
Bukan tangisan pada luka duniawi.
Hati itu bisa mekar kembali
Hidupkan kembali visi yang terhenti
Agar perlambangan diri dihormati


p/s Memang indah dan pelik pada namanya cinta.

PERBARINGAN

PERBARINGAN
oleh Yusrika Bahar

Perbaringan itu saksi
Nyawa terhenti atas paksi
Namun bersatu pada dimensi yang bukan ternilai nafas
Gelombang karma berpuing-puing
Pada rumah agam berukir citra alam
Melihat dengan mata yang ada seksa tak terucap
Terlantar dipelantar akhir
Mencungap maya di perhitungan
Perpisahan antara zahir dan batin
Impian bertabur tiada gendongan
Kejap pelukan itu terlerai
Tiada tangis kerana rebah sendiri
Menghurunglah segala macam panji menyoal jatidiri
Menggarap sepi bersimpongan siur
Kesibukan yang memakan luluh hati
Apa gunanya lagi perbaringan itu
Masa esok tiada untuk dinanti
Hari ditelan kerongkong mentari
Mengagau pada sungai mengharap janji
Suatu yang pasti bukan datang dengan sendiri
Menagih pada aroma duri sepetang
Cahaya jalan mati terus bermimpi kelam
Tiada siulan gamit keluar pada rembulan
Hanya menunggu loceng hikmah berdenting
Tanda perbaringan itu wujud untuk sekian kali

6.15am
Gemereh, Segamat

Thursday, May 14, 2009

KANAK-KANAK & JAJAN

IKLAN KANAK-KANAK
oleh Yusrika Bahar

Pukul 2.00pm aku ke kedai runcit yang ada di perumahanku. Sedang membelek akhbar dan majalah tiba-tiba aku melihat satu senario yang menarik. Perbualan antara seorang ibu dan anak. Kelihatan seperti si ibu sedang membeli barangan runcit usai menjemput anak pulang dari sekolah. Begitulah prihatin dan kasihnya seorang ibu yang bertanggungjawab. Si anak pula kelihatan ralit dengan jajan atau snek ringan yang bergantungan.

" Ibu, Aiman nak jajan ni? Boleh?"

" Jajan? Jajan apa?"

" Alaa, yang ada mainan ni. Semua kawan Aiman ada. Kat TV kan ada keluar. Bagus untuk diminum pada waktu petang"

Si anak mengajuk seperti iklan di TV. Aku memerhati jajan yang diujakan. Hmm patut pun.

" Eh, tak payah. Ibu tak cukup duit ni. Nanti petang"

Si anak terus-terusan merengek dan kelihatan seperti hendak menangis kerana belum mendapat apa yang dihajati. Aku biarkan sahaja drama itu berlarutan. Si ibu kelihatan makin geram kerana tumpuannya membeli barangan dapur terganggu.

" Kan ibu kata nanti petang. Lagipun jajan ni Abang tu punya, dia dah beli semua. Nanti Abang tu marah. Haa tengok dah marah! Jom balik."

Si ibu menunjuk kepadaku. Haa aku? Tak pasal-pasal aku terlibat didalam drama itu. Aku pun hanya mampu menjengilkan mata ke arah kanak-kanak itu kerana kelihatan wajah si ibu memandangku seolah-olah minta bantuan. anak itu terdiam dan menurut ibunya. Si ibu dan anak pun berlalu. Mungkin pulang ke rumah. Aku juga pulang kerumah selepas membayar barang yang ku beli. Berus gigi. Sambil berjalan aku terfikir senario tadi. Lebih kurang sama dengan tesis yang ku tulis untuk pengajian semester akhirku.

Zaman sekarang, pengeluar produk makanan ringan semakin memandang mudah kepada target market. Kanak-kanak dijadikan target audience untuk meraih keuntungan. Mungkin sebab mereka mudah terpengaruh, suka menonton rancangan TV kanak-kanak terutamanya kartun, dan juga pengaruh rakan sebaya. Sudah tentu juga jajan yang didatangkan dengan mainan berasaskan watak kartun popular. Maka iklan TV juga tidak terkecuali menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran utama untuk menarik minat mereka membeli jajan-jajan ini. Ada yang lebih kreatif, kononnya ditonjolkan jajan tersebut sedang dinikmati sekeluarga, dihidangkan pada waktu petang dan semasa menonton TV. Kanak-kanak juga dijadikan model iklan dan pelaris.

Dalam kajian tesisku yang lepas. 90% kanak-kanak di Malaysia sememangnya menonton TV terutamanya rancangan kartun. Secara tidak langsung mereka menonton iklan jajan tersebut. 85% kanak-kanak mudah terpengaruh dengan iklan tersebut dan membelinya. Hebat bukan pengaruh iklan tersebut! Jika dilihat dengan telus seolah-olah sekarang kanak-kanak sememangnya mempunyai kuasa beli kerana diberikan wang saku oleh ibu-bapa sewaktu ke sekolah. Tanpa memikirkan kesannya mereka akan membeli jajan tersebut untuk kepuasan mereka atau untuk sama-sama berasa hebat kerana turut memiliki permainan yang sama.

Nampak sangat kanak-kanak dipergunakan!

Kita yang dewasa atau ibu-bapa hanya mahu duduk diam? Kenapa aku bangkitkan isu ini dan memberitahu kalian? Walau aku berada dalam bidang Iklan & Pemasaran tetapi tanggungjawab sosial juga harus diutamakan. Kanak-kanak pemangkin kemajuan negara pada masa hadapan.

Di dada akhbar juga mula menekankan yang kanak-kanak di Malaysia semakin dilanda penyakit Obesiti. Sekiranya tidak dibendung akan makin parah dan membimbangkan. Tumbesaran akan terbantut dan daya pemikiran akan tidak dapat menjana apa-apa yang boleh membangunkan negara pada masa hadapan. Benar atau tidak? Bagi aku benar sama sekali. Jajan yang terdapat dipasaran sekarang, kandungan nutrisinya sememangnya tidak membantu dari segi kesihatan. Beli satu mungkin tidak terasa, tapi jika pembelian terlalu kerap dan berulang? Bukankah memudaratkan, apatah lagi jika kuantiti yang banyak dan kanak-kanak itu tidak sedar kerana makan jajan mengikut pengaruh iklan. Makan jajan pada waktu petang atau semasa menonton TV. Jajan yang pada mulanya berperanan sebagai kudapan bertukar menjadi hidangan harian. Sangat membimbangkan!

