PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA

PROJEK LORONG SENI 1 SUARA 1MALAYSIA
Ayuh! Mari Merakyatkan Seni!

JANGAN LUPA KLIK JE!

Tuesday, May 12, 2009

OUH CIKGU-CIKGI!

Sambutan Hari Guru
Masih RELEVAN

oleh Yusrika Bahar

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Ah..pagi yang indah. Usai solat subuh aku terdengar bunyi kicauan beburung makin riuh diseberang jalan rumahku. Ladang kelapa sawit bersempadan dengan rumahku. Disitu berdiri megah sebatang pokok mempelam yang besar, juga sebatang pokok rambutan yang rimbun dahannya. Disitulah burung-burung itu bersiul dan berkicau. Lagunya merdu dan suaranya menggamit memori pagi ini untuk lebih dihayati. Adakah burung itu menyanyikan lagu pagi, atau memanggil teman-teman untuk turut serta bersembang?, mungkin juga bertasbih memuji Ilahi kerana ada manusia yang masih belum lali menunaikan kewajipannya sebagai khalifah. Bagiku, bunyi-bunyian itu cukup merdu dan menenangkan jiwa walau apa pun tujuannya.

Sedang asyikku melayan melodi indah burung-burung itu, aku terfikir sejenak hmm Hari Guru bakal menjelang 16hb Mei ini. Lalu mengundang nostalgia sewaktu bergelar pelajar sekolah. Guru-guru yang dedikasi serta peranan mereka tidak pernah undang jemu. Tiap tahun silih berganti wajah murid baru menandakan pelajaran itu sememangnya amat penting dan maha berguna. Ilmu ibarat secawan air yang dicedok ditasik, jika secawan buat hilang dahaga dihadapan itu masih lagi luas dan airnya tidak akan kurang. Satu yang kita tahu, banyak yang kita tidak tahu sebenarnya.

Membicarakan mengenai Hari Guru dan sambutannya, bagiku ianya akan tetap relevan selagi ilmu itu kita kejar dan gendong. Menghormati dan menghargai mereka yang ibarat lilin membakar diri semata-mata memberikan cahaya untuk menunjuk jalan mereka yang kegelapan. Tidak usah membicarakannya panjang lebar kerana aku pasti satu ketika dahulu kita semua pernah bersekolah dan menyebut panggilan keramat itu "Cikgu", "Sir", "Ustaz" dan panggilan lain yang sewajarnya. Peranan dan tanggungjawab mereka tetap sama.

Cuma apa yang menggusarkan, para guru hari ini makin berat ujiannya. Pelbagai isu yang menggerunkan hati jika difikirkan lebih mendalam. Jika dulu aku dengan enaknya dirotan, dicubit, ditengking, diherdik, dihukum oleh guru. Pulang kerumah dapat lagi habuan daripada ibu dan ayah kerana mengadu malah lagi hebat hukumannya, tapi kini semua itu jangan harap dapat disaksikan lagi. Silap percaturan, guru diheret ibu bapa ke mahkamah, disaman. Tidak kurang pihak Kementerian juga diletakkan sebagai penama kerana melahirkan guru yang tidak beretika. Bagi aku, guru juga manusia yang punya hati dan perasaan. Maksudnya mereka manusia biasa! Namun matlamatnya tetap mekar, mahu melihat anak murid menerjah dunia dengan gelaran Insan Berguna. Manusia yang boleh diharap!

Sabarlah Cikgu, semakin maju kita kedepan, ada yang mindanya masih lagi dibelakang tidak mahu jalan. Nakal murid dahulu tidak sama dengan nakal murid sekarang. Jika dahulu nakalnya boleh tutup sebelah mata. Kini, maruah guru menjadi mainan dada media. Malah diperlekehkan. Nakal si murid mencabar keimanan. Ada yang boleh mengundang padah malah maut juga bagai satu alat mainan. Sesama rakan dibelasah dan ada yang mati. Itu belum yang membawa senjata bahaya kononya alat pelindung diri. Isu buli di asrama atau sekolah biasa merata-rata negeri dapat didengari. Itu belum guru yang menjadi mangsa dengki dan irihati. Maruah tercalar dan harta benda para guru dipandang enteng bagi mereka. Hukuman, undang-undang dan peraturan bagai angin lalu yang dipandang sepi. Seolah-olah Henry Gurney bakal menjadi institusi yang perlu wujud disetiap negeri bagi menampung kapasiti. Bagi aku yang pernah bergelar murid dan pelajar. Itu bukan nakal tapi kurang ajar, biadap, dangkal dan pendek akal.

Makanya dengan peristiwa demi peristiwa dalam institusi perguruan dan pendidikan, bagi aku kewajarannya masih ada untuk satu sambutan dan penghargaan. Cuma kental dan tabah dalam menongkah arus bagi melestarikan harapan negara untuk melahirkan pelajar minda kelas pertama. Sambutan Hari Guru pada 16hb Mei ini tetap relevan dan akan terus ada kesinambungannya.

SELAMAT HARI GURU 2009!

7.15 pagi
Gemereh, Segamat

1 comment:

  1. sambutan hari guru mmg releven apatah lagi buat aku yang baru dapat anugerah guru inovatif daerah segamat 2009! mak suker!

    ReplyDelete