PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Monday, May 11, 2009

LUMPUR DI KUALA

LUMPUR DI KUALA
oleh Yusrika Bahar

Pagi ini kuhela nafasku...hmmm ada rasa berat untuk dizahirkan. Ada harapan yang tiba-tiba menjengah saat aku tertunggu-tunggu hadirnya. Kuala Lumpur. Perlu aku injak lagi tanahnya hari ini. Sejak ku tahu keputusan akhir peperiksaan semester, aku mula mencari dan melayari apa sahaja ruangan yang memerlukan pekerja. Melayari internet, membaca akhbar akhbar, info kawan-kawan dan apa sahaja cadangan yang memungkinkan aku untuk bekerja. Aku perlu gapai apa yang telah kuatur dan kurancang. Lambat atau tidak sahaja masalahnya. Cari kerja, kumpul duit, sambung MBA, terus kerja, kumpul harta..dan berkeluarga. Aaah..kuhela nafasku sekali lagi. Kali ini makin dalam.

Jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Akhirnya tapak kakiku memijak tanah Kuala Lumpur, nafasku bersatu dengan udaranya yang sesak lagi melemaskan. Masih begitu halanya, makin rancak. Aku senyum sendiri. Namanya pun pembangunan, pasti ia lembah yang menjanjikan 1001 ragam dan rencah kehidupan. Pelbagai kepala dan suara manusia. Lubuk yang menjanjikan apa sahaja jika rajin berusaha. Lubuk yang boleh memberikan apa sahaja. Hanya perlu kental mengharunginya.

Sedang aku melilau dan berjalan, aku dikejutkan dengan bunyian hon bas ekspres. Melaung minta laluan. Sungguh kuat! Bertalu bunyinya dan kemudian itu disusuli oleh bunyi hon bas lain pula. Aduh! Makin bising. Bagai ada pesta kerana masing-masing seperti beradu siapa lagi kuat bunyinya. Aku seperti pekak seketika dengan bunyi itu. Puduraya sememangnya penuh dengan pelbagai pencemaran. Pencemaran bunyi, pencemaran asap. Namun peliknya, manusia terpaksa pasrah dengan keadaannya walau hati membantah tidak selesa. Termasuk aku. Manusia datang dan pergi, ada yang sekejap ada yang lama. Masing-masing ada perhitungan sendiri mencari jalan pulang atau sekadar berpeleseran.

Aku teruskan perjalanan. Menuju ke Masjid jamek untuk ke KL Sentral. Satu lagi tempat untuk membuat perhitungan mencari jalan pulang, atau sekadar berpeleseran, membeli-belah, janji-temu dan urusniaga. Aku juga ada urusan, bertemu dengan seorang kenalan sekolah yang hampir 10 tahun tidak berjumpa. Kami pernah rapat dahulu, sama-sama mengharungi zaman sekolah yang cacamerba. Akhirnya terpisah kerna jarak dan masing-masing punya haluan dalam mengejar cita-cita. Apalah kisahnya. Masih seperti dulukah? Atau makin berjaya dan sudah berkeluarga? Nanti ketemu tahulah.

Sambil berjalan mataku liar memerhatikan kemajuan. Menghayati kepesatan. Tiba-tiba ada detik sangsi dihatiku. Benarkah aku rakyat Malaysia? Berpijak ditanah airku sekarang? Aku nanar seketika kerana sekelilingku dipenuhi pelbagai wajah asing yang pastinya bukan warganegaraku. Susuk tubuh, raut muka, tutur bicara dan perlakuan jelas bukan orang tempatan. Ramai sungguh dan diantara keramaian itu aku cuba cari orang yang sepertiku. Mana tahu ada yang terselit. Maksudku orang Malaysia! Sah mereka semua adalah rakyat asing yang mencari rezeki di negara kita. Negara makin maju dan tidak cukup tenaga tempatan barangkali. Atau kita terlalu menghormati toleransi dan semangat kejiranan? Kini ada pandangan yang dilemparkan, merasakan dengan kebanjiran itu pasti ada yang tersisih dan keciciran. Tambahan pula kita juga merasa tempias dengan kegawatan ekonomi global.

Penerimaan kita sebagai warga biasa? Tepuk dada tanya selera. Jangan kera dihutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan. Andai kita yang kelaparan satu hari nanti, entah ada atau tidak kera-kera itu bagi kita makan pula?

Aku teruskan perjalananku dengan agenda dan harapan yang menggunung tingginya.

bersambung...


Rumah Kawan, Kuala Lumpur
6.00 petang.

No comments:

Post a Comment