Oleh itu bukan saja pihak NGO dan Kerajaan harus main peranan. Kita yang dewasa juga harus bergandingan. Jajan boleh menyumbang kepada Obesiti. Itu belum plastik makanan yang baru-baru ini dibuktikan boleh mengundang Obesiti dan Kanser! Jangan biarkan jajan menakluki selera kanak-kanak. Jangan biarkan kanak-kanak terus dipergunakan didalam apa jua iklan. Kita patut buka mata!

Kanak-Kanak Pemangkin Kemajuan MALAYSIA!

p/s kalau banyak makan jajan, akan datang lebih teruk agaknya politik kita.
Apa pandangan kalian?

Gemereh, Segamat.

Wednesday, May 13, 2009

TIMUR BARAT

SANTUN TIMUR
oleh Yusrika Bahar

Manusia santun timur
Secangkir kopi hangat juga beralas
Sepiring kudapan bujang terhidang
Bermanis mulut buka bicara
Beranak tangga berbendul
Berkanan berkiri
Kata siang dipandang
Ungkap malam didengar
Melintas mengundur maaf
Malu bagai tiada seurat benang
Kerling ada makna
Senyum sirat isi tersurat
Bila beransur jari bersusun tanda

Tuesday, May 12, 2009

OUH CIKGU-CIKGI!

Sambutan Hari Guru
Masih RELEVAN

oleh Yusrika Bahar

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Ah..pagi yang indah. Usai solat subuh aku terdengar bunyi kicauan beburung makin riuh diseberang jalan rumahku. Ladang kelapa sawit bersempadan dengan rumahku. Disitu berdiri megah sebatang pokok mempelam yang besar, juga sebatang pokok rambutan yang rimbun dahannya. Disitulah burung-burung itu bersiul dan berkicau. Lagunya merdu dan suaranya menggamit memori pagi ini untuk lebih dihayati. Adakah burung itu menyanyikan lagu pagi, atau memanggil teman-teman untuk turut serta bersembang?, mungkin juga bertasbih memuji Ilahi kerana ada manusia yang masih belum lali menunaikan kewajipannya sebagai khalifah. Bagiku, bunyi-bunyian itu cukup merdu dan menenangkan jiwa walau apa pun tujuannya.

Sedang asyikku melayan melodi indah burung-burung itu, aku terfikir sejenak hmm Hari Guru bakal menjelang 16hb Mei ini. Lalu mengundang nostalgia sewaktu bergelar pelajar sekolah. Guru-guru yang dedikasi serta peranan mereka tidak pernah undang jemu. Tiap tahun silih berganti wajah murid baru menandakan pelajaran itu sememangnya amat penting dan maha berguna. Ilmu ibarat secawan air yang dicedok ditasik, jika secawan buat hilang dahaga dihadapan itu masih lagi luas dan airnya tidak akan kurang. Satu yang kita tahu, banyak yang kita tidak tahu sebenarnya.

Membicarakan mengenai Hari Guru dan sambutannya, bagiku ianya akan tetap relevan selagi ilmu itu kita kejar dan gendong. Menghormati dan menghargai mereka yang ibarat lilin membakar diri semata-mata memberikan cahaya untuk menunjuk jalan mereka yang kegelapan. Tidak usah membicarakannya panjang lebar kerana aku pasti satu ketika dahulu kita semua pernah bersekolah dan menyebut panggilan keramat itu "Cikgu", "Sir", "Ustaz" dan panggilan lain yang sewajarnya. Peranan dan tanggungjawab mereka tetap sama.

Cuma apa yang menggusarkan, para guru hari ini makin berat ujiannya. Pelbagai isu yang menggerunkan hati jika difikirkan lebih mendalam. Jika dulu aku dengan enaknya dirotan, dicubit, ditengking, diherdik, dihukum oleh guru. Pulang kerumah dapat lagi habuan daripada ibu dan ayah kerana mengadu malah lagi hebat hukumannya, tapi kini semua itu jangan harap dapat disaksikan lagi. Silap percaturan, guru diheret ibu bapa ke mahkamah, disaman. Tidak kurang pihak Kementerian juga diletakkan sebagai penama kerana melahirkan guru yang tidak beretika. Bagi aku, guru juga manusia yang punya hati dan perasaan. Maksudnya mereka manusia biasa! Namun matlamatnya tetap mekar, mahu melihat anak murid menerjah dunia dengan gelaran Insan Berguna. Manusia yang boleh diharap!

Sabarlah Cikgu, semakin maju kita kedepan, ada yang mindanya masih lagi dibelakang tidak mahu jalan. Nakal murid dahulu tidak sama dengan nakal murid sekarang. Jika dahulu nakalnya boleh tutup sebelah mata. Kini, maruah guru menjadi mainan dada media. Malah diperlekehkan. Nakal si murid mencabar keimanan. Ada yang boleh mengundang padah malah maut juga bagai satu alat mainan. Sesama rakan dibelasah dan ada yang mati. Itu belum yang membawa senjata bahaya kononya alat pelindung diri. Isu buli di asrama atau sekolah biasa merata-rata negeri dapat didengari. Itu belum guru yang menjadi mangsa dengki dan irihati. Maruah tercalar dan harta benda para guru dipandang enteng bagi mereka. Hukuman, undang-undang dan peraturan bagai angin lalu yang dipandang sepi. Seolah-olah Henry Gurney bakal menjadi institusi yang perlu wujud disetiap negeri bagi menampung kapasiti. Bagi aku yang pernah bergelar murid dan pelajar. Itu bukan nakal tapi kurang ajar, biadap, dangkal dan pendek akal.

Makanya dengan peristiwa demi peristiwa dalam institusi perguruan dan pendidikan, bagi aku kewajarannya masih ada untuk satu sambutan dan penghargaan. Cuma kental dan tabah dalam menongkah arus bagi melestarikan harapan negara untuk melahirkan pelajar minda kelas pertama. Sambutan Hari Guru pada 16hb Mei ini tetap relevan dan akan terus ada kesinambungannya.

SELAMAT HARI GURU 2009!

7.15 pagi
Gemereh, Segamat

PERLU LUPAKAN SAJA?

LUPAKAN SAJA?
oleh Yusrika Bahar

Kita ralit dengan keselesaan
Terbuai dengan kebendaan
Berkhayal dengan kemewahan
Tidak peduli lagi sama kepayahan
Biar lumpur biar kotor
Seni indahnya tetap ada
Jika sudah sebati kita rasa rugi
Tapi waktunya ia harus pergi kita tuli
Pasti ada yang baru untuk dinikmati
Belakang kira jika tiada guna lagi
Sedangkan jejak kosong itu tidak berpenghuni
Kerana tapak itu sudah hilang untuk bermain lagi
Jadi siapa patut rasa, terasa, merasa sangsi
Jika terasing dilaman sendiri
Andai diusir untuk menari lagi

p/s untuk Lavender yang harumnya terhidu

Monday, May 11, 2009

MELAYU LAYU

LAYU BUNGA MELAYU
oleh Yusrika Bahar

Apa sudah jadi dengan kemelayuan kita?
Senang sangat orang kata
Senang sangat orang bicara
Kita mahu kejar apa sebenarnya
Sama melayu tapi lain cita
Bergolok bergadai melawan arus
Janji bertabur jelak menempelak
Mahu dipuncak untuk apa?
Siapa terhimpit ditengah?
Siapa tersepit luka parah?
Aku harap ketuanan tapi siapa bisa kembalikan
Masing-masing ada agenda kononnya untuk kita
Namun yang lain minta hak sama rata
Buta tuli sama ayat Murka
Malah bangga dengan ayat Derhaka
Rakyat juga kena Celaka
Aku takut
Aku gerun
Aku kabur
Melukut di tepi gantang jadinya
Kerana menanam tebu di tepi bibir
Kita bakal mati kelaparan
Kerana kera dihutan diberi nafkah
Apa sudah jadi dengan kemelayuan kita
Makin layu
Makin kuyu
Makin sayu

Gemereh, Segamat

p/s Kenapa makin parah jadinya? Aku sungguh takut jika kita makin dihinjak dan diketepikan.

LUMPUR DI KUALA

LUMPUR DI KUALA
oleh Yusrika Bahar

Pagi ini kuhela nafasku...hmmm ada rasa berat untuk dizahirkan. Ada harapan yang tiba-tiba menjengah saat aku tertunggu-tunggu hadirnya. Kuala Lumpur. Perlu aku injak lagi tanahnya hari ini. Sejak ku tahu keputusan akhir peperiksaan semester, aku mula mencari dan melayari apa sahaja ruangan yang memerlukan pekerja. Melayari internet, membaca akhbar akhbar, info kawan-kawan dan apa sahaja cadangan yang memungkinkan aku untuk bekerja. Aku perlu gapai apa yang telah kuatur dan kurancang. Lambat atau tidak sahaja masalahnya. Cari kerja, kumpul duit, sambung MBA, terus kerja, kumpul harta..dan berkeluarga. Aaah..kuhela nafasku sekali lagi. Kali ini makin dalam.

Jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Akhirnya tapak kakiku memijak tanah Kuala Lumpur, nafasku bersatu dengan udaranya yang sesak lagi melemaskan. Masih begitu halanya, makin rancak. Aku senyum sendiri. Namanya pun pembangunan, pasti ia lembah yang menjanjikan 1001 ragam dan rencah kehidupan. Pelbagai kepala dan suara manusia. Lubuk yang menjanjikan apa sahaja jika rajin berusaha. Lubuk yang boleh memberikan apa sahaja. Hanya perlu kental mengharunginya.

Sedang aku melilau dan berjalan, aku dikejutkan dengan bunyian hon bas ekspres. Melaung minta laluan. Sungguh kuat! Bertalu bunyinya dan kemudian itu disusuli oleh bunyi hon bas lain pula. Aduh! Makin bising. Bagai ada pesta kerana masing-masing seperti beradu siapa lagi kuat bunyinya. Aku seperti pekak seketika dengan bunyi itu. Puduraya sememangnya penuh dengan pelbagai pencemaran. Pencemaran bunyi, pencemaran asap. Namun peliknya, manusia terpaksa pasrah dengan keadaannya walau hati membantah tidak selesa. Termasuk aku. Manusia datang dan pergi, ada yang sekejap ada yang lama. Masing-masing ada perhitungan sendiri mencari jalan pulang atau sekadar berpeleseran.

Aku teruskan perjalanan. Menuju ke Masjid jamek untuk ke KL Sentral. Satu lagi tempat untuk membuat perhitungan mencari jalan pulang, atau sekadar berpeleseran, membeli-belah, janji-temu dan urusniaga. Aku juga ada urusan, bertemu dengan seorang kenalan sekolah yang hampir 10 tahun tidak berjumpa. Kami pernah rapat dahulu, sama-sama mengharungi zaman sekolah yang cacamerba. Akhirnya terpisah kerna jarak dan masing-masing punya haluan dalam mengejar cita-cita. Apalah kisahnya. Masih seperti dulukah? Atau makin berjaya dan sudah berkeluarga? Nanti ketemu tahulah.

Sambil berjalan mataku liar memerhatikan kemajuan. Menghayati kepesatan. Tiba-tiba ada detik sangsi dihatiku. Benarkah aku rakyat Malaysia? Berpijak ditanah airku sekarang? Aku nanar seketika kerana sekelilingku dipenuhi pelbagai wajah asing yang pastinya bukan warganegaraku. Susuk tubuh, raut muka, tutur bicara dan perlakuan jelas bukan orang tempatan. Ramai sungguh dan diantara keramaian itu aku cuba cari orang yang sepertiku. Mana tahu ada yang terselit. Maksudku orang Malaysia! Sah mereka semua adalah rakyat asing yang mencari rezeki di negara kita. Negara makin maju dan tidak cukup tenaga tempatan barangkali. Atau kita terlalu menghormati toleransi dan semangat kejiranan? Kini ada pandangan yang dilemparkan, merasakan dengan kebanjiran itu pasti ada yang tersisih dan keciciran. Tambahan pula kita juga merasa tempias dengan kegawatan ekonomi global.

Penerimaan kita sebagai warga biasa? Tepuk dada tanya selera. Jangan kera dihutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan. Andai kita yang kelaparan satu hari nanti, entah ada atau tidak kera-kera itu bagi kita makan pula?

Aku teruskan perjalananku dengan agenda dan harapan yang menggunung tingginya.

bersambung...


Rumah Kawan, Kuala Lumpur
6.00 petang.

Saturday, May 9, 2009

SIAPA DIA?


SIAPA DIA?
oleh Yusrika Bahar

Dahinya tertulis wang..
Anak Matanya hanya tahu lihat wang
Hidungnya hanya tahu hidu wang
Mulutnya hanya tahu ngomel wang
Dadanya hanya tahu degup wang
Bahunya hanya tahu pikul wang
Tangannya hanya tahu genggam wang
Pinggulnya hanya tahu lenggok wang
Kakinya hanya tahu jejak wang
Apa sahaja nilai matawang
Asal bagi untung
Asal bagi penuh kantung
Otak ligat tak nak murung
Halal Haram duduk tepi
Sebab mahu jaga periuk nasi
Biar rasi tidak basi
Jadi mana harga diri
Kalau hukum tolak tepi
Mati orang pandang sepi
Kerana tiada mahu kebumi
Walau ada pernah sanjung
walau ada pernah gendong
Walau ada pernah hurung
Walau harta berbondong
Sebab dia nilainya "0"

p/s bukan untukku atau untukmu tapi siapa sahaja agar tidak gelap mata.

JALAN JALIN KAU AKU

JALAN JALIN
oleh Yusrika Bahar

Kau bijak menggapai apa yang diinginkan
Walhal tak semua jadi nyata
Biarlah ada orang ngata
Biarlah ada orang ketawa
Biarlah ada orang gebang
Nilai mereka, moral mereka, lidah mereka
Kau punya lorong sendiri
Tapi kau boleh gembira dengannya

Kau sabar menongkah jejak hidup
Walhal semua yang nyata ada pilihan
Biarlah ada orang sepak terajang
Biarlah ada orang maki hamun
Biarlah ada orang buta tuli
Tenaga mereka, kudrat mereka, asa mereka
Kau punya takdir sendiri
Tapi kau boleh gembira dengannya

Kau cuba cari bahagia
Walhal ada ujian dan kewajipan
Biarlah ada orang sepi
Biarlah ada orang suram
biarlah ada orang rawan
Hati mereka, nurani mereka, kasih mereka
Kau punya hati sendiri
Tapi kau boleh gembira dengannya

Kau cuba dan terus kental
Kau cuba dan terus cekal
Kau cuba dan terus tekad
kau cuba dan terus tabah
Tak semua indah, tak semua celaka
Kau tahu dirimu siapa
Kau tahu semuanya sementara
Kau tahu DIA ada.....

10.15 pm
Gemereh, Segamat

p/s : puisi ini untuk aku, mereka yang berjiwa serta yang merasa dan terasa.

Friday, May 8, 2009

Tajamnya Pena Pedihnya Luka


TAJAM PEDANG, TAJAM LIDAH, TAJAM PENA?
oleh Yusrika Bahar

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Hari ini rutin harianku biasa-biasa sahaja. Tiada yang menarik dan tiada juga yang istimewa. Terik mentari di luar rumah bagai menandakan betapa jiwaku kering kontang mendambakan ilmu yang tiada noktah untuk satu titik penamat. Angin petang yang menampar mukaku juga bagai menjerit kecil yang aku ini sebenarnya manusia belum menemui jalannya. Atau lebih jelas lagi belum punya apa-apa untuk dibuktikan dan membuka mata luar untuk satu penerimaan. Kerana sedarku yang aku hanya manusia biasa yang punya jiwa dan tidak punya nama yang wajar diperdebatkan. Bukan seniman, bukan sasterawan dan juga pemeran yang punya rupa dan susuk menawan.

Aku rasa sangat benar rasionalku ini, warasku ini yang mikir bijak mindaku sendiri belum tentu sama dengan kotak akal manusia lain yang lebih wajar. Apabila manusia punya kewajaran untuk melihat dan mentafsir, maka apa yang terakam terluah dengan kata-kata yang bisa didengar dan dibaca. Namun begitu setiap yang namanya ada jiwa pasti penilaiannya berbeda berdasarkan takat akal dan tajam mindanya. Bila terlalu lantang, maka ada yang terusik dan ada yang terluka. Lalu mengundang rawan dan tak kurang juga tulah yang membengkak.

Pernah seorang seniman bicara dalam lagunya "aku menulis bukan kerna nama". Benar isi hatinya dan aku kagum dengan penghayatannya. Ada yang setuju dan ada juga yang tidak. Namun kini perjuangannya terus hidup, mekar serta malar segar.

Aku? ditemani komputer usang ini terus-terusan menaip mengikut gerak hati dan waras mindaku sendiri. Seorang graduan teater yang juga sahabat baikku Farah Idayu Md Fadzil, bukan seorang seniman ternama juga bukan yang ghairah mahu menempa nama di persada hiburan, pernah memberikan pandangannya padaku..untukku. "Kau punya bakat tapi kau tak asah, tapi ada orang hempas pulas mahu bakat dan rela diasah. Aku harap kau guna dan teruskan bakat itu...buat sehingga kau rasa puas. Aku hanya punya kata semangat dan aku dibelakangmu. Peduli sama yang namanya ngata, keji, umpat dan nista. Biar mereka ketawa, biar mereka menari, pasti mereka akan keletihan kelak". Sekali lagi pada masa itu aku kesima dengan kata-katanya. Aku kagum dengan liriknya. Benar dan memang benar.

Makanya, aku akan terus menulis dan beromansa dengan seni yang aku cintai. Walau aku tak suka dengan kata orang yang merendahkan aku, walau aku tak suka dengan kata orang yang menebak aku beridola, walau aku tak suka dengan kata orang yang menulah aku mengayat, walau aku tak suka dengan kata orang yang aku berangan....semua itu tidak akan jadi kudis untuk aku kedepan. Malah terima-kasih kuucapkan pada mereka. Tak perlu untuk aku melenting dan meleding.


Maaf, Terima-kasih.
Jumpa lagi.

Taman Gemereh, Segamat.

p/s menulis kerana terluka dengan kata-tulis orang yang hanya pandai luah tanpa alas.

SENI, AKU & MAHASISWA



SENI, MAHASISWA &
AKU
oleh Yusrika Bahar

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Mungkin ada yang terkejut dan mikir campur heran. Apa aku tidak tidur kerana aku bilang yang aku sakit. Tapi realitinya aku tidak bisa tidur walau ada kantuk yang menabung di mataku. Mana ubat-ubatan yang berperang dalam diriku. Kalau kamu heran aku juga heran. Mataku terus tertancap dihadapan komputer usang ini. Jari jemariku terus ralit menari menukil.


Maka aku lahirkan rasa kagumku yang dulu bergelar anak kampus. Bergelumang dengan buku dan bahan ilmuan. Beromansa dengan namanya seni sambil menggendong dan menjunjung pusaka bangsa dan budaya. Sungguh aku tidak malu untuk mamainkan peran diatas pentas dan menjiwainya. Malah aku bangga menghasilkannya walau sebelum itu aku dihenyak, dibelasah, diherdik kerana ada yang mahukan kesempurnaan. Kalau sudah namanya cinta maka ku harung segala dugaan.

Sepanjang itu juga aku bangga dan rindu akan nostalgianya. Tidak tidur kerana ada peperiksaan. Atau berpenat lelah menyiapkan set atau berlatih bersama teman yang sejiwa denganku. Ah..memori indah semua itu.

Kini aku bergelar Graduan pula, mencipta strategi untuk mencari sesuap nasi menyara rezeki kehidupan. Melatari hidupku yang belum ketentuan jalannya.

Disini, aku mahu kongsi beberapa gambar dan kenangan walau banyaknya tiada mukaku kerana sudah ku bilang dulu...wajah ini tidak berapa tinggi 'marketnya'.. Lihatlah jika kalian sudi.


Kelas BBA (Hons) Marketing 2006-2008
bangga dan rindu dengan kalian...masing-masing punya idea yang gila-gila..



Bersama-sama menganjurkan Seminar Marketing
"Melayu dan Keusahawanan"



Rakan sekolej (1 level) berhempas pulas kononnya pemain bola yang hebat. Aku yang kaki bangku juga turut beli kasut bola dan main sama.



Pementasan karyaku yang pertama Teater "Rasuk"
Mengisahkan mereka yang miskin jiwa dan rohani. Tertekan dan ditekan maka segalanya dilepaskan dengan ganas.

Akulah yang menulis, akulah yang mengarah dan aku juga lah yang menata-rias mereka
Macam hantu tak? Hentam sajalah...


Rakan taulan yang kononya berjiwa seni di alam perniagaan
Performing Arts Club UiTM Johor




Pementasan karya Zakaria Ariffin Teater "Penunggu Pusaka"
Aku yang mengarahkannya..sungguh kalut dalam masa 2 bulan!



Piala Pusingan itu sebagai tanda "Penunggu Pusaka" menang di Festival Teater Zon Selatan.
Aku tidak mampu senyum kerana penat (sebab jadi Stage Manager pada malam penutup)
Pelakon dan kru yang rapat denganku..adik-adikku jua..



Dari UiTM Shah Alam ke ASWARA
Usai pementasan "Penunggu Pusaka" kami lari keluar nonton Teater "Si Yatim Chao"
Nampak sangat mukaku kusut kerana ada kerja yang belum beres, set tak kemas lagi.
Sebelahku dengan kostum biru ialah Farah (sahabt baik) dan ZA bersila didepan.




Di Stor DBP bersama rakan-rakan yang gila nonton teater.
Teater 7 Duri 7 Cerita arahan Fauziah Nawi
Usai pementasan Ibu belanja kami KFC dan bagi macam-macam nasihat.



Banyak lagi sebenarnya aku ingin kongsi dengan kalian, tetapi komputer usangku ini minta rehat. Talian internet pun agak lembab. Kenangan diatas sangat kurindui dan ku mahu ia berulang sekali lagi cuma dengan nuansa yang berbeza.

Jumpa lagi ya
Gemereh, Segamat


Apa Jadi Pada Dewa Malam?

DUHAI DEWI MIMPI
oleh Yusrika Bahar

Buatmu si angin lalu..
Pagi ini kau menerjah masuk tingkap kamarku
Tanpa salam kau meniup mukaku
Ah..segarnya
Kau hilangkan kantukku
Kau cerlangkan mataku
Kau ligatkan mindaku
Buatku sayu mahu mencelakakanmu
Mikir ke mana perginya Dewi Mimpi
Mikir ke mana halanya Dewi Mimpi
Tidakkah dia singgah di lenaku
Mengapa tidak ada anganan impian indah menampar ilusiku
Agar pejam mataku...bernafsu untuk menutup mata dan berfantasi
Siapa yang kau ladeni malam ini wahai Dewi
Beruntungnya dia..beruntungnya mereka
Aku cemburu kau uliti dia..mereka
Tidak wajarkah aku padamu
Tidak segakkah aku padamu
Aku berkorban mendapatkanmu
Aku berperang menginginkanmu
Aku menagih belas mengharapkanmu
Aku hilang suara kerana merayumu
Dewa Malam mengarahmu kemana
Kau dengarkah marahku?
Berahiku hilang kerana kamu tak mahu kunjung
Otakku merewang kerana jelek dengan janjiku
Angin lalu..
Untuk kesekian kalinya aku berdoa
Hadirkan Dewi Mimpi di kamarku
Jangan hampakan...
Tanganku yang menadah
Mulutku yang membisik
Tubuhku yang mengguling
Biarku terbuai dengan mainan Dewa Malam
Biarku terkulai dengan ciuman Dewi Mimpi
Buatmu si angin lalu...

3.15 am
Gemereh, Segamat

Thursday, May 7, 2009

Kehidupan Anak Kampung





SELAMAT DATANG
Daerah Penghujung Benua Asia
oleh Yusrika Bahar

Gambar di bawah adalah gambar rumah aku. Sesuai tak kalau nak buat shooting?
Shooting drama ke filem? Hehehehehe....





Ini adalah gambar keluargaku masa Hari Raya Aidilfitri yang lepas.

(dari kiri adik aku Sofi Mariam, ayah En Bahar, Aku, ibu Pn Talha, adik bongsu Sofi Murni dan yang duduk adalah atuk aku :ayah mak aku Tn Hj Supok. Atuk aku tu pejuang kemerdekaan tau dan terlibat bersama Kiai Salleh sewaktu menentang komunis..ingat kisah "parang terbang" di Batu Pahat?)



Gambar dibawah pula adalah sepupu aku semua. Semua sekali dalam 25 orang dan ada yang tidak ada dalam gambar. Seronok kalau semua balik masa raya. 1-10 Jun ni meriah lagi sekali sebab sepupu aku yang tepi sekali tu (tudung putih baju hitam) akan melangsungkan perkahwinan. Gegak gempita laa dengan pelbagai ragam dan kepala. Kecoh!!





Gambar dibawah pula adalah salah satu panorama yang sangat best kat kampung aku. Kalau cari ilham kat sini..peh..lupa segala kekusutan tau!






Gambar dekat bawah juga diambil masa Raya Aidilfitri lepas juga. Nak tahu..80% penduduk kat kampung aku ni Kaum Etnik Bugis, termasuklah aku dan keluarga aku. Makanan yang berbalut daun pisang muda tu dikenali sebagai "Burasak". Sedap tau kalau dicecah dengan serunding, rendang, kari ayam atau dagingdan juga ayam masak kicap...fuh menjilat jari. Lagi 1 yang best Makcik aku yang tengah mencedok lauk tu, lepas je makan tengahari terus bersalin dan lahirlah anaknya yang ke-4 pada 1 Syawal.



Inilah sedikit sebanyak panorama hidupku di kampung. Nak datang menjenguk silakanlah dan nanti aku boleh bawa korang ke tempat-tempat yang best nak cari ilham..





Jumpa lagi
10.00 am
Gemereh, segamat.

Kisah Ambo

Sebenarnya tak tahu nak tulis apa dan kenapa?
oleh Yusrika Bahar

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Aku sebenarnya tengah melawan demam selsema dan batuk yang tiba-tiba menjengah diriku. Mungkin tuhan nak bagi peringatan kot, cuci dosa-dosa aku yang berlambak ni. Selain tu nak ingatkan yang tuhan memang ingat kat aku sebab tu dia bagi ujian dan sakit. Tapi memang tuhan je lah tahu betapa tubuh ini memang tak daya nak melawan. Aku dahlah kurus kering macam ni, bila sakit tu susutlah sangat badan. Kalau batuk tengah malam ni melengking macam orang tua. Ubat batuk dah nak 2 botol aku telan sampai macam rasa 'tintong' stone semacam je.... Aku sambil tanam anggur kat rumah ni bukan buat apa sangat pun.
Bila nak dapat kerja..taknak tanam anggur..
Bangun tidur..aku mandi sarapan kemudian aku sambung penulisan aku. Waktu terluang ni aku dah siapkan 3 skrip teater, dan 1 skrip drama. Ntah nak bagi siapa aku tak tahu lah. Saja je tulis. Ada masa aku letaklah sinopisis dia nanti. Tajuk Teater tu Pasung, Rasuk, Babak Akhir dan Sang Gajah dan Sang Semut. Skrip Drama pulak SAHABAT 3+3-1+1=5. Malam 8.30 sampai 10.00 malam aku ajar tuisyen kat rumah. 2 orang je. Dapatlah RM300 sebulan. Hujung bulan ni lepas aku KONVO (bestnya!!! tp takder keje lagi..) aku balik kampung duduk dengan family je lah.
Hmm ingat nak tulis pendek je. Rasa macam panjang lak. Mesti sebab pengaruh ubat ni. Ok lah aku pun dah telan dua biji penadol, 1 biji antibiotik, 1 biji pil selesema, dan 3 sudu besar ubat batuk. Ngantuk pun ye, rasa macam stone pun ye.
Selamat Malam semua semoga aku dapat berjumpa dengan Dewi Mimpi nanti.
Jumpa lagi.
1.00 am,
Gemereh, Segamat.

Monday, May 4, 2009

KAIN SENDIRI atau KAIN ORANG?

JAGA TEPI KAIN ORANG
oleh Yusrika Bahar

Salam Perpaduan kepada semua yang sudi membaca blog ini. Tak tahulah kalau meransang minda ke apa ke. Yang paling penting sekali takkan ada isu yang boleh membabitkan ISA atau akta hasutan dan mengancam keselamatan negara. Cuma apa yang nak aku perkatakan adalah hasil dari kepala otak aku ni yang adakalanya BERANGAN nak jadi penulis atau sekadar membaca majalah atau suratkhabar atau apa sahaja bahan bacaan lalu ditafsir sendiri.


Baiklah mesti ada yang terfikir tajuk kat atas ni. Jaga tepi kain orang? Apa aku ni takde isu lain ke nak cakap atau tulis? Bagi aku apa yang aku terfikir dan tulis ni memang ada kena mengena dengan kita kat sini, kita yang hidup ni. Ada juga kot berkait dengan yang telah meninggal dunia. Nanti kita sama-sama fikir ye.


Jaga tepi kain orang merujuk kepada pemahaman aku ialah perihal mengambil tahu akan hal ehwal orang/individu/kumpulan di ruang persekitarannya dengan niat baik atau tidak, lalu ada penyampaian yang akan berbaur fitnah atau kebaikan bersama. Betul ke? Tafsiran ini adalah pemahaman aku. Kalau ada makna lain komen lah ye. Ok kenapa aku cakap benda ni sebab aku pun tengah jaga tepi kain orang. Cuma caranya lain sikit kot. Mari kita kupas sedikit demi sedikit.


Bagaimana kalau aku kata yang tidak ada seorang pun manusia didunia ini yang tidak mempunyai sikap ini. Maksudnya semua orang sama je. Suka jaga tepi kain orang. Satu Dunia! Kita ambil konsep mudah dahulu. Mak Joyah dan Senah rancak berbual mengenai anak Jenab yang selalu pulang lewat malam dan dihantar oleh pakwe nya. Macam-macam diorang ngata. Tak tahu malu lah, conteng arang kat muka mak bapak lah dan banyak lagi lah samada sedap didengar atau tidak. Lepas itu berlaku lah sebaran am mulut ke mulut. Nyampai menyampai dan akhirnya tersebar ke pelusuk kampung. Kesannya? Rasa semua orang tahu lah. Jadi itu yang kaki ngata, ngumpat dan jadi benda tak elok kemudian hari. Bagaimana dikatakan semua orang atau 1 dunia suka jaga tepi kain orang ni?


Konsep seterusnya, korang pergi makan dekat warung mamak ni. Terfikir tak warung mamak itu adalah hasil dari jaga tepi kain orang? Tak percaya? Pendapat aku macam ni.


Kenapa Mamak tu bukak warung? Sebab ada orang nak makan.
Kenapa orang nak makan? Sebab lapar
Kenapa lapar? sebab tak makan lah!
Kenapa kat kedai? Malas nak makan kat rumah, ada duit, nak jimat masa, malas masak.

Dah faham? Belum.

Mamak tu bukak kedai mesti dia akan ambil tahu dulu tempat dia nak bukak warung tu. Ada orang ke tak, stratergik ke tak? Ada permintaan ke tak? Pendapatan orang kat situ macamana? Ada saingan ke tak? Jadi secara tidak langsung konsep jaga tepi kain orang kat situ diguna pakai dan diterjemahkan dengan positif. Mesti mamak tu buat research kan. Tanya orang sana sini dan macam-macamlah. Bukak warung dengan niat nak keuntungan dan ianya juga bisnes itu yang pertama. Kedua, memenuhi kehendak orang ramai yang suka mencari alternatif selain memasak dirumah atau menumpang makan dekat rumah kawan-kawan selain boleh berjumpa dan bersosial.

Dah faham? Masih samar-samar..

Jaga tepi kain orang bagi aku adalah satu perkataan yang kurang enak untuk didengar maka berlakulah asimilasi bahasa dan manusia yang bijak menukar perkataan jaga tepi kain orang dengan bahasa yang lebih mudah dan sedap (pada hemat aku). Sebagai contoh wujudlah perkataan prihatin, ambil berat, siasat, selidik dan macam-macam lah agar kita tak guna perkataan jaga tepi kain orang. Kenapa ada pemimpin? Sebab dia ambil tahu hal ehwal rakyat. Kenapa ada kedai runcit? Sebab dia prihatin kawasan itu jauh nak ke pusat membeli -belah. Kenapa ada bank? Sebab ada orang nak simpan duit dengan selamat dan ada orang nak berhutang. Kenapa ada sekolah? Sebab pelajaran penting. Kenapa ada perang? Sebab tak suka ditindas dan hak dicemar. Kenapa ada polis? Sebab tak nak jenayah berlaku dan mahu selamat.


Perkara diatas berlaku adalah hasil tindak balas terhadap kita sebagai manusia yang sememangnya suka menjaga tepi kain orang. Banyak contoh lah kalau nak tulis lagi supaya korang yang membaca ni faham dengan maksud aku dan konsep aku. Bagi yang mudah faham baguslah, bagi yang kureng sikit, asah lah minda anda agar dapat tangkap apa yang aku nukilkan ni. Contoh akhir aku bagi..korang pernah jatuh cinta? Atau minat kat seseorang? Peminat fanatik? Apa korang buat? Mesti ada yang nak tahu semua perkara tentang orang tu agar senang nak ngorat. Tanya alamat dekat kawan baik dia ke? Mana yang guna teknologi, nak tahu nombor fon, bukak internet cari gambar dialah, myspace ke, friendster ke, facebook ke, blog ke. Macam-macam cara asalkan kita puas hati. Itu pun konsep jaga tepi kain orang..

Tak faham lagi..aah korang pikirlah sendiri.

Bagi aku konsep yang aku tiba-tiba terfikir ni sebenarnya bukan aku nak mengata ke atau tak suka tapi nak berkongsi dengan korang je. Nak berkongsi betapa hebatnya impak jaga tepi kain orang ni dan kalau ia diteliti dengan betul, orang yang pandai mengambil kesempatan pasti akan menghasilkan sesuatu samada positif atau negatif. Baik atau buruk. Berkesan atau tidak berkesan. Memberi faedah atau sia-sia. Itu je. Prihatin, ambil berat, selidik, siasat adalah perkataan yang seumpamanya. Corak perlakuan dan gerak kerjanya hampir sama je bagi aku..

Akhir sekali, marilah renung-renungkan bersama dan kita cari hikmah bersama. Betapa kita didunia ni sememangnya mempunyai satu sikap yang sama iaitu Suka Jaga Tepi Kain Orang.


Maaf, Terima-kasih.

Jumpa lagi.
3.51 am
Gemereh, Segamat.

Saturday, May 2, 2009

RM 1 Juta, 1 Bumi, 1 Dunia, 1 Harapan?

TOMOK & INFLUENZA A
oleh Yusrika Bahar


Kelmarin seorang lagi bintang dilahirkan dalam sebuah lagi rancangan realiti nyanyian di 8TV Malaysia. Siapa lagi kalau bukan Tomok atau selepas ini mahu dikenali sebagai Shah Inderawan. Betapa fanatik dan terujanya keluarga beliau meneriak, memekik dan memberikan sokongan agar ahli keluarganya itu menang dan membawa pulang RM1 juta. Walaupun sudah terkeluar pada pengumuman penyingkiran, dengan cadangan tinggi bahawa rakyat Malaysia mahu tiga peserta akhir ini bertanding, maka Tomok yang sudah mahu mengorak langkah meninggalkan pentas kembali semula memberikan impak. Impian sebagai bintang dan dinobatkan juara nyata berpihak pada Tomok. Kedengaranlah pelbagai yang tersurat dan tersirat, komen-komen dan kritikan dari pihak peminat, media ataupun rakan taulan mengenainya. Sungguh hebat, persembahan memukau, outstanding, sayang kenapa tidak Esther atau Aweera dan macam-macam lagilah dengan alasan rasional masing-masing mengenai pertandingan realiti ini.


Aku?

Hanya menonton di kaca TV je. Tak kuasa nak pergi Shah Alam, duduk pun nanti jauh-jauh je sebab aku ni bukan siapa-siapa dalam industri (sedangkan bukan apa, takde duit dengan transpot je). Aku pun tukar channel lainlah sambil meletakkan persepsi kepada orang lain untuk menilai apa yang mereka suka tengok. Akhirnya Nightline muncul di TV3 dengan isu utama yang sedang melanda dunia sekarang dan semakin menghampiri negara kita pula (mintak-minta janganlah), VIRUS SELSEMA BABI. Lebih hebat realitinya! Semakin ramai yang dijangkiti dan ianya juga telah membunuh banyak nyawa terutamanya di Mexico yang dikatakan punca ia merebak. Maka kalutlah seantero dunia lebih-lebih lagi pemimpin negara kerana takut menerima kedatangan pelancong yang mungkin turut membawa virus itu sekali tanpa disedari. akan tetapi tetap risau kerana ia juga sumber pendapaan negara. Lebih bernilai dengan wang kemenangan RM1 Juta. Dalam kita dilanda musibah kegawatan ekonomi, muncul pulak lagi 1 bala yang semakin membimbangkan. Disana-sini orang memperkatakannya. Ada juga yang pantang kalau dengar ada nama Babi atau selsema, terus teringat Virus ini yang telah mempunyai nama khasnya yang dikeluarkan oleh WHO iaitu Influenza A. Kenapa namanya begitu? Jangan tanya aku sebab aku bukan WHO ataupun saintis. Aku cuma antara orang-orang yang takut Virus ini datang ke Malaysia. Biarlah negara kita bebas sebarang wabak dan pelancong masih boleh datang untuk menjana ekonomi negara kita dengan bebas dan sihat.

Kenapa aku cerita semua ni? Sebab aku fikir semula antara keterujaan peminat OIAM 3 dan kebimbangan rakyat Malaysia mana yang lebih penting? Harus diutamakan? Tomok menang 1 Juta. Sebagai orang yang berhabis wang ringgit mengundi, ke stadium terjerit sampai ada yang hilang suara, menangis bila ada yang terkeluar, apa yang anda dapat? Anda sokong Tomok, undi Tomok dan siap juga bergaduh dengan kawan kalau Tomok kena kutuk, akhirnya apa yang anda dapat? Dapat 1 Juta juga? Malah kalau-kalau Tomok tu tetap bertahan dan keluarkan album, kena keluar duit juga sekurang-kurang RM29.90 untuk beli CD pulak.


Hmmm klishe kan ayat aku ni...

Aku bukan anti Tomok atau tak suka dengan perkembangan industri hiburan tanah air kita ni tapi ada benda lain lagi isu yang harus kita utamakan dan risaukan. Isu yang sepatutnya kita rasa lebih berbaloi untuk menyalurkan wang ringgit, keringat, jerit pekik dan lain-lain. Aku tak nak cakap atau membebel panjang sebab aku pasti kita boleh fikir sendiri sebab kita berpijak di tanah kita sendiri. Bumi kita makin tua dan tak terfikirkah dengan isu yang melanda ini menandakan dia sedang menangis. Sakit atau sudah uzur benar hingga tak terdaya menanggung beban?

Tepuk Dada Tanya Selera..

10.56 pagi,
Gemereh, Segamat

Friday, May 1, 2009

Aku dan Nasib dengan JANJI

NASIB BADAN

oleh Yusrika Bahar



Jam tangan pukul 6.05 petang

Aduii!! Mesti housemate aku dah tunggu

Aku lambat 5 minit sebab janji tadi suruh dia jemput

Aku pun keluar dari cybercafe secepat mungkin

Gegas

Sambil mata kerling takut ada yang tinggal

Naya je kalau nak patah balik

Pergi kaunter bayar tengok jam dinding 6.12 petang

Confim sah-sah kena maki ni..

Turun tangga ke tempat biasa

Peh!! Berbakul kena sembur!!!

Telinga panas je..darah naik luap-luap macam cerek air..


Rupanya aku yang kalut BERANGAN!!


Sebab JANJI mesti ditepati.

Berdiri tempat biasa...

Hmm tak sampai lagi

Atau aku dah kena tinggal

Tapi dia setuju nak jemput

Hmm traffic jam kot.. 1 Mei la katakan.

Takkan tak pandai cilok..EX5 tu.

Aku cuba telefon..operator jawab

Pesanan ringkas..tak dapat dihantar!

Pulak!!

Sabarlah hati

Takpe aku tunggu

Mundar mandir..cubalah sekali lagi.

Hantar pesanan ringkas sekali lagi

Telefon sekali lagi

Sama juga macam tadi

Bosannya aku sebab tunggu orang

Bosannya aku sebab janji

Aku tengok keliling

Depan ada kedai makan

Depan ada padang bola

Ramai orang lalu-lalang

Semua punya agenda

Masing-masing ada acara

Atur hidup jalan rencana

Sabarlah hati

Tunggu sajalah

Tunggu

Tunggu

Berdiri

Betah

Aku cangkung

otot penat

Tengok jam tangan woho!! 6.45 petang

Setengah jam menanti sia-sia

Tenang..tarik nafas

Hisap rokok

Tiba-tiba

Ada debar kat hati aku

Ada takut kat hati aku

Apalah...tapi ada betulnya detik aku

Tempat sendiri belum jamin selamat

Aku penat jadi orang yang menunggu

Aku penat jadi orang yang mengharap

Mungkin sebab mengharap

Mungkin sebab hari makin gelap

Bas takde, teksi mahal pulak

Macamana mahu pulang

Ah..aku cuba pula duduk kat kaki lima ni

Ah..biarlah orang pandang

Ah..pedulilah orang nak ngata

Aku tak kacau korang

Aku masih tunggu sebab pegang Janji

Apalah halnya tak sampai-sampai

Manalah dia pergi ni

Penatnya tunggu orang

Malasnya tunggu orang

Ah..hela nafas

Tunggu juga walau makin gelap

Sabarlah hati

Tenanglah jiwa

Inilah nasib belum punya apa

7.15 petang..eh maghrib..apa apa lah.

Akhirnya dia sampai

Nak maki ke tak?

Nak maki ke tak?

Dia sengih...senyum sumbing

Sori tertido lah, bateri mati

Sabarlah hati

Tenanglah jiwa

Jom makan kat warung depan, aku belanja

Itu jawapan aku sambil senyum..


Kaki Lima UpWell Mall, Segamat

7.20 petang


p/s Sabar..pikir positif!

Nak kata puisi bukan, cerita pendek pun bukan..

saja nak lepas geram..